Remaja 17 tahun terima pengiktirafan PBB bina model pemulihan kolam tercemar di India


  • Bisnes
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Dev Karan di majlis anugerah Young Activists Summit di PBB, Geneva. — Agensi

SEORANG remaja India, Dev Karan, 17, diangkat sebagai antara penerima anugerah pada Sidang Kemuncak Aktivis Muda (YAS) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geneva, Switzerland.

Ia hasil usahanya memulihkan kolam yang semakin terancam akibat pencemaran dan pembangunan.

Segalanya bermula dua tahun lalu apabila Dev menyaksikan sendiri sebuah kolam di Haryana di utara India, bertukar keruh dengan warna keungu-unguan.

BACA LAGI: Dulu beratur demi bantuan makanan, ramai tak tahu kisah pengasas WhatsApp

BACA LAGI: Diskaun istimewa untuk penyelesaian awal pinjaman kereta mulai 2026

(From L) Young activists India's Dev Karan, Lebanon's Marina El Khawand and Brazil's Salvino Oliveira pose on the eve of the Young Activists Summit award ceremony at the UN in Geneva, on November 19, 2025. Five youths using tech to drive change win United Nations-backed prize. (Photo by Fabrice COFFRINI / AFP)

(Dari kiri) Dev Karan; Aktivis muda Lebanon, Marina El Khawand; dan Brazil, Salvino Oliveira, di majlis anugerah Young Activists Summit di PBB, Geneva. — Fabrice COFFRINI / AFP

Sedihnya, kolam itu dipenuhi pewarna, bahan kimia dan plastik.

“Ia benar-benar mengecewakan. Ketika itu saya sedar krisis iklim berlaku di mana-mana,” katanya dalam temu bual bersama AFP.

Pulihkan kolam, selamatkan ekosistem

Kolam di India berperanan penting sebagai takungan air semasa kemarau, mengurangkan risiko banjir, membantu penyerapan karbon, menyuburkan air bawah tanah dan menjadi habitat biodiversiti. 

Namun banyak yang terbiar, tercemar atau ditimbus bagi memberi laluan kepada pembangunan.

Melihat keperluan mendesak untuk memelihara sumber air itu, Dev bersama rakan-rakannya menubuhkan Pondora, sebuah organisasi yang membangunkan sistem pemantauan kualiti air menggunakan sensor berasaskan IT dan alat mudah alih.

Pasukannya melatih pelajar sekolah menggunakan monitor bersambung Bluetooth yang mengukur suhu, kemasinan, pH serta jalur kimia untuk mengesan bahan pencemar. 

Mereka juga melahirkan 'Duta Kolam' dalam kalangan penduduk setempat bagi membantu penyelenggaraan di kampung-kampung.

“Kami fokus kepada literasi iklim dan menerangkan mengapa kolam perlu dipelihara. Daripada pemerhati pasif, mereka kini menjadi aktivis,” katanya.

Usaha itu menerima pujian penganjur YAS yang menyifatkan model Pondora sebagai kaedah pemulihan ekosistem air 'yang boleh ditiru satu kolam pada satu-satu masa'.

Kempen digital dan pangkalan data kolam

Dev berkata, generasinya yang membesar dengan teknologi menjadikannya cenderung memanfaatkan media sosial dan alat digital sebagai sebahagian daripada gerakan pemuliharaan.

Pondora kini merancang mewujudkan pangkalan data nasional bagi memetakan semua kolam di India. Di New Delhi sahaja, separuh kolam yang direkodkan dilaporkan telah hilang — banyak ditimbus untuk pembangunan.

Sebagai sebahagian kempen kesedaran, pihaknya turut mendorong masyarakat memuat naik foto bersama kolam terdekat bagi menonjolkan kepentingan memelihara baki kolam yang masih ada.

Menjadi antara penerima anugerah termuda di YAS, Dev meninggalkan pesanan penting buat golongan muda.

“Suara anda penting. Walaupun sumbangan kecil, ia membawa kesan berantai. Setiap orang boleh menjadi pemimpin, cuma perlu keberanian untuk bermula,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram