SEORANG doktor wanita berdepan detik cemas selepas pembantu rumahnya cuba melarikan diri bersama teman lelakinya pada awal pagi Jumaat.
Berdasarkan perkongsian di akaun Threads milik Dr. Zawani Razali, kejadian di George Town, Pulau Pinang itu berlaku kira-kira pukul 1.45 pagi ketika beliau dan suami sedang tidur lena.
Menurut beliau, suami tiba-tiba mengejutkannya selepas terdengar bunyi pada pintu utama.
“Suami kejut tiba-tiba, katanya dengar bunyi pintu depan. Suruh saya bangun tengok pembantu rumah, dia pula terus periksa pintu utama dan kawasan lif,” katanya pada Jumaat.
Suaminya yang bertindak lebih pantas sempat melihat lif bergerak turun sebelum mendapati pintu bilik pembantu rumah terbuka dan tiada sesiapa di dalamnya.
Kongsi beliau, suaminya kemudian mengesyaki pembantu rumah itu cuba melarikan diri sebelum bergegas mengejar wanita berkenaan.
Sementara itu, Dr. Zawani menghubungi pengawal keselamatan untuk menahan pembantu rumah tersebut jika cuba keluar melalui pintu utama.
“Dalam tiga hingga lima minit saja, mereka berjaya tangkap. Nasib belum sempat keluar kawasan kondominium.
"Jenguk di luar, ada sebuah kereta (Proton) X50 tunggu di luar,” ujarnya.
Ketika ejen pembantu rumah tiba, mereka meminta telefon pintar milik wanita itu untuk disimpan.
Namun, pembantu rumah tersebut enggan menyerahkannya sehinggalah diminta ejen secara terus.
Ceritanya lagi, tidak lama selepas telefon berada di tangan mereka, muncul satu mesej di aplikasi WhatsApp.
“'Cepatlah turun, jangan main-main, aku dah sampai' bersama gambar profil seorang lelaki warga Indonesia yang bukan suaminya," katanya menambah, pembantu tersebut sudah pun berkahwin dan miliki tiga anak.
Menurut doktor itu lagi, pembantu rumah berkenaan sebelum ini mendakwa cuba mengumpul wang untuk membeli tanah di kampung.
Namun sejak beberapa minggu lalu, tingkah lakunya berubah.
"Wang simpanannya yang kami pegang baru ada RM3,500, baru kerja lapan bulan. Setiap bulan hantar RM500 hingga RM1,000.
"Minggu lepas siap mohon hantar semua. Kami dah pelik, siap tanya ibu saya bila kami akan berangkat ke Jepun (sebab) dia nak keluar dengan kawan, nak satu hari cuti (tapi tak berani beritahu kami).
"Ketika itu kami dah mula rasa tak sedap hati. Sejak minggu lepas kalau nak keluar, kami akan hantar dia dan anak-anak ke rumah ibu bapa. Tak pernah biar dia seorang di rumah,” jelasnya.
Wanita itu mengakui kesilapan mereka kerana tidak mengikut nasihat ejen yang menegaskan telefon pintar hanya boleh diberi seminggu sekali pada waktu tertentu.
“Awalnya kami ikut tapi apabila nampak dia murung, kami kasihan dan bagi saja,” katanya.
Akibat kebebasan itu, pembantu rumah berkenaan dipercayai berkenalan dengan lebih ramai individu termasuk seorang lelaki yang didakwa kekasihnya hingga 'hilang fokus' terhadap tujuan asal bekerja di Malaysia.
Apabila ditanya ejen punca mahu melarikan diri, pembantu rumah itu mendedahkan dirinya mahu bebas dan mengikut teman lelaki baharu.
"Jadi kepada majikan yang baru ingin mengambil pembantu rumah, mereka masih boleh lari walaupun anda memegang duit dan pasport, tetapi mereka tidak boleh lari jika telefon disimpan oleh majikan.
"Tetapkan masa khusus untuk mereka menghubungi keluarga di kampung dan ikut jadual itu setiap minggu," pesannya.
Dr. Zawani mengakui, meskipun beban kerja rumah kembali dipikul sepenuhnya, beliau rasa lebih tenang selepas kejadian tersebut.
“Walaupun tugas banyak, tapi ada satu ketenangan bila tak ada pembantu rumah, tiada orang asing dalam rumah,” ujarnya yang pernah menemui minyak pengasih dan catatan huruf misteri didakwa milik pembantu rumah, membuatkan dirinya tidak selesa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
