MAHKAMAH Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor memutuskan tuntutan hadanah atau hak penjagaan penuh terhadap tiga anak penyanyi Nubhan, diserahkan sepenuhnya kepada isteri, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek pada Rabu.
Perkara itu disahkan peguam syarie mewakili Dr. Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kader, yang memaklumkan keputusan tersebut selepas prosiding berlangsung.
Dengan keputusan itu, Nubhan dibenarkan untuk melawat ketiga-tiga anaknya dua kali sebulan, iaitu pada minggu pertama dan minggu ketiga setiap bulan.
BACA LAGI: [VIDEO] Hafidz Roshdi fail hadanah tuntut hak penjagaan anak
BACA LAGI: Berubahlah, jangan lagi putar belit fakta — Kakak Safee Sali
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille berusia 3 tahun.
Sebelum ini, Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap Dr. Afifah di Mahkamah Syariah Sepang, Selangor sebelum penyanyi itu memfailkan pula tuntutan hadanah penuh terhadap ketiga-tiga anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Mengenai hadanah:
1) Pengertian
Berdasarkan perkongsian peguam syarie daripada Ahmad Muhammad & Associates, hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.
2) Siapa paling berhak?
Sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas berlakunya perceraian, ibu ialah individu yang paling berhak daripada orang lain bagi menjaga anak kecilnya sehingga anak itu mencapai umur mumaiyiz (kecerdikan).
3) Siapa tentukan hadanah dan apa pertimbangan diambil kira?
Jika timbul perselisihan berkenaan hadanah, Mahkamah Syariah merupakan pihak yang mempunyai autoriti dalam memutuskan hadanah.
Pertimbangan utama yang diberikan oleh Mahkamah Syariah ialah kebajikan kanak-kanak itu.
Selain itu, Mahkamah Syariah juga memberi perhatian kepada perkara berikut:
a) Kebajikan kanak-kanak tersebut.
b) Kemahuan ibu bapa kanak-kanak.
c) Kemahuan kanak-kanak itu sekiranya dia dalam peringkat umur yang boleh menyatakan pendapatnya.
Dalam perkembangan berlainan penyanyi dan usahawan, Lufya Omar, pula memaklumkan dirinya menarik diri daripada isu tuntutan nafkah terhadap bekas suaminya, Dr. Che Hafiz.

Tangkap layar perkongsian Lufya di Instagram Story miliinya.
Menerusi satu perkongsian di Instagram Story pada Rabu, Lufya menjelaskan, keputusan itu dibuat kerana enggan terus berdepan pertikaian panjang yang dianggap memalukan.
“Ya, saya menarik diri daripada tuntutan nafkah anak kerana terlalu memalukan untuk terus bergaduh tentang hal ini.
"Peguam saya memang sangat hebat tetapi saya berfikir secara waras selepas awak (Dr. Che Hafiz) kata tak mampu dan sanggup ‘berperang’ dengan saya habis-habisan,” tulisnya.
Menurut Lufya, meskipun tindakan itu bermakna bekas suaminya terlepas daripada tanggungjawab tersebut, beliau reda dengan keputusan dibuat.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada seseorang yang berhutang besar dengan saya di akhirat kelak,” ujarnya.
Untuk rekod, Lufya dan Dr. Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 sebelum bercerai pada 17 Jun 2020.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Laana Haura, yang kini berusia tujuh tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
