PELAKON tersohor tanah air, Nabila Huda berkongsi refleksi mendalam mengenai kehidupan, hubungan dan perjalanan kariernya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-41 baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram, Nabila meluahkan bahawa usia yang semakin meningkat mengajarnya untuk melepaskan perkara yang membebankan dan memberi lebih keutamaan kepada diri sendiri.
Malah menurutnya, tidak semua insan yang hadir dalam hidup ditakdirkan untuk kekal selama-lamanya.
BACA LAGI: Hamil seawal usia 5 tahun, Lina Medina miliki simptom akil baligh pramatang, kini berusia 92 tahun
"Hidup ini terlalu singkat untuk berpegang pada perkara yang membuat hati saya berat, keep your circle small sebab tak semua orang yang kita sayang sebenarnya milik kita.
"Ada orang datang sebagai berkat, ada juga sebagai pengajaran," katanya.
Nabila turut menyatakan bahawa apa yang tidak perlu harus dilepaskan, dan jika kebahagiaan tidak ditakdirkan berlaku dalam kehidupan, mungkin ada versi yang lebih indah pada masa lain.
Kerjaya jadi cinta sejati
Dalam perkongsian sama, Nabila menegaskan bahawa cintanya terhadap dunia lakonan tetap kekal utuh.
"Cinta saya terhadap kerjaya saya akan kekal selama-lamanya, saya ingin meneroka lebih banyak watak, belajar lebih lanjut sampai akhir hayat," ujarnya.
Menyifatkan kerjaya seni sebagai ruang yang sentiasa mendorong dirinya berkembang, malah ia turut membuka peluang untuk mengembara dan melihat dunia dengan perspektif baharu.
Sebagai antara pelakon wanita paling berpengaruh di Malaysia, Nabila Huda dikenali kerana keberanian membawa watak mencabar dan penuh emosi.
Sepanjang lebih 20 tahun berkecimpung dalam industri, beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan profesional termasuk anugerah pelakon wanita terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-27.
Malah, reputasinya sebagai pelakon serba boleh sering mendapat pujian pengarah dan rakan industri, menjadikannya antara wajah paling konsisten dalam dunia lakonan Malaysia.
'Saya pilih saya'
Dalam penutup ucapan ulang tahunnya, Nabila menegaskan bahawa dirinya kini memilih kebahagiaan dan ketenangan melebihi segala-galanya.
"Hari ini, saya memilih kedamaian, saya memilih kebahagiaan dan yang paling penting, saya pilih saya," katanya.
Perkongsian tersebut menerima reaksi positif daripada peminat dan rakan artis yang mengucapkan tahniah serta mendoakan agar pelakon itu terus sukses dalam bidang diceburi.
Tidak sekadar berbakat besar di layar perak, ciapan itu membuktikan bahawa beliau juga seorang wanita yang matang, kuat dan berani memilih jalan kebahagiaannya sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
