JIKA dilihat sekilas dari luar, pasti ramai menyangka lokasi yang tular di media sosial itu merupakan sebuah kafe atau butik hotel berkonsep 'Instagrammable' di Indonesia.
Namun hakikatnya, ruang tersebut sebenarnya merupakan sebuah kediaman yang direka dengan konsep retro kontemporari, lengkap dengan elemen seni bina yang memukau.
Dengan struktur seni bina bergaya dan suasana seperti ruang komersial, tidak hairanlah ramai yang terkeliru.
BACA LAGI: Impi resepsi 'vibe' kampung? Ini 5 lokasi perkahwinan ala desa, penuh nostalgia
Dalam video dimuat naik menerusi hantaran di Instagram rumah_nano, pemilik rumah berkenaan berkongsi keseluruhan ruang yang menampilkan gabungan furnitur klasik dan penggunaan cat menonjolkan suasana retro sentuhan moden.
Salah satu elemen paling menonjol ialah struktur rumah yang dikelilingi jendela kaca besar.
Reka bentuk itu bukan sahaja menjadikan rumah kelihatan eksklusif seperti premis komersial, malah mewujudkan rasa luas dan lapang, seolah-olah berada di resort percutian.
Kediaman tersebut turut mempunyai taman kecil yang menyegarkan pandangan, lengkap dengan pokok-pokok hiasan sebagai penambah keseimbangan antara gaya retro di dalam rumah dan suasana tropika di luar.
Sentuhan hijau itu juga membuatkan keseluruhan rumah tampak lebih hidup dan harmoni.
Ruang dalamannya dihias dengan perabot kayu berciri klasik, lampu-lampu gaya retro dan aksesori dekorasi minimalis yang dipadankan rapi.
Susun atur ruang pula menekankan gaya selesa tetapi estetik, menjadikan setiap sudut rumah itu sesuai sebagai inspirasi dekorasi moden bercirikan retro. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
