Wujud suami tak ambil tahu isteri bersalin, biar kontang-kanting di hospital urus diri


  • Cinta
  • Ahad, 12 Okt 2025

Seorang isteri gigih membawa bayinya bersama ketika mahu mandi di hospital kerana tiada siapa yang bantu mengurus. — Gambar Hiasan

BAYANGKAN, baru melahirkan anak dalam keadaan tubuh lemah dan masih menanggung luka, namun tetap perlu menguruskan segalanya sendiri.

Itulah kisah benar yang disaksikan oleh seorang wanita, Leciah JL, ketika berada di wad bersalin sebuah hospital baru-baru ini.

Dalam hantaran yang kini tular di media sosial, Leciah berkongsi pengalaman menyayat hati apabila menyaksikan seorang wanita di katil sebelahnya terpaksa menanggung keperitan tanpa kehadiran suami di sisi.

BACA LAGI: Kerajaan perkukuh nilai kemanusiaan, RM10 juta bantu pelarian, fokus lindungi kanak-kanak

BACA LAGI: Kes ibu Misha Omar: Pakar jelaskan bagaimana suplemen tidak sah dan steroid tersembunyi ancam kesihatan pesakit kronik

Lebih menyedihkan, lelaki itu bukan sahaja tidak datang melawat, malah didakwa enggan menjemput isterinya pulang selepas dibenarkan keluar dari hospital.

“Abang, saya tak boleh stay lama-lama dekat wad ni. Doktor sudah bagi amaran, makin lama saya tinggal sini makin tinggi bayaran... bolehkah abang datang ambil hari ini?” tulis Leciah yang mengimbas semula perbualan telefon wanita tersebut.

Namun, rayuan penuh harapan itu sama sekali tidak diendahkan.

Daripada nada suaranya yang perlahan dan kecewa, Leciah dapat berasakan suaminya enggan datang, seolah-olah menyuruh isterinya pulang sendiri walaupun dia masih dalam keadaan lemah selepas bersalin.

“Dia cakap tiada duit mahu bayar bil, tetapi suaminya pun tidak muncul. Sepanjang empat hari saya satu wad dengannya, tidak ada seorang pun datang melawat,” kata Leciah.

Menurutnya, wanita berkenaan menguruskan segala keperluan sendiri termasuk membawa bayi ke tandas kerana tiada siapa yang membantu. Walaupun kelihatan letih, dia tetap tabah menguruskan diri dan anak kecilnya.

“Saya lihat dia kuat, tapi dalam hati saya sedih. Apa salah perempuan seperti ini sampai terpaksa hidup dengan lelaki yang tidak tahu menghargai?” luah Leciah.

Tambah Leciah, suaminya sendiri berasa simpati dan mahu membantu membayar bil hospital serta mengangkat barang wanita itu, namun dia melarang kerana bimbang menimbulkan salah faham. Kini, katanya, dia kesal dengan keputusan itu.

“Saya menyesal tidak suruh sahaja suami saya tolong hari itu. Kesiannya dia,” katanya.

Dalam hantaran sama, Leciah turut menegur keras sikap segelintir lelaki yang mengambil mudah tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga.

“Kalau rasa belum bersedia menjadi suami dan ketua rumah tangga, jangan kahwin. Jangan seksa mental dan fizikal perempuan. Kalau sudah tidak sayang, pulangkanlah dengan cara baik,” tegasnya.

Kisah yang dikongsikan itu meraih banyak reaksi di media sosial. Rata-rata warga maya memuji ketabahan wanita yang tetap kuat menguruskan diri dan bayi tanpa bantuan sesiapa.

Seorang wanita, Suzie Joanna turut berkongsi kisah hampir sama yang menimpa rakannya.

"Memang ada pun lelaki begini. Kawan lama saya kerja dulu jadi mangsanya. Isteri mengandung pun dia tak peduli, sibuk pergi kelab malam. 

"Masa isteri bersalin pun tak datang, bil hospital pun isteri bayar sendiri. Kawan-kawan sekerja yang patuh hati tolong kutip duit, bantu uruskan itu ini.

"Punca utama adalah salah pilih lelaki. Dah dinasihatkan oleh kawan-kawan dan keluarga, tetapi tak mahu dengar. Akhirnya menderita sendiri. Wanita kena berhati-hati bila memilih pasangan, jangan asal ada,” tulisnya.

Sementara itu, Liza Yosores pula menekankan pentingnya kematangan dalam membina rumah tangga.

“Jangan kahwin hanya sebab jatuh cinta. Kahwin apabila kita sudah matang dari segi emosi dan kewangan. Cinta sahaja tidak cukup untuk membina perkahwinan yang sihat,” katanya.

Bagi Liza Marlina Sahuri Liza, kisah Leciah mengingatkannya kepada pengalamannya sendiri yang turut melahirkan anak tanpa ditemani suami.

“Melambak je lelaki macam tu. Saya pun masa bersalin dulu, pergi hospital sendiri, drive sendiri, tawakal. Ingat ALLAH sahaja. Semoga dipermudahkan semuanya. Kepada suami-suami yang tak bertanggungjawab, jawapannya tunggu di sana nanti,” tulisnya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram