Dari Ipoh ke Lubnan, Korporal Jaspreet Kaur raih pingat PBB, tamatkan misi pengaman di zon bergolak


  • Sukses
  • Jumaat, 28 Nov 2025

Pencapaian Jaspreet memperlihatkan disiplin dan komitmennya dalam membawa nama Malaysia di pentas keamanan dunia. — Agensi

ANGGOTA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Korporal Jaspreet Kaur mencuri perhatian selepas berjaya menamatkan tugasan setahun bersama Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan.

Misi pengaman itu ditugaskan memantau kawasan sensitif Garis Biru (Blue Line), iaitu sempadan teknikal yang memisahkan Lubnan dan Israel.

Wanita berketurunan Sikh kelahiran Ipoh, Perak itu berkhidmat di Kem Marakah, Lubnan sepanjang tempoh penugasan berkenaan.

BACA LAGI: Bimbang anak 'speech delay', bekas pegawai dietetik buka butik barang bayi, salur pendidikan penyusuan, pemakanan bawah satu bumbung

BACA LAGI: [VIDEO] Karya pernah dianggap lukisan 'conteng-conteng', Mulaika enggan peduli komen skeptikal

Beliau terlibat dalam pelbagai operasi pengaman antaranya rondaan keselamatan, kawalan sekatan jalan raya dan pusat pemeriksaan, pemantauan Garis Biru serta membantu komuniti tempatan yang masih terkesan akibat konflik berlarutan di wilayah berkenaan.

Dedikasinya dalam menjalankan tugas mendapat pengiktirafan apabila beliau dianugerahkan Pingat PBB selepas enam bulan pertama.

Jaspreet (kanan) terlibat dalam pelbagai operasi pengaman termasuk membantu komuniti tempatan yang masih terkesan akibat konflik berlarutan di Lubnan. — Agensi

Jaspreet turut dijadualkan menerima pingat kedua sebagai tanda penghargaan menamatkan misi setahun penuh, dengan majlis penyampaiannya bakal berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 4 Disember.

“Ini bukan sekadar misi, ia adalah perjalanan yang mengubah diri saya.

“Semoga rakyat Lubnan sentiasa selamat dan dilindungi," ujarnya dalam satu hantaran di media sosial.

Penyertaan Malaysia dalam UNIFIL merupakan komitmen negara terhadap keamanan global, dengan pasukan tempatan bertugas sebagai pengaman yang melindungi orang awam dan membantu mengekalkan perjanjian gencatan senjata di kawasan bergolak itu.

Anak bongsu daripada tiga beradik tersebut dibesarkan di Bandar Baru Siputeh, Ipoh.

Bapanya, Pritam Singh Mejor Singh dari Pulau Pinang meninggal dunia pada 2013, manakala ibunya, Amarjeet Kaur Boota Sing berasal dari Batu Gajah, Perak.

Selepas menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Bernadette’s Convent, Batu Gajah, Jaspreet menyertai TUDM sebaik menamatkan tingkatan lima.

Menjalani enam bulan latihan asas ketenteraan di Akademi TUDM Ipoh, beliau kemudian ditempatkan di Sekolah Kawalan Trafik Udara dan kini berkhidmat sebagai Pembantu Kawalan Trafik Udara (ATCA).

Pencapaian Jaspreet bukan sahaja mencerminkan keberaniannya sebagai anggota keselamatan, tetapi turut memperlihatkan disiplin dan komitmennya dalam membawa nama Malaysia di pentas keamanan dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram