POPULARITI kereta elektrik (EV) semakin meningkat di Malaysia, sejajar dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mempromosikan kenderaan mesra alam.
Manakan tidak, dengan harga bahan bakar yang tidak menentu dan kesedaran masyarakat terhadap impak alam sekitar, ramai pengguna kini mula mempertimbangkan EV sebagai alternatif kenderaan konvensional.
Namun, orang ramai dinasihatkan supaya membuat pilihan bijak sebelum membeli, kerana tidak semua EV sesuai untuk setiap jenis penggunaan dan gaya hidup.
BACA LAGI : Jangan hanya teruja lihat harga murah, 5 tip elak terbeli kereta terpakai rosak banjir
BACA LAGI : Kereta ditenggelami banjir? Periksa warna minyak hitam bertukar 'teh tarik' antara 7 langkah kritikal
Melalui perkongsian pakar automatif, Hamdan Mekanika Malaysia, ada 10 cabaran utama yang pengguna perlu tahu sebelum melabur dalam EV.
1. Infrastruktur pengecasan masih terhad

Nisbah antara bilangan EV dan charger masih tidak seimbang, terutamanya di kawasan luar bandar. — Gambar hiasan janaan Ai
Walaupun jumlah stesen pengecas kereta EV di Malaysia semakin bertambah dari tahun ke tahun, nisbah antara bilangan EV dan charger masih tidak seimbang, terutama di kawasan luar bandar dan laluan kurang sesak.
Peningkatan jualan EV seringkali melebihi pertumbuhan infrastruktur pengecasan, menyebabkan sesetengah kawasan menghadapi kekurangan stesen walaupun permintaan meningkat dengan pesat.
Pengguna di Pantai Timur, sebagai contoh, sering menghadapi kekangan akses kepada stesen pengecas yang beroperasi, dan risiko menunggu lama untuk mengecas kenderaan menjadi isu biasa.
Situasi itu lebih kritikal semasa musim perayaan atau hujung minggu apabila jumlah kenderaan meningkat, menjadikan masa pengecasan lebih lama daripada biasa.
Selain itu, sesetengah stesen pengecas juga menghadapi masalah teknikal seperti kerosakan atau gangguan sistem, yang menambahkan lagi ketidakpastian bagi pengguna.
Keadaan itu menuntut perancangan perjalanan yang lebih teliti bagi pemilik EV, terutama bagi mereka yang kerap melakukan perjalanan jauh atau tinggal di kawasan terpencil.
2. Masa pengecasan lebih lama
Isi minyak hanya mengambil masa tiga sehingga sepuluh minit, manakala pengecasan EV mengambil masa lebih lama walaupun menggunakan pengecas pantas (DC fast charger).
Kecepatan pengecas dipengaruhi Pengecas on-board (OBC) kereta, kapasiti pengecas dan kondisi elektrik semasa.
3. Kos dan jangka hayat Bateri
Bateri EV adalah komponen paling mahal dan menjadi 'jantung' kenderaan elektrik.
Jangka hayat efektif bateri lapan hingga 10 tahun, selepas itu kapasiti menurun dan penggantian bateri boleh mencecah antara RM10,000 hingga lebih RM100,000 bergantung pada jenis.
4. Harga kereta masih tinggi
Walaupun kerajaan menawarkan pelepasan cukai sehingga hujung 2025, harga kereta elektrik (EV) di Malaysia masih kekal lebih tinggi berbanding kereta petrol dalam segmen yang sama.
Kos tinggi ini banyak dipengaruhi oleh harga bateri yang mahal, teknologi kenderaan elektrik yang kompleks, serta kos pembangunan dan pemasangan komponen yang masih baru di pasaran tempatan.
Akibatnya, walaupun EV dilihat sebagai alternatif mesra alam, ia masih kurang mampu dimiliki oleh sebahagian besar pengguna biasa. Harga rendah sahaja tidak menjamin EV sesuai dengan gaya hidup atau keperluan harian setiap individu, terutama bagi mereka yang merancang penggunaan jangka panjang atau kerap melakukan perjalanan jauh.
Kereta dipasang secara tempatan (CKD) dan kereta import sepenuhnya (CBU) yang lebih mampu milik dijangka hadir pada 2026.
5. Kos baik pulih dan penyelenggaraan
Sistem elektronik EV kompleks dan mahal untuk dibaiki.
Selain itu, bengkel spesialis EV masih terhad di Malaysia, menjadikan servis selepas waranti satu cabaran.
Pada masa sama, kebanyakan alat ganti kereta EV sukar untuk diperolehi dalam pasaran Malaysia sekali gus menjadikan kereta anda tersadai di bengkel lama.
Sekali pun kerosakan jarang berlaku pada tahun-tahun awal, bila berlaku selepas tempoh waranti, kos pembaikan boleh menjadi sangat tinggi, jauh lebih mahal berbanding kereta petrol biasa..
6. Jarak pemanduan terhad (Range Anxiety)
Purata EV di pasaran menawarkan jarak 400–500 kilometer (KM), tetapi pemanduan realiti boleh mengurangkan jarak kerana kelajuan tinggi, penggunaan pendingin hawa dan keadaan jalan.
Perjalanan yang jauh juga memerlukan perancangan rapi.
Pada masa sama, penggunaan EV di kawasan pedalaman atau laluan lasak boleh menjejaskan prestasi kenderaan dan menimbulkan risiko kerosakan lebih cepat.
Salah satu faktor utama yang perlu difahami pengguna adalah ketahanan fizikal EV. Reka bentuknya yang lebih ringan berbanding kenderaan konvensional, digabungkan dengan kapasiti bateri yang terhad, membuatkan sesetengah model tidak sesuai untuk laluan berbukit, off-road, atau keadaan cuaca ekstrem.

Peralatan diagnostik khusus EV diperlukan untuk memeriksa sistem elektronik dan bateri dengan tepat, sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh bengkel konvensional. — Gambar hiasan janaan Ai
7. Kekurangan kepakaran servis tempatan
Bengkel pihak ketiga yang pakar dalam kereta EV masih jarang ditemui di Malaysia, menyebabkan ramai pengguna terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pengeluar (dealer) rasmi untuk servis dan pembaikan.
Kos servis di pengeluar yang telah ditetapkan juga jauh lebih tinggi berbanding bengkel biasa, menjadikan setiap isu EV lebih membebankan dari segi kewangan.
Selain itu, peralatan diagnostik khusus EV diperlukan untuk memeriksa sistem elektronik dan bateri dengan tepat, sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh bengkel konvensional.
Masalah kecil seperti inverter, motor elektrik, atau sistem penyejukan (cooling system) tidak boleh dibaiki sendiri, sekaligus menjadikan kerosakan kecil berpotensi menjadi mahal.
Tambahan pula, jarak ke bengkel pakar boleh menjadi isu besar, terutama bagi pengguna di luar bandar yang terpaksa memandu jauh untuk mendapatkan servis.
8. Kurang sesuai untuk penghuni apartmen dan kondominium

Pemasangan pengecas (charger) sendiri di rumah bertingkat bukan sahaja sukar dilakukan, malah bergantung kepada kelulusan pihak pengurusan atau jawatankuasa masyarakat (JMC). — Gambar hiasan janaan Ai
Bagi penghuni rumah bertingkat seperti apartmen dan kondominium, penggunaan kereta EV masih menghadapi banyak kekangan praktikal.
Pemasangan pengecas (charger) sendiri di rumah bertingkat bukan sahaja sukar dilakukan, malah bergantung kepada kelulusan pihak pengurusan atau jawatankuasa masyarakat (JMC).
Tidak semua bangunan membenarkan pemasangan charger individu kerana isu keselamatan, struktur elektrik, dan permit yang diperlukan.
Sementara itu, pilihan pengecas awam (public charger) juga masih terhad dan kelajuannya jauh lebih perlahan berbanding pengecas di rumah.
Bagi mereka yang menggunakan kereta setiap hari untuk kerja, menghantar anak ke sekolah atau perjalanan rutin lain, keterbatasan ini boleh menimbulkan ketidakselesaan dan menyukarkan perancangan perjalanan, terutamanya pada waktu puncak atau hujung minggu apabila ramai pengguna lain turut mengecas kereta mereka.
Tanpa penyelesaian pengecas yang efisien, EV mungkin bukan pilihan paling praktikal bagi mereka yang tinggal di rumah bertingkat.
9. Isu kelestarian
Walaupun kereta EV sering dipromosikan sebagai kenderaan hijau yang mesra alam, realitinya ia masih mempunyai jejak karbon yang signifikan.
Pembuatan bateri EV memerlukan bahan utama seperti lithium, cobalt, dan nickel yang diperoleh melalui proses perlombongan dan penapisan, yang bukan sahaja mahal tetapi juga memberi impak alam sekitar yang besar.
10. Nilai jual semula rendah

Penggunaan EV di kawasan pedalaman atau laluan lasak boleh menjejaskan prestasi kenderaan dan menimbulkan risiko kerosakan lebih cepat.— Gambar hiasan janaan Ai
Salah satu isu utama yang sering diabaikan oleh pembeli kereta EV ialah nilai jual semula yang rendah.
Nilai susut EV di Malaysia boleh mencecah 30 hingga 40 peratus dalam tempoh tiga tahun pertama, jauh lebih tinggi berbanding kereta petrol konvensional.
Salah satu puncanya adalah ketiadaan standard penilaian bateri seperti yang diamalkan di Eropah, di mana status bateri diuji sebelum kenderaan dijual semula.
Tanpa standard ini, pembeli kereta terpaksa membuat anggaran sendiri tentang kondisi bateri, menjadikan EV kurang menarik dari segi nilai pasaran terpakai.
Selain itu, harga bateri yang mahal dan kemerosotan kapasiti bateri dari masa ke masa turut menjejaskan nilai jualan semula.
Kesimpulannya, EV di Malaysia lebih sesuai untuk pengguna yang membeli sebagai kereta kedua atau ketiga, dengan niat untuk menggunakan dalam jangka pendek, dan kurang sesuai bagi mereka yang mengutamakan pelaburan jangka panjang atau resale value yang stabil.
Tanpa pasaran kereta terpakai yang mantap, risiko kehilangan nilai EV menjadi satu faktor penting yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan pembelian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
