Laikha Macwilson amal menu putih telur ke matcha, 'clean eating' rahsia tenaga kapten bola sepak wanita Australia


  • Sihat
  • Khamis, 06 Nov 2025

Laikha Macwilson kini semakin mencuri perhatian bukan sahaja kerana kejayaannya dalam dunia bola sepak, tetapi juga gaya hidup sihat yang diamalkannya.

NAMA adik kepada pelakon popular Zahirah Macwilson, Laikha Macwilson kini semakin mencuri perhatian bukan sahaja kerana kejayaannya dalam dunia bola sepak, tetapi juga gaya hidup sihat yang diamalkannya.

Menerusi satu hantaran di TikTok, Laikha berkongsi rutin pemakanan sihatnya yang seimbang dan penuh disiplin memperlihatkan menu berasaskan protein, karbohidrat sihat dan snek berkhasiat. 

Dalam beberapa kepingan gambar, kelihatan hidangan seperti putih telur, ayam panggang, avocado, tomato, bayam, sauerkraut dan yogurt Chobani disusun kemas di atas pinggan menunjukkan betapa teraturnya pemilihan makanan hariannya.

BACA LAGI: Cuaca sangat panas, cuma saya masih mahu beraksi bersama Malaysia — Laikha Macwilson

BACA LAGI: 'Saya dilahirkan di England tetapi berdarah warisan Malaysia', adik Zahirah Macwilson muncul jurulatih bola sepak terbaik di Australia

Antara minuman pilihannya pula ialah matcha dan sleepy tea, manakala menu lain seperti salad Subway dengan ayam, avocado dan sayuran segar, serta kombinasi steak, telur, kentang rendah karbo dan avocado turut menjadi menu kegemarannya.

Tidak sekadar menjaga kesihatan fizikal, Laikha turut menonjolkan kecemerlangannya dalam bidang sukan. 

Berusia 27 tahun, beliau kini beraksi bersama kelab bola sepak wanita Gold Coast Bond University di Australia di mana dia bukan sekadar pemain, tetapi juga kapten pasukan dan jurulatih utama.

Kehebatannya di tepi padang terbukti apabila Laikha dinobatkan sebagai ‘Coach of the Year’ (jurulatih terbaik) dalam kategori komuniti pada Anugerah Queensland Football Gala iaitu satu pengiktirafan yang jarang diraih oleh jurulatih muda.

Sejak mengambil alih pasukan itu tahun lalu, Laikha berjaya membawa skuadnya mara ke Divisyen 1 dan seterusnya ke peringkat Grand Final, menandakan keupayaan taktikal dan kepimpinannya yang luar biasa.

Menariknya, Laikha juga berpotensi untuk menyertai skuad kebangsaan Malaysia, memandangkan beliau mempunyai pertalian darah dari sebelah ibunya yang merupakan warganegara Malaysia.

Gaya hidup sihat dan disiplin yang diamalkannya baik dari aspek pemakanan mahupun latihan jelas menjadi kunci kejayaannya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram