DI sebalik sifat pendiam dan pemalunya, Mulaika kini dianggap antara bakat paling menonjol dalam seni lukis kontemporari tempatan.
Biarpun masih muda, karya gadis berusia 21 tahun itu begitu matang, introspektif dan penuh simbolisme.
Setiap lukisan seolah-olah membuka ruang kepada penonton untuk memahami sisi dirinya yang tidak banyak bersuara, namun begitu lantang melalui seni.
BACA LAGI: Selepas hotel, Nurulhidayah realisasi impian 10 tahun lalu, perkenal minyak masak jenama Kak Long

Biarpun masih muda, karya gadis berusia 21 tahun itu begitu matang, introspektif dan penuh simbolisme.
Sejak usia tujuh tahun, melukis menjadi bahasa peribadi buatnya, medium untuk mengekspresikan rasa yang sukar diungkap dengan kata.
Jika kebanyakan kanak-kanak seusianya masih mencari minat dan jati diri, bagi Mulaika, kanvas dan berus cat sudah menjadi teman akrab yang membentuk dunia seninya hingga ke hari ini.
Usahanya membuahkan hasil selepas terpilih menjadi artis termuda yang mengadakan pameran solo pada usia 15 tahun, di Balai Seni Negara pada 2019.
Sejak itu, pemilik nama lengkap Mulaika Nordin itu terus melangkah yakin dengan identiti seninya tersendiri.
Kepada Majoriti beliau membuka cerita, minat terhadap seni banyak dipengaruhi ibunya yang juga gemar melukis walaupun hanya sekadar hobi.
“Ibu ialah orang pertama yang menggalakkan saya. Idea untuk adakan pameran solo pun datang daripada beliau,” katanya ketika ditemui pada pameran I Remember You yang berlangsung di Ampang, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Pun begitu, titik perubahan besar dalam perjalanan seninya hadir selepas pemergian datuk tercinta pada 2016.
Detik itu akuinya, adalah kali pertama beliau mengalami rasa pedih kehilangan ahli keluarga terdekat.
"Jadi saya salurkan semua emosi ketika itu dalam lukisan.
"Karya awal saya banyak tunjuk tribute kepada datuk dan antara lukisan awal saya ialah lukisan pokok sakura yang melambangkan kehidupan dan kematian dalam budaya Jepun,” kongsinya.

Antara karya yang dipamerkan di pameran berjudul I Remember You.
Jika kebanyakan artis muda memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni bagi memperkukuh bakat dan kefahaman, tidak bagi Mulaika.
Walaupun ibu bapanya menyokong penuh jika beliau mahu ke sekolah seni, Mulaika sebaliknya membuat keputusan bertentangan, memilih jurusan undang-undang.
Beliau yang baru menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang pada Julai lalu mengakui, keputusannya memilih bidang itu bukan kerana paksaan, tetapi hasil pertimbangan mendalam antara minat dan pencarian diri.
Menurutnya, walaupun melukis sejak kecil, wanita kelahiran Kuala Lumpur itu memilih untuk tidak belajar seni secara formal kerana tidak mahu batasan akademik mengubah keaslian ekspresinya.
Sebaliknya, undang-undang menjadi pilihannya untuk menjawab satu persoalan utama, bagaimana dunia ini berfungsi?
“Saya fikir undang-undang boleh bantu saya faham dunia dengan lebih mendalam.
"Apabila belajar hak asasi manusia dan undang-undang alam sekitar, saya sedar banyak isu kemanusiaan dan alam yang menyentuh emosi. Semua itu saya terjemahkan ke atas kanvas,” ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Queen’s University, Belfast itu.

Mulaika (kanan) merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Queen’s University, Belfast.
Menangis
Salah satu karyanya yang bertajuk The True Cost diinspirasikan daripada pengalaman melihat struktur terkini batu kapur di Ipoh, Perak yang semakin terhakis.
“Saya rasa sedih tengok perubahan alam. Dari situ saya mula sedar, undang-undang alam sekitar dan hak asasi manusia sangat berkait rapat.
"Lukisan itu juga simbol kesedaran saya terhadap isu alam sekitar,” katanya yang turut menangis ketika melihat situasi terkini batu kapur tersebut.
Walaupun pernah menerima komen skeptikal, Mulaika tidak mudah goyah.
“Ada yang cakap lukisan saya macam conteng-conteng, tapi bagi saya seni itu sangat peribadi.
"Saat melukis, saya tidak fikir pandangan orang lain. Kalau orang suka, saya gembira. Kalau tidak, itu hak mereka,” ungkapnya yang cenderung menzahirkan karya dalam bentuk abstrak.
Baginya, melukis bukan sekadar kerjaya tetapi bentuk penjagaan diri.
“Saya tak pernah terfikir nak berhenti melukis. Ia cara saya memahami diri dan dunia,” katanya yang menjadikan Latiff Mohidin dan Gerard Richter sebagai idola seni.

Salah satu karya Mulaika bertajuk The True Cost diinspirasikan daripada pengalaman melihat tebing batu kapur di Ipoh.
'Art block'
Berbicara mengenai 'art block', Mulaika tidak terkecuali daripada situasi itu.
'Art block' ialah keadaan seseorang artis hilang arah dan inspirasi untuk berkarya.
Menurutnya, apabila berada di depan kanvas, beliau boleh menghabiskan masa berjam-jam melukis tanpa henti.
Namun ada ketika, semangat itu seolah-olah hilang tanpa sebab.
“Saya tahu 'art block’ memang berlaku kepada semua artis dan saya sendiri pernah mengalaminya, tapi saya tak berhenti.
"Saya terus menunggu hingga inspirasi datang semula. Kadang-kadang saya rasa macam kanvas itu sendiri yang suruh saya tunggu. Macam ia nak saya bersabar sampai waktu yang sesuai,” ujarnya yang pernah mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan sebuah karya.

Mulaika turut mempamerkan imej imbasan X-ray dada dan kepalanya sendiri dalam pameran.
I Remember You
Mengulas tentang pameran terbaharunya, I Remember You menyelami konsep undang-undang time immemorial (melangkaui ingatan manusia), bagi menampilkan renungan yang mendalam tentang hubungan kolektif manusia dengan Bumi.
Diinspirasikan oleh latar belakang dunia seni dan undang-undang, pameran itu merupakan refleksi daripada pembelajaran sepanjang pengajian ijazah undang-undangnya.
Ujar Mulaika, pameran tersebut turut mengetengahkan 28 karya termasuk dua imej imbasan X-ray dada dan kepalanya sendiri.
"Disebabkan kepakaran saya ialah dalam bidang undang-undang alam sekitar dan hak asasi manusia, ia turut mempengaruhi karya dihasilkan, sekali gus mencerminkan hubungan peribadi saya dengan Bumi," ungkap beliau.
“Ia simbol fizikal sejarah dan identiti saya. Saya ingin menggambarkan hubungan antara ingatan, tubuh dan bumi,” jelasnya menambah pameran berlangsung dari 5 hingga 30 November. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
