[VIDEO] Gadis asal Hyderabad cipta sejarah buka ‘runway’ Chanel di subway New York


  • Gaya
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Bhavitha kini muncul antara wajah baharu paling berpotensi dalam dunia fesyen global. — Agensi

NAMA Bhavitha Mandava, 25, kini meniti di bibir dunia fesyen selepas model kelahiran Hyderabad, India itu diberi penghormatan membuka pertunjukan koleksi Métiers d’Art 2026 Chanel di New York City, di bawah arahan kreatif Matthieu Blazy.

Pertunjukan berprestij yang berlangsung di sebuah stesen kereta api itu menjadi antara acara paling hangat diperkatakan musim ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Bhavitha sebagai bakat baharu paling menyerlah.

Sebelum menembusi pentas fesyen global, Bhavitha menamatkan pengajian dalam bidang seni bina di India sebelum berpindah ke Amerika Syarikat (AS) untuk melanjutkan pelajaran teknologi bantuan di New York University.

BACA LAGI: Tuah warna kulit, raut wajah eksotik, gelaran 'Model of the Year 2025' milik Anok Yai diumum sebulan awal

BACA LAGI: Laikha Macwilson amal menu putih telur ke matcha, 'clean eating' rahsia tenaga kapten bola sepak wanita Australia

 

 

Minatnya terhadap dunia peragaan berkembang ketika mengimbangi jadual akademik.

Kerjaya peragaannya bermula secara tidak diduga selepas ketika ditemui di sebuah stesen kereta bawah tanah, hanya dua minggu sebelum bermulanya musim Spring/Summer 2025.

Menurut models.com, Matthieu Blazy, yang ketika itu di Bottega Veneta merupakan individu pertama yang memilihnya untuk debut peragaan.

Bhavitha kemudian muncul sebagai model eksklusif Bottega Veneta, sebelum terpilih untuk kempen jenama tersebut, menjadikan Blazy sebagai figura penting dalam mencorak hala tuju awal kerjayanya.

Apabila Blazy menyertai Chanel sebagai pengarah kreatif, Bhavitha terus menjadi antara model pilihannya.

Selain berjalan di koleksi debut Chanel Spring 2026, model itu kini mencipta detik manis apabila tampil membuka pertunjukan Métiers d’Art 2026 di lokasi yang secara simbolik mengimbau kembali penemuan bakatnya dahulu.

Tular di media sosial, video yang dikongsikan Bhavitha pada 3 Disember menunjukkan reaksi ibu bapanya yang sebak ketika menonton kemunculannya di Bowery Station.

Ibunya dilihat menangis gembira sambil menyebut namanya berulang kali, manakala bapanya memandang penuh bangga.

“Tiada kata mampu gambarkan betapa besar makna detik ini untuk saya. Terima kasih @chanelofficial @matthieu_blazy,” tulisnya dalam kapsyen video tersebut.

Bhavitha kini muncul sebagai antara wajah baharu paling berpotensi dalam dunia fesyen global, dengan kerjaya yang terus melonjak di bawah bimbingan Blazy. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram