Berhenti kerja demi kejar cita-cita jadi penulis lirik, wanita Singapura tembusi pasaran muzik Korea Selatan, Jepun


  • Sukses
  • Isnin, 24 Nov 2025

Keputusan berhenti kerja membuahkan hasil apabila kini Daina (gambar kiri) menjadi penulis lagu untuk nama-nama besar K-pop. — Agensi

SEJAK kecil Daina Ariffin, 25, sudah memendam impian untuk menjadi penyanyi. 

Ketika masih kecil, beliau gemar menari mengikut lagu yang dimainkan di radio dan sewaktu di sekolah menengah, Daina pernah mengikuti uji bakat koir serta menyertai pertandingan nyanyian di saluran Televisyen Melayu, Suria.

Namun, membesar di Singapura yang pragmatik membuatkan kerjaya dalam bidang muzik dilihat sebagai tidak stabil dan mencabar. 

BACA LAGI: [VIDEO] Siti Nurhaliza perkenal scrub garam Himalaya, produk solekan terbaharu, rai peminat di Spa Day Eksklusif

BACA LAGI: Mengidolakan datuk jual barang kitar semula, Nuryanee Anisah tubuh Commenhers, jadikan 'upcycling' lebih 'cool'

Akhirnya Daina memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pemasaran dan media, seterusnya memperoleh pekerjaan tetap dalam bidang itu selepas tamat universiti.

Namun setahun lalu, beliau nekad meninggalkan kerjaya stabil itu untuk mengejar muzik secara sepenuh masa. 

Keputusannya membuahkan hasil apabila kini Daina menjadi penulis lagu untuk nama-nama besar K-pop termasuk ITZY dan Sana daripada kumpulan Twice.

Daina nekad meninggalkan kerjaya stabil itu untuk mengejar muzik secara sepenuh masa— Agensi

Malu

Daina mengakui, pada awalnya beliau malu mengejar impian dan mengelak daripada memberitahu ibu bapanya kerana bimbang mereka akan risau.

Selepas pandemik Covid-19, ketika terperuk di rumah, beliau kembali bermain gitar dan menyanyi. 

Video cover yang dimuat naik di YouTube mula menarik perhatian pengikut, terutamanya apabila beliau menyesuaikan lagu-lagu K-pop dengan lirik dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

Sehinggalah suatu hari, seorang penerbit dari Korea Selatan menjemputnya ke kem penulisan lagu dalam talian, dianjurkan oleh label besar seperti SM Entertainment dan Universal Music. Dari kem itu, lahirlah banyak lagu hit K-pop popular.

Pada awalnya, penulisan lagu hanyalah aktiviti santai bagi Daina.

Namun, jemputan lain mula muncul dan ia berubah menjadi kerja sampingan. 

Lagu-lagu yang dihasilkan kadang-kala dijual kepada penerbit dengan bayaran sekali gus, sehingga beliau disenaraikan sebagai komposer tetapi tidak menerima royalti.

Selama empat tahun, Daina membahagikan masa antara kerja korporat dan penulisan lagu. 

Beliau bekerja dari studio di biliknya dan kadang-kala mengambil cuti untuk menghadiri kem penulisan di Korea. 

Hasilnya, lagu-lagunya dipilih oleh artis serantau termasuk kumpulan wanita Thailand, Mxfruit dan penyanyi Indonesia, Gabriella Ekaputri.

Dalam sebulan, Daina menghadiri kem anjuran syarikat besar seperti Sony dan Universal Music. — Agensi

Kolaborasi 

Daina menyedari bahawa industri muzik tidak selalunya mudah.

Pernah berdepan dengan individu tidak baik dalam industri, beliau akhirnya bertemu rakan-rakan dan mentor yang menyokongnya.

Melalui seorang rakan, Daina diperkenalkan kepada penulis lagu Amerika Syarikat (AS), Sean Michael Alexander (Avenue 52), yang pernah bekerja dengan Twice, Red Velvet dan EXO. 

Kolaborasi pertama mereka akhirnya dipilih oleh Sana daripada Twice. 

Lagu berjudul Mirage menjadi lagu solo Sana dalam album MiSaMo (subunit Jepun Twice) Haute Couture (2024).

Daina mengakui, melihat namanya dalam kredit album dan lagu itu dinyanyikan artis idolanya adalah pengalaman yang sukar dipercayai.

Ibunya menjadi pendorong utama Daina untuk mengejar muzik sepenuh masa. 

Selama bertahun-tahun, beliau takut menyuarakan impiannya kerana bimbang dihalang. 

Namun kini, ibunya menjadi sokongan terbesar dan sumber motivasinya.

Meskipun ibu bapanya tidak begitu memahami industri K-pop, mereka tetap teruja melihat Daina muncul dalam akhbar tempatan.

Selama bertahun-tahun, Daina takut menyuarakan impiannya kerana bimbang dihalang. — Agensi

Berhenti kerja 

Selepas kejayaan dengan Sana, Daina memutuskan untuk berhenti kerja dan membeli tiket sehala ke Korea Selatan bagi menghadiri kem penulisan secara fizikal. 

Dalam sebulan, beliau menghadiri kem anjuran syarikat besar seperti Sony dan Universal Music. 

Salah satu pencapaian utama ialah lagu yang dikongsi olehnya dipilih sebagai lagu utama bagi kemunculan semula ITZY di Jepun, yang dilancarkan pada 8 Oktober 2025.

Kini, Daina menumpukan perhatian sepenuhnya pada penulisan lagu dan menyimpan cita-cita yang lebih tinggi. 

Beliau berulang-alik antara Singapura dan Korea, malah merancang untuk mengadakan kelas penulisan lagu di akademi K-pop SM Universe.

Daina tidak melupakan impiannya untuk menjadi penyanyi. Idolanya kini ialah Ejae, suara watak Rumi dalam filem K-pop Demon Hunters, yang juga pernah bermula sebagai penulis lagu sebelum mencapai kejayaan nyanyian.

“Saya memang nak keluarkan karya sendiri. Saya sudah menyediakan masa khusus untuk menghasilkan muzik peribadi.

"Kini, saya bersedia berkongsi impian ini dengan dunia," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram