Rangkul Anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM33, Susan Lankester tak terburu-buru ke Oscar, sasar filem Asia


  • Hiburan
  • Ahad, 08 Dis 2024

Anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM33 telah lama diidamkan Susan sejak menceburi bidang lakonan pada 1983.

“KALAU nak ke Oscar tu jauh sangat”. Demikian jawapan Susan Lankester usai dinobatkan selaku Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) pada Sabtu.

Jelasnya, ini merupakan kemenangan yang cukup membanggakan yang telah lama diidamkan sejak menceburi bidang lakonan pada 1983.

Lakonan mantap menerusi filem Rain Town berjaya melonjakkan namanya pada malam bersejarah itu yang sekali gus menamatkan penantiannya selepas kali terakhir mengenggam trofi FFM pada 1994.

BACA LAGI: Lepas 6 dekad berlakon, A Galak terima anugerah khas sepanjang hayat FFM33, mahu terus berlakon hingga ke hujung nyawa

BACA LAGI: Bukan lagi bawah naungan Luncai Emas, Margasatwa serlah budaya Terengganu menerusi 'Dalam Kotok'

Enggan mensasarkan terlalu jauh hingga ke Oscar, Susan memasang hasrat untuk melebarkan sayap lakonannya ke negara Asia terlebih dahulu.

“Saya lebih suka untuk berlakon ke Asia dahulu berbanding ke Oscar ataupun Hollywood, itu jauh sangat.

“Teringin kolaborasi dengan pengkarya dari Australia atau New Zealand, UK sebab mereka selalu shoot di sini, industri mereka tak kurang hebatnya, siapa tahu ada rezeki.

“Saya bangga dengan industri Malaysia, ini pencapaian yang sangat tinggi bukan sahaja untuk saya tapi industri kita juga,” katanya kepada Majoriti pada anugerah FFM yang berlangsung di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Terdahulu, Susan terlebih dahulu mengukir kejayaan dalam Anugerah Akademi Kreatif Asia 2024 apabila dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada acara yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.

Pelakon itu menewaskan empat lagi calon dari negara Asia yang lain menerusi lakonan hebatnya menerusi filem Rain Town arahan Tunku Mona Riza. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram