DALAM era digital yang semakin terbuka, kanak-kanak menjadi antara golongan paling terdedah kepada pelbagai bentuk jenayah siber termasuk eksploitasi seksual, kandungan tidak sesuai, serta manipulasi dalam talian.
Kes-kes membabitkan kanak-kanak yang kian meningkat saban tahun menuntut tindakan lebih tegas dan sistematik demi keselamatan generasi muda.
Seiring perkembangan itu, kerajaan dan pihak berautoriti kini memperkukuh langkah pencegahan bagi memastikan internet menjadi ruang yang lebih selamat.
BACA LAGI: Rai hari jadi ke-12, Nana Mahazan 'request' dukung anak kali terakhir sebelum melangkah remaja
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya kini memberi tumpuan bagi memperkukuh kewajipan Pemberi Perkhidmatan berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Langkah tersebut adalah selari dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025).
Jelasnya, pendekatan baharu itu meletakkan perlindungan kanak-kanak sebagai keutamaan melalui sistem pengurusan risiko platform serta langkah pencegahan kandungan yang boleh memudaratkan pengguna muda.
Kempen Internet Selamat
Dalam aspek pendidikan awam, MCMC meneruskan fokus membina kesedaran digital melalui Kempen Internet Selamat (KIS) yang kini telah dilaksanakan di 8,454 institusi pendidikan seluruh negara.
Kempen tersebut merangkumi sesi bersama pelajar, ibu bapa, pendidik dan komuniti bagi memberi pendedahan mengenai risiko dalam talian.

Kempen Internet Selamat antara inisiatif MCMC membendung jenayah siber kanak-kanak.
957 kandungan jelik dikesan, 94 peratus diturunkan
Dalam tempoh 1 Januari 2024 hingga 30 November 2025, sebanyak 957 kes kandungan jelik melibatkan kanak-kanak dikesan di media sosial.
Daripada jumlah tersebut, 899 kandungan berjaya diturunkan, mewakili kadar pematuhan 94 peratus dan platform paling responsif dalam usaha penurunan kandungan ialah Tumblr, TikTok dan Facebook.
Penguatkuasaan operasi bersama polis
Selain pemantauan dalam talian, usaha memerangi jenayah seksual kanak-kanak turut digerakkan melalui kerjasama penguatkuasaan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi bersasar seperti Op Pedo 1.0 pada Disember 2024 menyaksikan 13 individu ditahan dan lebih 40,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak dirampas.
Kejayaan lebih besar direkodkan menerusi Op Pedo 2.0 yang dijalankan dari 22 hingga 30 September 2025, membabitkan 31 suspek di 37 lokasi, termasuk kes melibatkan guru dan warga asing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
