KEPUTUSAN spontan berpindah ke Langkawi ketika pandemik Covid-19 menjadi titik perubahan besar dalam kehidupan Adliszamiza Mohamad, 48, dan Khalid Wong Kah Fai, 47, yang kini mengusahakan Kebun Lisdtari Farmstay di Sungai Itau.
Bermula daripada kehidupan di bandar dengan kerjaya stabil, Adliszamiza sebagai pengusaha kafe di Johor dan Khalid sebagai pereka dalaman di Singapura, pasangan suami isteri itu akhirnya memilih untuk meninggalkan semuanya demi kehidupan lebih tenang, dekat dengan alam semula jadi.
Cerita Adliszamiza, hasrat untuk menetap di Langkawi sebagai destinasi persaraan sudah lama dirancang, namun tidaklah dalam masa terdekat.
BACA LAGI: Selepas hotel, Nurulhidayah realisasi impian 10 tahun lalu, perkenal minyak masak jenama Kak Long
Perpindahan itu sebaliknya berlaku secara spontan pada penghujung 2020, sehari sebelum Khalid perlu pulang ke Singapura atas tuntutan kerja.
"Saya cakap pada suami, tak perlulah balik Singapura sebab kita tak tahu berapa lama Covid-19 akan berlanjutan.
"Lagipun saya dapat tawaran daripada seorang wanita di Langkawi untuk jaga rumah tamu secara sukarela. Pemilik juga bagi tempat tinggal dan bayar utiliti, jadi kami rasa elok juga cuba nasib dulu.
"Hari yang sama kami buat keputusan untuk pindah ke Langkawi,” katanya kepada Majoriti.

Hasrat untuk menetap di Langkawi sebagai destinasi persaraan sudah lama dirancang Lis (kiri) dan Khalid.
Lokasi pelancongan di Kedah menjadi pilihan kerana sejak dulu, anak sulung daripada tiga beradik itu sememangnya meminati pulau berkenaan dek alam semula jadi memukau serta gaya hidupnya sederhana.
Peluang dihulur menjadi permulaan pada kehidupan baharu mereka di pulau legenda itu.
Selama dua tahun pasangan tersebut menjaga rumah tamu berkenaan berasaskan komisen, sebelum akhirnya berjaya membina rumah sendiri di atas tanah yang dibeli sejak 2017.
Ujar wanita yang mesra disapa Lis itu, selepas rumah siap dibina, beliau menjual kek buatan sendiri secara kecil-kecilan di sekitar lokasi pelancongan dekat Langkawi.
Namun selepas menyedari hasil jualan kek tidak cukup untuk menampung kehidupan keluarga, mereka memanfaatkan pengalaman menjaga rumah tamu untuk membuka ruang penginapan sendiri.

Antara menu sarapan yang disediakan sendiri oleh Lis.
Dari situlah lahirnya idea menubuhkan Kebun Lisdtari Farmstay, berkonsepkan kehidupan lestari yang menggabungkan penginapan, pertanian kecil dan aktiviti alam.
"Saya cakap dengan suami, daripada pengalaman dua tahun itu, kenapa tak buat satu rumah kecil untuk tetamu?
"Disebabkan duit tidak banyak, jadi kami guna bahan-bahan terpakai untuk membina kabin kecil mengikut bajet.
"Kami berkorban letak perabot, tilam dan penghawa dingin sendiri di rumah tamu untuk memastikan mereka selesa. Masa itu kami tidur atas topper sahaja buat sementara waktu,” ujar Adliszamiza yang menceburi dunia bakeri sejak 2012.

Kebun Lisdtari Farmstay berkonsepkan kehidupan lestari yang menggabungkan penginapan, pertanian kecil dan aktiviti alam.
Dusun
Bermula dengan satu kabin kecil, Lis berkata, penginapan mereka kini menampilkan suasana dusun tropika dengan pelbagai tanaman seperti rambutan, manggis, petai, pisang dan pokok herba.
Jelas beliau, ketika tanah itu dibeli, kawasan berkenaan merupakan dusun terbiar yang sudah pun ditumbuhi pokok petai, rambutan, manggis, cempedak dan dokong.
"Sekarang kami cuma tambah banyak lagi tanaman seperti pisang, herba dan juga pokok jarang ditemui macam setar,” katanya lagi.

Khalid ketika mengendalikan bengkel berkaitan permakultur kepada masyarakat setempat.
Malah, Khalid turut memperkenalkan landskap berasaskan permakultur, satu pendekatan lestari dalam pengurusan pertanian dan alam sekitar.
Bercerita lanjut, kongsi wanita berasal dari Kuala Ketil, Kedah itu lagi, Kebun Lisdtari Farmstay kini menerima kunjungan tetamu tempatan dan antarabangsa, dengan majoritinya dari Eropah dan Australia.
Walaupun hanya mempunyai satu kabin kecil berkeluasan 200 kaki persegi, ia menawarkan pengalaman unik seperti lawatan kebun, kutip telur ayam kampung, penuaian madu kelulut dan kelas memasak roti jala serta kari ayam.
“Kami memang nak tetamu rasa suasana kampung sebenar. Dengar bunyi serangga waktu malam, tengok ayam berkeliaran, petik buah dan belajar masak makanan tempatan,” katanya menambah, Khalid turut mengendalikan bengkel berkaitan permakultur kepada masyarakat setempat.
Pasangan berkenaan kini dalam proses menyiapkan unit kabin kedua, sedikit lebih besar dan direka untuk golongan digital nomad yang mahu bekerja sambil bercuti di tengah alam semula jadi.

Mengutip telur angsa antara aktiviti yang boleh dijalankan tetamu di Kebun Lisdtari Farmstay.
Kek tepi jalan
Ditanya cabaran selepas berpindah, Lis mengakui mereka pernah menghadapi cabaran kewangan yang besar.
Ujarnya, awal perpindahan, Khalid hampir berputus asa kerana sudah tiada pendapatan tetap selepas bekerja selama 15 tahun dengan gaji bulanan yang stabil.
“Dia memang rasa tertekan, macam hilang arah kerana bidang yang diceburi sebelum ini sangat berbeza dengan sekarang,” katanya.
Bagi mengatasi situasi itulah, Adliszamiza memutuskan untuk menggunakan kemahirannya dalam pembuatan kek.
Mereka membuka gerai sementara di pasar, menjual kek untuk beberapa jam setiap hari bagi menampung kos sara hidup.
"Dulu masa mula-mula pindah, memang susah. Jual kek tepi jalan, hidup cukup-cukup makan.
“Dari jualan kek, saya dapat duit untuk bertahan. Saya selalu pesan kepada suami supaya jangan risau. Kita pilih jalan ini dan ALLAH SWT telah makbulkan.
"Kini semua yang kami rancang akhirnya jadi kenyataan,” ujar beliau.
Walaupun perjalanan mereka tidak mudah, termasuk berhadapan cabaran kewangan dan kehilangan pendapatan tetap, Adliszamiza dan Khalid tidak pernah menyesal meninggalkan kehidupan lama mereka.
Daripada impian kecil untuk bersara di pulau, Kebun Lisdtari Farmstay menjadi simbol keberanian mereka membina kehidupan baharu dengan kerja keras dan cinta terhadap alam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
