
MERUPAKAN salah seorang pelakon dilabel sebagai hero Malaya, Datuk Aaron Mustapha Aziz, 49, atau lebih dikenali sebagai Aaron Aziz kekal relevan di persada hiburan tanah air.
Kali pertama membuat kemunculan menerusi drama Haryati (2004) sebagai pelakon pembantu, kariernya terus memuncak apabila ditawarkan sebagai watak antagonis dalam filem Evolusi KL Drift (2008) yang melihatkan dirinya semakin menyinar dalam industri tempatan.
Berbekalkan bakat dimiliki, kehadirannya di Malaysia disambut baik syarikat produksi negara dan kini, bapa kepada tiga cahaya mata itu masih mendapat kepercayaan pengarah untuk melakonkan watak utama dalam naskhah di layar perak.
BACA LAGI: Nafi diarah bayar RM8.3 juta, dakwaan cuai kelahiran bayi pra matang kejadian 22 tahun lalu — HIAZ
BACA LAGI: Atikah Suhaime ajar suami bersederhana, pakai semula baju lama, tidak perlu kisah jenama
Namun, di sebalik kejayaan dikecapi jejaka tampan kelahiran Singapura itu, isterinya, Datin Diyana Halik, 43, menjadi tulang belakang dan watak penting dalam setiap langkah serta keputusan diambil sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur satu ketika dahulu.
Mengakui ia bukan keputusan mudah, Diyana walau bagaimanapun menitip rasa syukur ekoran kejayaan serta rezeki mencurah-curah dimiliki suaminya sebaik memulakan kehidupan baharu di Malaysia pada 2004.
Kongsinya menerusi satu siaran podcast baru-baru ini, berkat usaha dan tawakal suaminya yang membawa seisi keluarga berpindah ke ibu negara menjadikan dirinya seorang watak penting dalam industri hari ini.
"Saya sangat bersyukur yang Aaron betul-betul tawakkul, walaupun dia masih kurang stabil di Malaysia ketika itu, dia macam 'enough is enough my family has to be with me'.
"Itu merupakan kontrak pertama dia dengan Astro dan itu pun cuma setahun hingga dua tahun punya perjanjian, tidak la stabil sangat.
"Di saat dia tandatangani kontrak itu kami sekeluarga berhijrah ke Malaysia dengan sebuah kereta kecil, periuk nasi semua barangan penting dibawa bersama dan tinggal di sebuah rumah sewa," katanya.
Menganggap ia sebagai momen tidak akan dilupakan, keputusan besar dibuat suaminya menjadi salah satu asbab kepada segala perubahan dan kesenangan dikecapinya pada hari ini.
Malah, urusan anak-anaknya turut dipermudahkan selepas mendapat pendidikan di sekolah tempatan selain wang perbelanjaan yang semakin stabil hari demi hari.
"Sejak dari itu semuanya mula berubah, tapi ia tidak mudah, kami sangat bergelut tapi Alhamdulillah suami saya ambil keputusan itu.
"Saya rasa itu satu pengorbanan yang sangat besar dibuat Aaron yang akhirnya menjadikan kami sekeluarga pda hari ini, itu adalah Aaron, segalnya tentang keluarga dan anak-anak.
"Saya selalu pesan pada anak-anak, tak ingat mommy tak apa, tapi tak boleh tak ingat daddy," ujarnya.
Untuk rekod, kerjaya Aaron di Malaysia diiktiraf secara rasmi apabila beliau dianugerahkan gelaran Datuk (Darjah Indera Mahkota Pahang, DIMP) oleh Kerabat Diraja Pahang pada 16 Disember 2017 atas sumbangannya kepada industri hiburan Melayu.
Selain berlakon, Aaron juga pernah muncul sebagai pengacara rancangan realiti termasuk Fear Factor Selebriti Malaysia musim kedua pada 2013.
Turut aktif sebagai Duta Kesedaran HIV dengan menyertai Malaysian AIDS Foundation Red Ribbon Celebrity Supporter, Aaron sentiasa berkongsi penerangan serta motivasi buat masyarakat khususnya golongan remaja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram