NAMA-NAMA besar tanah air muncul antara penerima trofi pada Anugerah Affin Invikta Top 50 Women of Excellence 2025 yang berlangsung di ibu kota pada Rabu malam.
Majlis penganugerahan anjuran Top 50 Media Synergy Sdn. Bhd., dengan kerjasama strategik Affin Invikta serta sokongan Kementerian Belia dan Sukan, meraikan 50 wanita cemerlang dari pelbagai sektor yang menyumbang pada pembangunan masyarakat, negara dan industri masing-masing.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin turut menerima pengiktirafan tertinggi pada malam berkenaan selepas dinobatkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat atas sumbangan luar biasanya dalam dunia seni, kemanusiaan dan pembinaan imej Malaysia di pentas global.
BACA LAGI: Anugerah WEF ASEAN 2025 angkat darjat pemimpin wanita pelbagai sektor
Pengasas dan Pengarah Urusan Top 50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin berkata, penganugerahan berprestij itu bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya usaha mengangkat peranan wanita dalam membentuk masa depan negara.
"Ia selaras Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025-2030, menyokong komitmen Malaysia untuk membina masyarakat yang lebih inklusif, perkasa dan progresif," katanya.
Selain Siti Nurhaliza, dua lagi wanita Malaysia yang memberi impak besar dalam bidang masing-masing, Bella Astillah, 31, dan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong, 32, turut menerima pengiktirafan pada malam tersebut.
Berikut antara sumbangan penerima dalam pelbagai bidang:
1) Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza (kiri) ketika dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM. — Instagram/ctdk
Figura seni nombor satu negara dengan lebih dua dekad pengaruh dalam industri muzik telah memenangi ratusan anugerah tempatan dan antarabangsa, termasuk Anugerah Muzik Asia dan World Music Awards.
Ibu kepada dua cahaya mata itu juga merupakan usahawan berjaya melalui empayar produk kosmetik dan kecantikan, SimplySiti yang dibina sejak Mac 2010.
Baru-baru ini juga Siti Nurhaliza dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar bukan sahaja sebagai ikon seni negara, tetapi juga usahawan wanita berdaya saing.
Aktif dalam kerja kebajikan melalui Yayasan Nurjiwa, pelantun lagu Menamakanmu Cinta itu membantu golongan terjejas termasuk kanak-kanak dan komuniti B40.
2) Bella Astillah

Bella kini aktif sebagai pempengaruh dan personaliti media sosial dengan pengaruh besar dalam kalangan belia. — Instagram/bellaastillah
Selebriti dan penyanyi yang berjaya membina nama dalam industri hiburan Malaysia sejak usianya masih kecil bersama adiknya, Didi Astillah.
Dikenali sebagai Adik-Adik Mutiara, kedua-duanya pernah merakam album dan menyanyikan pelbagai lagu kanak-kanak.
Beliau kini aktif sebagai pempengaruh dan personaliti media sosial dengan pengaruh besar dalam kalangan belia.
Dikenali sebagai wanita cekal yang melalui pelbagai cabaran peribadi melibatkan isu rumah tangganya sebelum ini, wanita asal Sandakan, Sabah itu terus berdiri kukuh dalam kerjaya dan kehidupan.
Menariknya, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah pernah dipilih menjadi wakil Malaysia membuat persembahan di Wuhu Shenshan Music Festival 2024.
3. Pandelela Rinong

Pengiktirafan itu mengukuhkan lagi status Pandelela sebagai antara atlet wanita paling berjaya dalam sejarah Malaysia.
Atlet terjun negara yang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Dilahirkan di sebuah perkampungan Bidayuh, Kupuo Jugan di Bau, Sarawak, beliau meraih pelbagai kemenangan antaranya pingat gangsa di Sukan Olimpik 2012, pingat perak di Sukan Olimpik 2016, pingat emas di Sukan SEA 2017 dan pingat emas di Piala Dunia Terjun FINA 2021.
Pada Julai 2015, Pandalela mencipta sejarah selepas menjadi rakyat Malaysia pertama menamatkan podium dalam satu acara individu di Kejohanan Akuatik Dunia.
Penerjun itu pernah menjadi Ikon Belia Sukan Negeri Sarawak pada 2016 dan Ikon Sukan Yakult 2017.
Pusat Akuatik Sarawak di Petra Jaya, Sarawak juga dinamakan Pusat Akuatik Pandelela Rinong bagi menghargai pencapaiannya pada Sukan Olimpik Rio 2016.
Justeru pengiktirafan terbaharu itu mengukuhkan lagi status Pandelela sebagai antara atlet wanita paling berjaya dalam sejarah Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
