MESKIPUN Fashion Awards 2025 bakal berlangsung pada 1 Disember nanti, namun Majlis Fesyen British (BFC) melakukan sesuatu yang berbeza tahun ini dengan mengumumkan pemenang kategori Model of the Year hampir sebulan lebih awal daripada acara rasmi.
Lapor agensi, BFC menerusi akaun Instagram mereka pada Rabu mengumumkan model kelahiran Sudan-Amerika dan bekas penghias muka depan majalah Dazed, Anok Yai sebagai bintang peragaan terbesar tahun ini selepas melalui tahun cemerlang di pentas peragaan dan kempen fesyen.
Sepanjang 12 bulan lalu, Anok menunjukkan prestasi mengagumkan semasa minggu fesyen bagi musim bunga/luruh 2026 yang berlangsung di beberapa negara apabila beliau menjadi pembuka pertunjukan untuk Ferragamo, Coperni dan Hugo Boss dan penutup persembahan bagi Ralph Lauren, Fendi, Vetements serta Messikia.
Beliau turut berjalan di pentas jenama terkenal seperti Saint Laurent, Mugler, Tom Ford, Calvin Klein, Bottega Veneta serta pertunjukan sulung Chanel oleh Matthieu Blazy.
Selain itu, Anok juga menjadi wajah utama kempen haruman Alien oleh Mugler serta beberapa jenama komersial termasuk Gap.
Beliau juga kembali ke pentas pertunjukan fesyen Victoria Secret dan menghiasi kulit majalah seperti Perfect, Vogue France dan Allure yang terakhir menampilkan beliau bersama pemenang Model of the Year tahun lalu, Alex Consani.
Berbeza dengan kebiasaan di mana lima model biasanya dicalonkan untuk kategori ini, tahun ini BFC memilih untuk menobatkan pemenang terus tanpa sebarang pencalonan awal.
Panel juri khas yang menentukan kemenangan Anok terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu BFC, Laura Weir, Pengarah Fesyen Dazed, Emma Davidson dan beberapa figura hebat dalam industri fesyen negera berkenaan.
Di luar kategori Model of the Year, anugerah lain bagi Fashion Awards 2025 masih menjadi rebutan ramai.
Majlis penyampaian dijadualkan berlangsung di Royal Albert Hall, London bulan hadapan, manakala senarai calon anugerah sudah diumumkan sejak Julai lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
