SEIRING penambahan usia perkahwinan, hubungan suami isteri lazimnya akan mulai suram atas beberapa faktor dan komunikasi dua hala yang semakin berkurang.
Tindakan kecil yang dahulunya hadir tanpa diminta seperti ucapan terima kasih ataupun gurauan spontan tidak lagi kelihatan yang akhirnya menjurus ke isu keretakan rumah tangga.
Tanpa disedari, hubungan bertukar sepi bukan kerana hilangnya cinta, tetapi dek kurangnya usaha kecil yang selama ini menghidupkan hubungan.
Gambaran realiti itu terserlah menerusi perkongsian pengguna Threads, Nyssaa Sharu yang menceritakan kisah pilu dihadapi seorang pemanggil wanita dalam sebuah segmen radio baru-baru ini.
Jelasnya, situasi berlaku bila mana individu tersebut mendakwa suaminya sengaja enggan membalas segala mesej dan perkongsian laman sosialnya walaupun menyedari perkara itu.
Lebih menyedihkan, suaminya lebih memilih untuk membalas komen ataupun kiriman teks dari individu lain yang tidak dikenalinya yang sekali gus membuatkan dirinya terasa seolah-olah tidak dihargai.
"Semalam saya dengar seorang wanita di radio luahkan rasa sedih kerana suaminya selalu lihat mesej dan statusnya, tapi tak pernah respon atau beri reaksi tapi untuk orang lain, dia bukan main lagi.
"Ini bukan soal WhatsApp atau status, ini tentang rasa dilihat, didengar dan dihargai.
"Kadang-kadang satu emoji pun cukup buat pasangan rasa disayangi, bila lelaki yang kita sayang balas semua orang, tapi diam dengan kita itu jadi luka halus yang hanya hati boleh faham," ujarnya.
Tegas menafikan ia bukan isu remeh yang boleh dipandang rendah, hubungan kukuh antara suami isteri menurutnya terbentuk daripada perkara-perkara kecil sering diabaikan.
"Emosi bukan bahan hiburan, ia adalah kebenaran seseorang jadi kita sepatutnya tahu bila patut ketawa dan waktunya kita perlu berhenti," ujarnya.
Perkongsiannya mendapat perhatian ramai dengan rata-rata pasangan turut mengakui pernah melalui situasi sama.
Ramai bersetuju bahawa keretakan rumah tangga tidak hanya berpunca akibat isu curang semata-mata, malah ia juga berkait rapat dengan tingkah laku sang suami.
"Bekas suami saya sentiasa balas komen semua orang kecuali saya, tetapi apabila saya komen, dia akan berhenti macam dah tak berminat," kata ichbinvaiva95.
"Saya faham perasaan wanita itu kerana bekas teman lelaki saya juga tidak pernah membalas mesej saya, instagram atau apa-apa tetapi komen perempuan lain dia balas," ujar adamharrisnohharris.
Ia secara tidak langsung membuka mata ramai bahawa dalam hubungan suami isteri, tindakan sekecil itu bukan perkara remeh malah menjadi asas keharmonian sesebuah rumah tangga.
Walaupun kelihatan mudah, respons ringkas atau pengakuan kecil mampu mengukuhkan keintiman yang sering hilang dalam kesibukan hidup berkeluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
