[VIDEO] 'Rasanya ternampak Myvi dan Axia', Trump umum AS benar keluar kereta kompak seperti Malaysia


  • Massa
  • Khamis, 04 Dis 2025

Kereta di Malaysia memberi inspirasi kepada Trump untuk membenarkan pengeluaran kereta kompak buat pertama kali.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa negara itu akan membenarkan pengeluaran kereta kompak buat pertama kali, selepas beliau sendiri melihat populariti model kecil dan ekonomi itu ketika lawatannya ke Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan beberapa negara lain baru-baru ini.

Menurut Trump, kereta bersaiz kecil yang dianggapnya 'comel' dan mirip Volkswagen Beetle itu menarik perhatiannya, sekali gus mencetuskan idea untuk membuka pasaran baharu di AS.

BACA LAGI: Shamsul Iskandar, Albert Tei masing-masing hadapi 4 tuduhan rasuah hampir RM177,000

BACA LAGI: 'Hanya berguru Threads dan ChatGPT', mutawwif kecewa Gen Z ambil mudah laksana 'umrah DIY'

"Kebanyakan pengguna berminat dengan kereta kecil, tetapi pengeluar sebelum ini tidak dibenarkan membina kereta seperti itu.

"Saya sudah memberi kuasa kepada Setiausaha (Jabatan Pengangkutan) untuk meluluskan pengeluaran kereta berkenaan dengan segera, jadi rakyat akan dapat membelinya," katanya dalam sidang media di Pejabat Oval, Rumah Putih pada Khamis.

Trump turut menyebut beberapa syarikat Jepun seperti Honda yang menghasilkan reka bentuk kereta kompak yang 'cantik dan sangat menarik', sambil yakin kereta kecil itu berpotensi membuka pasaran besar di AS.

"Sebelum ini ia tidak dibenarkan dihasilkan di AS. Kereta kecil ini sangat baik, lebih murah dan memberi peluang kepada rakyat untuk memiliki kereta baharu berbanding terus menggunakan kereta lama yang kurang memuaskan.

"Syarikat automotif kini boleh mula mempertimbangkan peluang ini," jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Jabatan Pengangkutan AS, Sean Duffy mengesahkan bahawa Trump telah mengarahkan pelonggaran peraturan bagi membolehkan syarikat seperti Toyota atau pengeluar lain menghasilkan kereta kompak, mampu milik serta jimat bahan api di AS.

"Kami sudah mempermudahkan semua peraturan supaya mereka boleh membina kereta itu di AS dan menjualnya di pasaran tempatan," ujarnya.

Pengumuman tersebut pantas mencetuskan reaksi bangga dalam kalangan warganet Malaysia, khususnya apabila Trump menyebut negara ini sebagai antara rujukan kereta kompak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) ketika bertemu Trump sempena Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada November lepas. — PMO

Ramai pengguna media sosial mengandaikan bahawa lawatan Trump ke Malaysia pada November lalu mungkin telah memperlihatkannya model popular tempatan seperti Perodua Axia dan Myvi.

"Rasanya Trump ternampak Myvi dan Axia dekat Malaysia,” tulis pengguna Instagram, Haziqizzo.

"Sah-sah ternampak Myvi Trump ini," seloroh pengguna lain, Goldenbell1309.

Tidak kurang juga yang menganggap kenyataan Trump sebagai satu bentuk pengiktirafan tidak langsung terhadap industri automotif Malaysia yang terkenal dengan kereta kompak berpatutan dan praktikal. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram