KURIKULUM sekolah 2027 (KP2027) dijangka mengubah landskap pendidikan negara dengan memberi keutamaan kepada empati, sahsiah dan kesedaran budaya sebagai teras pembelajaran.
Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Nooraini Kamaruddin berkata, pendekatan itu dilakukan dengan menyesuaikan pendidikan kepada naluri dan rasa ingin tahu semula jadi kanak-kanak, bukannya memaksa mereka mengikut struktur pembelajaran yang terlalu rigid.
“Kanak-kanak belajar dengan lebih baik apabila pendidikan seiring dengan minat dan tahap perkembangan mereka, ia membolehkan mereka meneroka, bertanya dan memahami dunia di sekeliling,” katanya.
BACA LAGI: Terima bajet paling besar, KPM komited pastikan tiada murid terpinggir
BACA LAGI: 10A+ automatik ke matrikulasi, pelajar dapat A- masih cemerlang — KPM

Mohd Azam (kanan) beramah mesra dengan sebahagian editor kanan yang hadir sesi libat urus media mengenai KP2027 dan kurikulum prasekolah 2026. —SAMUEL ONG/The Star
Beliau berkata demikian pada sesi libat urus media mengenai KP2027 dan kurikulum prasekolah 2026 pada 26 November.
Beliau berkata, pembaharuan itu menyaksikan perubahan daripada kurikulum berasaskan standard kepada model berasaskan standard dan kompetensi yang mengukuhkan kemahiran asas serta lebih fleksibiliti untuk murid belajar mengikut kadar perkembangan masing-masing.
Negara seperti Singapura, United Kingdom, Finland dan Jepun, katanya, sudah membuat peralihan sama iaitu menumpukan bukan sahaja kepada penguasaan ilmu, tetapi juga nilai kemanusiaan, kreativiti dan kebolehsuaian.
“Dengan memberi penekanan kepada kompetensi berbanding hafalan, KP2027 menekankan pembelajaran holistik yang menggabungkan pengetahuan, kemahiran dan sikap.
“Ia bukan sahaja mempersiapkan murid untuk peperiksaan, tetapi juga untuk kehidupan,” katanya sambil menambah, kurikulum baharu itu memastikan tiada murid sama ada dari bandar, luar bandar, arus perdana atau pendidikan khas daripada tercicir.
Pelaksanaan KP2027 akan dibuat secara berfasa bermula dengan prasekolah pada 2026, kemudian Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027.
Nooraini turut membangkitkan dapatan kajian antarabangsa seperti Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA) yang menunjukkan prestasi Malaysia ketinggalan berbanding rakan global.
KP2027, katanya, dirangka selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, keperluan masyarakat dan kompetensi utama, sambil memastikan rasa ingin tahu semula jadi murid kekal sebagai asas pembelajaran.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, kurikulum baharu itu berpaksikan kajian perkembangan kanak-kanak dan amalan terbaik antarabangsa yang disesuaikan dengan konteks Malaysia.
“Dengan menyelaraskan kandungan pendidikan dengan kecenderungan pembelajaran semula jadi kanak-kanak, kita memastikan pembelajaran menjadi lebih bermakna, menarik dan berkekalan,” katanya.
Tambah Mohd Azam, kurikulum itu berorientasikan masa depan, melengkapkan murid untuk menghadapi dunia yang berubah pantas.

KP2027, jelas Nooraini, berteraskan tujuh kompetensi utama bagi melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga insan yang menyeluruh.
Setiap kompetensi dirangka untuk memupuk kekuatan semula jadi murid, penting untuk perkembangan holistik dan keupayaan mereka menghadapi cabaran hidup.
Di peringkat prasekolah, beliau berkata, kurikulum memberi keutamaan kepada naluri komunikasi, sosialisasi dan pembentukan sahsiah kanak-kanak.
Daripada memaksa mereka membaca dan menulis terlalu awal, prasekolah akan menjadi ruang untuk membina kemahiran sosial, kesedaran emosi dan rasa ingin tahu.
“Prasekolah ialah fasa pengembangan kemahiran psikomotor. Sebab itu aktiviti ‘hands-on’ dan permainan aktif sangat penting.
“Ini bukan bermaksud pendidikan digugurkan tahapnya, tetapi disesuaikan dengan perkembangan semula jadi kanak-kanak,” katanya.
Mengulas kebimbangan berlarutan mengenai beg sekolah berat dan jumlah mata pelajaran terlalu banyak, beliau berkata, KP2027 memperkenalkan permulaan pembelajaran yang lebih ringan dan berfokus.
“Kita kurangkan mata pelajaran dan menyusun beberapa kandungan melalui mata pelajaran tematik bersepadu seperti Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu untuk murid Tahap I (Tahun Satu dan Dua).
“Contohnya, menerusi mata pelajaran ini, murid belajar mengenai diri dan persekitaran, termasuk kesedaran tubuh, kepelbagaian budaya, menghormati perbezaan, sentuhan selamat dan kesihatan asas, sambil membina literasi serta numerasi awal,” katanya.

Apabila memasuki Tahap II (Tahun Tiga dan Empat), mata pelajaran itu akan dipecahkan kepada dua iaitu Eksplorasi Sains dan Teknologi: Pembelajaran Bersepadu serta Eksplorasi Seni dan Dunia: Pembelajaran Bersepadu yang masing-masing memberi fokus kepada sains dan seni.
“Murid mula mempraktikkan kemahiran asas, membangunkan projek bersepadu dan merasai pembelajaran merentas disiplin seperti kehidupan sebenar,” jelasnya.
Di tahun-tahun akhir sekolah rendah dan seterusnya sekolah menengah, murid akan diperkasa untuk meneroka pengetahuan lebih mendalam dan minat khusus mereka.
“Mereka digalakkan berinovasi sama ada dalam bidang sains, seni atau teknologi dan mengikuti minat masing-masing,” jelasnya.
Persediaan guru
Beliau juga menekankan kepentingan mempersiapkan guru dengan keperluan bilik darjah yang semakin berkembang.
“Persediaan guru sedang diperkukuh melalui Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa latihan perguruan kini diselaraskan untuk memasukkan penyesuaian kurikulum baharu termasuk pengurusan bilik darjah dan penggunaan bahan pembelajaran.
“Inisiatif ini tidak bertujuan membebankan guru. Sebaliknya, beberapa tugas dikurangkan dan sumber baharu seperti aplikasi mudah alih serta bahan sokongan diperkenalkan,” katanya.

Mohd Azam berkata, KP2027 berorientasikan masa depan, melengkapkan murid untuk menghadapi dunia yang berubah pantas. — SAMUEL ONG/The Star
Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, kurikulum baharu itu bukan sekadar kemas kini berkala, tetapi respons kepada perubahan besar dunia meliputi teknologi, perubahan iklim, budaya digital dan gaya hidup generasi masa depan.
Fokus utamanya adalah memastikan murid melalui perkembangan individu yang menyeluruh merangkumi aspek fizikal, emosi, rohani dan intelektual selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan prinsip Rukun Negara.
“Kita mahu anak-anak bukan sahaja celik huruf atau angka, tetapi mempunyai perasaan, empati, tahu apa yang betul dan salah, serta ada kasih sayang dan kepedulian. Ini tanggungjawab kita,” katanya.
Pengenalan 6 subjek baharu
DI bawah kurikulum sekolah 2027 (KP2027), Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan enam mata pelajaran baharu yang bertujuan mengukuhkan kemahiran asas dan pembangunan sahsiah murid pada peringkat awal persekolahan.
Antara mata pelajaran baharu itu ialah Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu di Tahap I, Eksplorasi Sains dan Teknologi: Pembelajaran Bersepadu di Tahap II, Eksplorasi Seni dan Dunia: Pembelajaran Bersepadu di Tahap II, Teknologi dan Digital (TnD), Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dan Bahasa Arab Komunikasi.
Menurut Nooraini, mata pelajaran tersebut direka untuk memupuk keterangkuman, pembelajaran secara ‘hands-on’, serta aplikasi praktikal, sambil mempersiapkan murid dari segi perkembangan kognitif, emosi dan sosial.
Sejak 2021, katanya, pasukan kurikulum telah menjalankan kajian menyeluruh dan mengumpul maklum balas daripada lebih 61,000 responden melalui perundingan dengan pakar, pendidik, ibu bapa dan pihak berkepentingan.
“Kanak-kanak hari ini membesar dalam persekitaran yang sangat pantas berubah, yang menjadikan gaya pembelajaran, minat dan kebolehan mereka berbeza.
“Oleh itu, kita akan menyingkirkan beberapa mata pelajaran dan memperkenalkan yang baharu, dengan mengambil elemen-elemen daripada mata pelajaran lama yang digugurkan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu misalnya menggabungkan elemen sains, seni, muzik, kesihatan, pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), serta digital — semuanya di bawah satu payung.
“Mata pelajaran ini akan menggantikan Sains, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik dalam kurikulum sedia ada, selain dilaksanakan melalui kaedah ‘co-teaching’.

Nooraini berkata, KP2027 berteraskan tujuh kompetensi utama. — SAMUEL ONG/The Star
“‘Co-teaching’ menyokong elemen berbilang disiplin dalam mata pelajaran ini, di mana guru saling melengkapi dan menyokong keperluan pembelajaran murid,” katanya.
Beliau menambah, pada Tahap III (Tahun Lima dan Enam) hingga Tingkatan Satu hingga Lima, murid akan diperkenalkan dengan TnD, sebuah mata pelajaran berasaskan projek yang direka untuk menggalakkan eksplorasi secara pengalaman dan penggunaan aplikasi digital secara praktikal.
“Pembelajaran akan menekankan soal selidik, eksplorasi dan penyelesaian masalah secara kolaboratif. Apabila kanak-kanak dibenarkan bertanya, bereksperimen dan terlibat secara aktif, mereka mengembangkan kemahiran berfikir kritis, daya tahan serta empati.
“Ini sejajar dengan matlamat kami untuk memupuk kejayaan akademik sekali gus kematangan manusia.
"Maka, kurikulum ini memperkenalkan ‘co-teaching’, pembelajaran berasaskan projek dan aktiviti ‘hands-on’,” jelasnya, sambil menambah bahawa guru akan berperanan sebagai fasilitator, membimbing murid semasa mereka meneroka, membuat reka bentuk dan membina projek sebenar.
Selain itu, BIM akan ditawarkan sebagai mata pelajaran tambahan di sekolah arus perdana dan diperkenalkan secara berperingkat, bermula Tahun Satu, di sekolah yang mempunyai program pendidikan khas bersepadu untuk murid kurang upaya pendengaran.
“Manakala Bahasa Arab Komunikasi akan diperkenalkan sebagai mata pelajaran bahasa tambahan baharu di peringkat menengah (Tingkatan Satu) di sekolah harian dan sekolah berasrama penuh, kecuali sekolah berasrama agama,” katanya.
Rangka penilaian baharu
Secara berasingan, Nooraini berkata, selaras dengan peralihan KP2027 daripada budaya berorientasikan peperiksaan, kurikulum akan menekankan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).
Bagi memudahkan penilaian murid, rangka penilaian akan bersifat berterusan, formatif dan autentik.
Beliau juga berkata, proses semakan akan dijalankan untuk memastikan murid mencapai penanda aras literasi dan numerasi, serta penguasaan kemahiran dalam menganalisis dan menghasilkan inovasi.
“Jika murid belum mencapai hasil pembelajaran yang dijangka, intervensi akan diberikan untuk membantu mereka mengejar ketinggalan, memastikan matlamat pembelajaran kurikulum dipenuhi sepenuhnya,” tambahnya. — The Star/ JAAYNE JEEVITA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
