'Labur' RM20,000, lepas 3 bulan cabut lari, Syed Saddiq cadang pengecualian cukai baharu bagi keluarga muda menggaji pembantu rumah


  • Bonda
  • Selasa, 07 Okt 2025

Syed Saddiq (gambar kecil) menyuarakan isu berkaitan peningkatan kos mengupah pembantu rumah.

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan kebimbangannya terhadap peningkatan kos mengupah pengasuh atau pembantu rumah secara mendadak di Malaysia.

Menerusi perbahasannya di Dewan Rakyat baru-baru ini, beliau menyifatkan perkara tersebut semakin tidak rasional dan memberi tekanan kepada institusi keluarga.

Menurutnya, kadar bayaran bagi mendapatkan pembantu rumah kini mencecah hingga RM20,000 sebulan.

BACA LAGI: Gadis OKU tak berganjak merintih, luah rindu di pusara, minta ibu bapa 'kembali'

BACA LAGI: Tahan pintu guna badan, aksi berani ibu 2 anak berjaya halang perompak pecah masuk rumah

"Semakin lama semakin mahal 'mencekik' dan tidak masuk akal. Lebih mencemaskan apabila ada segelintir ibu muda sanggup asalkan dapat kekalkan kerjaya mereka.

"Gaji bulanan RM1,700 bawa pembantu rumah masuk tak sampai tiga bulan mereka lari.

"Ini bukan situasi kecil dan ia terbukti bila kita lihat di Facebook sampai ada kumpulan ibu bapa yang rugi puluhan ribu akibat pembantu rumah lari selepas satu hingga dua bulan," katanya.

Tegasnya, ia juga menjadi satu beban besar bagi pasangan muda yang masih dalam fasa awal membina keluarga.

Beliau pada masa sama turut mempersoalkan proses aduan yang rumit apabila ada pihak saling menolak tanggungjawab, sekali gus menyebabkan majikan teraniaya.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan agar pihak kerajaan dapat mengambil tindakan tegas dengan memperkenalkan pengecualian cukai baharu bagi keluarga muda yang melatih dan menggajikan pengasuh.

"Ia supaya pengasuh ini dapat mendidik anak-anak majikan mereka sementara ibu bapa keluar berkerja.

"Terus naik taraf kerjaya mereka supaya ibu bapa tidak perlu memilih sama ada ingin jadi ibu yang baik atau seorang profesional berkejaya.

"Kita jangan paksa ibu muda memilih satu realiti kalau lelaki itu boleh jadi ayah yang baik dan berjaya dalam kerjanya. Wanita juga berhak dapat masa depan yang sama," jelasnya.

Langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, malah memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram