Mira Murati buka 'startup' baharu lepas tinggalkan OpenAI, Mark Zuckerberg mahu 'borong' pasukannya dengan pakej RM6.2 bilion


  • Sukses
  • Rabu, 26 Nov 2025

Murati kini bukan sekadar figura AI, beliau adalah antara arkitek masa depan teknologi dunia. — Agensi

NAMA Mira Murati mungkin belum setanding tokoh gergasi teknologi seperti Tim Cook, Bill Gates atau Mark Zuckerberg.

Namun figura berusia 36 tahun itu sedang menjadi tumpuan utama di Silicon Valley, California, Amerika Syarikat (AS), yang terkenal sebagai pusat industri teknologi dan inovasi dunia.

Bekas Ketua Pegawai Teknologi (CTO) OpenAI itu kini mengemudi syarikat pemula niaga (startup) miliknya, Thinking Machines Lab, yang baru sahaja melancarkan produk sulung dinamakan Tinker.

Tinker ialah alat baharu yang membolehkan penyelidik dan pembangun melakukan fine-tuning model AI tanpa perlu mengurus infrastruktur pengkomputeran berskala besar.

BACA LAGI: Bimbang anak 'speech delay', bekas pegawai dietetik buka butik barang bayi, salur pendidikan penyusuan, pemakanan bawah satu bumbung

BACA LAGIIdea spontan suami isteri pindah Langkawi, ubah sisi kehidupan dari kerjaya di bandar besar ke bisnes dusun tropika

Pelancaran tersebut menandakan rekod baharu buat Thinking Machines Lab, selepas syarikat itu berjaya meraih dana permulaan luar biasa tinggi berjumlah AS$2 bilion (RM8 bilion) dengan penilaian mencecah AS$12 bilion (RM50 bilion).

Dilahirkan di Vlore, Albania pada 16 Disember 1988 ketika negara itu berada di penghujung era totalitarian, perjalanan hidup Murati bermula dalam suasana penuh ketidaktentuan politik dan ekonomi.

Namun sokongan ibu bapanya yang masing-masing berkhidmat sebagai guru sastera mendorong wanita tersebut cemerlang dalam bidang akademik, terutamanya matematik dan sains.

Pada usia 16 tahun, beliau meraih biasiswa United World Colleges ke Pearson College di Kanada.

Selepas tamat persekolahan, Murati menyambung pengajian melalui program dwi ijazah, memperoleh Ijazah Matematik daripada Colby College (2011) dan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal daripada Dartmouth College (2012).

Gabungan ilmu seni liberal dan kejuruteraan itu membuka laluan besar ke dunia teknologi.

Beliau pernah menjalani latihan industri di Goldman Sachs, Tokyo, sebelum memulakan kerjaya di Zodiac Aerospace, Tesla (sebagai pengurus produk kanan Model X) dan Leap Motion, tempat beliau mengetuai pembangunan teknologi interaksi manusia-komputer.

Pada September 2024, Murati (kanan) meninggalkan OpenAI untuk memulakan penerokaan baharu. — Agensi

Legasi

Murati menyertai OpenAI pada 2018 sebagai naib presiden AI gunaan dan perkongsian strategik sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan CTO pada 2022.

Dalam tempoh itu, beliau memimpin pembangunan beberapa produk AI paling berpengaruh abad ini antaranya, ChatGPT, DALL-E, Codex dan Sora yang mengubah cara masyarakat dunia menggunakan kecerdasan buatan.

Pada November 2023, namanya menjadi tajuk utama dunia apabila dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) interim OpenAI selepas Sam Altman disingkirkan sebelum kembali semula beberapa hari kemudian.

Murati mendapat tempat dalam Fortune 100 Women in Business (2023) dan Time 100 Most Influential People in AI (2024).

Malah Dartmouth College turut menganugerahkan beliau Ijazah Kedoktoran Sains Kehormat.

Namun kenyataannya mengenai pekerjaan kreatif, yang disifatkan sesetengah pihak sebagai tidak sensitif telah mencetuskan kritikan.

Walaupun begitu, beliau kekal lantang menyokong pembangunan AI yang bertanggungjawab dan dikawal selia.

Murati mendapat tempat dalam Fortune 100 Women in Business (2023) dan Time 100 Most Influential People in AI (2024). — Agensi

Sasaran Zuckerberg

Pada September 2024, Murati meninggalkan OpenAI untuk memulakan penerokaan baharu.

Pada Februari tahun ini, beliau melancarkan Thinking Machines Lab, organisasi berstatus public benefit corporation yang menumpukan kepada AI yang lebih mudah diakses dan mesra manusia.

Beliau berjaya mengumpulkan pasukan elit merangkumi kira-kira 30 jurutera dan penyelidik dari OpenAI, Google, Meta, Mistral dan Character AI, selain meraih sokongan pelabur ternama seperti Andreessen Horowitz, Nvidia, AMD, Accel, Cisco dan ServiceNow.

Thinking Machines Lab menjadi sasaran agresif Mark Zuckerberg, apabila CEO Meta itu dilaporkan menawarkan pakej bernilai antara AS$200 juta (RM800 juta) hingga AS$1.5 bilion (RM6.2 bilion) kepada lebih sedozen pekerja syarikat tersebut.

Murati (kanan) bersama antara kakitangan dan ahli OpenAI. — Agensi

Malah, seorang penyelidik dikatakan menerima tawaran melebihi AS$1 bilion (RM4 bilion).

Namun tiada seorang pun yang menerimanya. Ia suatu fenomena luar biasa dalam industri teknologi, menunjukkan kesetiaan pasukan dan keyakinan terhadap visi Murati.

Dengan pelancaran Tinker, Murati mempertaruhkan masa depan AI terhadap pemerkasaan akses untuk semua, bukan persaingan membina model gergasi.

Platform itu membolehkan pengguna menyesuaikan model seperti Llama dan Qwen dengan hanya beberapa baris kod, menjadikan keupayaan AI frontier lebih mudah dicapai.

Pendekatan Murati dilihat sebagai alternatif kepada dominasi gergasi teknologi dan mungkin membuka landskap AI baharu yang lebih adil dan inklusif.

Murati terus berkongsi pandangan tentang keselamatan, privasi dan masa depan AI dalam pelbagai pentas, termasuk majlis makan malam Fortune’s Most Powerful Women di San Francisco.

Dengan rekod kepimpinan dan visi yang jelas, Murati kini bukan sekadar figura AI, beliau adalah antara arkitek masa depan teknologi dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram