Wanita muda berani bereksperimen, konsep 'layering', corak dominasi trend 'modest fashion'


  • Gaya
  • Ahad, 23 Nov 2025

Wanita muda kini makin berani bereksperimen dengan padanan corak dan konsep 'layering' menjadikan fesyen 'modest' harian lebih segar dan tampak moden. — Gambar hiasan Canva

KONSEP fesyen sopan atau juga disebut modest terus berkembang sebagai satu aliran gaya yang bukan sahaja memfokuskan kesopanan, tetapi turut menekankan elemen kreativiti dan ekspresi diri. 

Golongan wanita muda masa kini dilihat semakin berani bereksperimen dengan padanan corak dan konsep padanan berlapis (layering) yang menjadikan fesyen harian lebih segar serta moden.

Gaya berlapis dalam fesyen merujuk pada gaya pemakaian menggunakan beberapa lapisan pakaian secara serentak.

BACA LAGI: Sederhana tapi bergaya, 'mix & match' rona krim, hitam jadi pilihan undangan FMA2025

BACA LAGI: Gen Z mendefinisikan semula fesyen ‘modest’, buktikan gaya sopan pun boleh ‘stand out’

Bagi Qistina Farzana, 26, menyifatkan layering antara trend paling ketara dalam fesyen sopan atau sederhana.

Beliau yang bekerja sektor penstriman langsung korporat berkata, gaya layering bukan sahaja praktikal untuk wanita berhijab, malah boleh diolah agar kelihatan trendy dan kemas.

"Selendang misalnya, bukan hanya untuk dipakai pada kepala.

“Ia kini boleh menjadi sebahagian daripada pakaian,” katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, Syieril Khiefa M. Nazir, 22, pelajar undang-undang di sebuah universiti awam pula, berpendapat corak adalah elemen utama sedang mendominasi trend fesyen sopan semasa.

Dari kiri: Dina, Syamiera, Qistina Farzana dan Syieril mengakui, berani bereksperimen dengan padanan corak dan konsep layering menjadikan fesyen harian lebih segar serta moden.

Beliau memberitahu, padanan corak dengan pakaian asas mampu menjadikan keseluruhan gaya lebih menyerlah, selain memadankan bersama bottom (pakaian bawahringkas dan top (pakaian atas) yang menjadi ‘statement piece’ untuk keseimbangan fesyen kemas.

“Sekarang ramai orang suka corak polka dot, berjalur dan floral,” katanya.  

Sementara itu, bagi Dina Azhar, 24, pelajar pentadbiran perniagaan, layering juga menjadi pilihan utama kerana efek yang lebih dramatik dan unik.

“Saya rasa layering buat penampilan lebih menonjol kerana gaya berbeza daripada orang lain,” katanya mengakui, ia menjadi gaya kegemaran beliau sama ada untuk rutin harian ataupun menghadiri acara.

Di sisi lain, Syamiera A’ariffin, 25, melihat gabungan layering skaf, aksesori dan permainan warna sebagai nadi trend terkini.

Ujarnya, walau berpakaian ringkas, dengan aksesori yang sesuai ia akan kelihatan lebih menyerlah.

Tambah Syamiera, teknik suai padan warna turut memberi impak besar pada penampilan.

“Tak semestinya warna pakaian perlu sedondon. Kadang-kadang anda boleh padankan coklat dengan sesuatu yang berona kekuningan.

"Macam saya sendiri, saya gemar mencuba fesyen baharu mengikut kesesuaian majlis,” kongsinya yang cenderung pada gaya elegan dan klasik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram