BERUBAHLAH. Itulah pesanan Normalayati Sali kepada adiknya, Safee Sali selepas pemfailan kes tuntutan hadanah di Mahkamah Syariah Shah Alam, Selangor pada Rabu.
Bekas penyerang kebangsaan itu sebelum ini mencetuskan kontroversi setelah menceraikan bekas isterinya, Fitria Elfina Maharip.
Hal berkenaan tidak terhenti di situ apabila Safee pernah mendakwa Fitria enggan memberi kerjasama kepadanya untuk melihat kedua-dua anaknya, Shanika Salsabilah dan Shania Safina.
Bagaimanapun, Normalayati yang merupakan kakak ketiga daripada 12 adik-beradik itu tampil menegur adiknya supaya tidak lagi menyampaikan maklumat tidak tepat.
"Sebagai contoh, ketika dia katakan Fitria tidak beri kerjasama untuk melihat anaknya. Tetapi, sebenarnya Fitria memohon supaya Safee dapat melihat anak-anaknya setiap minggu.
BACA LAGI: Jodoh Syamsul-Puteri Sarah terlerai, sah cerai talak satu
Safee terpalit dengan kontroversi atas isu rumah tangga dihadapinya baru-baru ini.
"Tetapi, fakta yang dikatakan Safee dihalang daripada melihat anak-anak, itu salah. Fakta yang terbalik. Cuma saya nak betulkan apa yang salah," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Safee bernikah dengan Fitria yang merupakan warga Indonesia pada 21 Disember 2013 sebelum sah bercerai talak dua pada penghujung Mac lalu.
Normalayati yang merupakan pekerja swasta turut berasakan Fitria lebih layak untuk menjaga cahaya mata mereka yang masing-masing baru berusia sembilan dan tujuh tahun.
"Saya rasa dia lebih layak untuk menjaga kerana adik saya terlalu sibuk untuk menguruskan anaknya, itu sahaja," jelasnya lagi.
BACA LAGI: Keputusan cerai Farid Kamil-Diana Danielle diketahui Khamis
Safee (kiri) dan Fitria sah bercerai pada penghujung Mac lalu.
Pada 18 Mac lalu, Fitria memfailkan tuntutan hadanah terhadap bekas suaminya berhubung hak penjagaan dua anak perempuan mereka di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.
Namun, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat pada prosiding yang dijalankan berhubung tuntutan berkenaan.
Dalam pada itu, Peguam Syarie Fauzan Ziman Hassan mewakili Fitria memaklumkan prosedur pada Selasa ialah sebutan kali pertama interim hadanah dan laporan notis permohonan.
“Pemohon dalam kes interim ini adalah pihak Safee Sali dan kita adalah responden. Peringkat hari ini, kita maklumkan notis permohonan itu dan tarikh sebutan pada 5 Ogos depan akan digunakan bagi memasukkan jawapan pada permohonan tersebut,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram