Khutbah 'istimewa' Masjid Nabawi, hujan Subuh di Makkah pahat kenangan 15 jemaah asnaf tajaan IKHLAS.com


  • Massa
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Seramai 82 jemaah umrah termasuk 15 asnaf mengabdikan kenangan di Arafah. — Ustaz Jawad/IKHLAS.com

IKHLAS. Itulah perkataan yang disebut sebanyak 37 kali dalam khutbah Jumaat yang disampaikan Imam Besar Majisd Nabawi, Shaykh Abdullah Buayjaan ketika hari terakhir kami menziarah Rasullah dan para sahabat sebelum berangkat ke Makkah bagi menunaikan umrah.

Antara petikan khutbah yang cukup menyentuh hati saya, berbunyi:

"Wahai hamba-hamba ALLAH, sesungguhnya ALLAH TAALA telah menetapkan bagi setiap amal soleh satu syarat yang tidak diterima tanpanya. Tidak sempurna matlamatnya kecuali dengannya dan tidak diberi ganjaran melainkan dengan syarat itu. Ia merupakan salah satu amalan hati yang paling agung yang tidak diketahui hakikatnya melainkan oleh Tuhan yang Maha Mengetahui segala rahsia. Ia adalah syarat yang paling mulia dalam mendekatkan diri kepada ALLAH. Dan antara ketaatan yang paling suci, itulah IKHLAS."

Hebatnya perancangan ALLAH. 

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Ikhlas.com bawa pendekatan segar didik anak muda kewajipan bayar zakat

Isi khutbah itu seolah-olah mengetahui usaha IKHLAS.com yang menaja jemaah asnaf menjejaki kami ke Kota Madinah dan Makkah, seiring dengan niat dan tujuan kami sepanjang tujuh hari di Tanah Suci.

Kenangan ketika sesi ziarah di sekitar Masjid Nabawi. — Ustaz Jawad/IKHLAS.com

Kehadiran 82 jemaah termasuk 15 golongan asnaf tajaan IKHLAS.com di bawah Program Umrah 1,000 Asnaf menceritakan pelbagai pengalaman untuk dikongsikan terutamanya daripada mereka yang kurang berkemampuan itu.

Asnaf itu luas

Acapkali disebutkan asnaf, pasti ramai mengertikannya sebagai miskin dan tidak berkemampuan, sedangkan ia miliki lapan golongan terdiri daripada asnaf.

Tetapi bagi saya, sebenarnya erti asnaf itu lebih luas mengikut tafsiran dan pandangan masing-masing.

Pengalaman bersama Program Umrah 1,000 Asnaf ini bermula 11 November hingga 18 November lalu membuka hati dan minda bahawa saya sendiri sebenarnya tergolong dalam golongan asnaf.

Ini kerana, di sebalik kesenangan dan kemudahan yang dimiliki selama ini, saya tidak melaksanakan ibadah umrah atau setidak-tidaknya menjejakkan kaki ke Tanah Suci walaupun sudah ribuan ringgit dihabiskan melancong ke tempat lain.

Sebahagian 82 jemaah umrah termasuk 15 asnaf yang ditaja IKHLAS.com memahat kenangan di salah satu lokasi ziarah di Makkah. — Ustaz Jawad/IKHLAS.com

Ini adalah titik kesedaran buat saya bahawa asnaf itu bukan boleh diukur dari sudut kewangan semata-mata tapi perlu dinilai dari segi usaha dan niat.

Tetapi pastinya, tidak ramai antara bagi golongan asnaf mempunyai pilihan ke Tanah Suci selain hanya mampu memasang impian dan angan-angan.

Benar, jemputan itu milik Allah, tapi tanpa niat dan usaha yang bersungguh-sungguh, apakah Alllah akan menjentik hati kita untuk ke sini?

Dari ikhlas lahirlah kekuatan

Masya-ALLAH, hebatnya cara ALLAH menjentik hati kita. Cara ALLAH menjentik IKHLAS.com menganjurkan Program Umrah 1,000 Asnaf yang bermula Julai 2025.

Cara ALLAH menjentik hati pegawai-pegawai Baitulmal atau pusat zakat untuk memilih insan-insan bertuah ini menjadi tetamu ALLAH.

Sama juga seperti 15 orang asnaf termasuk lima bekas atlet Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang berkongsikan satu jawapan sama apabila ditanya perasaan menunaikan umrah.

"Dulu hanya tengok di buku atau dengar kawan-kawan bercerita, tapi kini Kaabah, makam Rasullah di depan kami. Macam tak percaya," demikian luahan yang mereka kongsikan pada saya.

Sesungguhnya ALLAH sebaik-baik perancang dan keikhlasan pihak IKHLAS.com  merealisasikan golongan asnaf ini untuk beribadah kepada ALLAH dengan lebih dekat dan menziarahi kekasih ALLAH, Nabi Muhammad SAW.

Kawasan Bukit Uhud menjadi saksi kehadiran 82 jemaah umrah termasuk 15 asnaf yang ditaja IKHLAS.com. — Ustaz Jawad/IKHLAS.com

Kesemua 15 asnaf ini dihadirkan dengan pelbagai latar belakang dan kisah tersendiri.

Ada yang hadir dengan status ibu tunggal, terpaksa berjuang membesarkan anak seorang diri sama ada ditinggalkan suami atau kehilangan pasangan tercinta.

Tidak kurang juga mereka yang diuji dengan hidup serba kekurangan kerana suami terlantar sakit, menyukarkan isi rumah mendapat nafkah secukupnya.

Begitu juga dengan mereka yang kurang upaya sama ada dari sejak kecil atau akibat kemalangan, berpeluang sama menyertai program ini.

Apa pun amalan atau doa mereka selama ini untuk ke Tanah Suci, ALLAH sahaja yang tahu dan saya yakin IKHLAS.com adalah sebahagian perancangan ALLAH untuk memastikan impian mereka tercapai.

Usaha IKHLAS.com ini tidak ubah seperti disampai dalam khutbah yang sama: 

"Dengan keikhlasanlah lahir kekuatan, semangat dan keberkatan dalam setiap urusan. Sifat malas dan lemah akan hilang. Prestasi menjadi lebih baik dan Allah memberkati segala usaha. Hasilnya akan tercapai, kesannya kekal dan pekerjaan itu akan dianugerahkan kejayaan serta keberkatan dengan ikhlas."

Mutawif tiada lelah

Kumpulan umrah kali ini melibatkan 82 jemaah termasuk 15 asnaf dengan tentatifnya tiga hari beribadah di Masjid Nabawi, Madinah dan empat hari mendekatkan diri pada ALLAH di Masjidilharam, Makkah.

Dari saat berkumpulnya kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) hinggalah ke mendarat di Jeddah, segala urusan dipermudahkan dengan kecekapan krew IKHLAS.com, AirAsia dan mutawif yang menguruskan, Muhammad Faiz Manggar atau mesra dipanggil Ustaz Faiz.

Kehadiran seorang lagi mutawif, Salman Al Farisy atau Ustaz Salman yang menyambut mesra kami di Jeddah, menghilangkan penat sembilan jam penerbangan dengan bait-bait indah yang disampaikan kepada kami.

Mereka berdua boleh dikatakan tulang belakang yang kuat bagi memastikan perjalanan umrah kami selesa, teratur dan selamat walaupun perlu mengawal lebih 80 jemaah.

Tidak dilupakan juga, Ustaz Jawwad yang sentiasa menjadi lensa rombongan kami dengan mengabdikan kenangan menerusi foto dan video yang diambil sepanjang sesi umrah ini.

Malah sejak dari kursus umrah secara talian lagi, sikap prihatin mereka amat terpuji kerana sering menjawab setiap persoalan yang dilontarkan para jemaah di dalam grup Whatsapp sehingga kami semua bersemuka.

Ustaz Salman sentiasa ceria dalam menyampaikan ilmu serta perkongsian tentang sirah Nabi Muhammad SAW. — Ustaz Jawad/IKHLAS.com

Dengan pengalaman luas Ustaz Salman dibantu kelembutan bicara Ustaz Faiz, para jemaah tidak kekok untuk mendapatkan pencerahan setiap kali aktiviti ziarah diadakan.

Antara tempat yang dikunjungi para jemaah termasuk ziarah di sekitar Masjid Nabawi, ziarah luar Madinah seperti Masjid Quba, Bukit Uhud, Masjid 7 dan Masjid Qiblatain.

Manakala di Makkah, kami dibawa ziarah sekitar Masjidilharam, Jabal Tsur, Jabal Rahmah, Mudzalifah dan Mina.

Sepanjang perjalanan kami ke setiap destinasi ini, diselingkan dengan kisah-kisah sirah penting yang lebih mendalam berbanding dalam buku teks yang kami pelajari selama ini.

Tidak dilupakan juga kesungguhan kedua-dua mutawif ini memastikan setiap jemaah mendapat peluang memasuki Raudah ketika di Madinah walaupun pada awalnya ada yang tidak dapat menempah slot.

Ribut dan hujan

Jemaah juga pastinya tidak akan melupakan pengalaman mereka mengharungi ribut pasir ketika dalam perjalanan dari Madinah ke Makkah.

Alhamdulillah, tempoh perjalanan selama 6 jam itu ditempuhi dengan selamat dan kami tiba di Makkah kira-kira pukul 8 malam untuk berehat seketika sebelum menunaikan umrah kira-kira pukul 11 malam.

Saat ini, tiada siapa yang tahu bahawa beberapa jam selepas kami tiba, bas yang membawa lebih 46 jemaah umrah dari India terlibat kemalangan, mengorbankan 45 daripadanya. Al-Fatihah.

Ibadah umrah kami seperti dipermudahkan kerana ketika ibadah tawaf dilaksanakan, tidak ramai jemaah berada di sekitar kawasan mataf Kaabah.

Ustaz Faiz tidak pernah jemu melayan persoalan yang dilontarkan jemaah. — Ustaz Jawad/IKHLAS.com

Kawalan kemas Ustaz Salman dan Ustaz Faiz demi memastikan jemaah tidak berpecah juga melicinkan pergerakan kami mengelilingi Kaabah walaupun ada ketika diasak kumpulan jemaah lain yang bertubuh besar dan kasar.

Jujur diakui, saya sendiri tak sedar selesai melakukan tawaf selama tujuh pusingan dan berasakan seolah-olah sekejap saja ibadah itu dilakukan apabila Ustaz Faiz memberi isyarat untuk keluar dari mataf bagi melaksanakan ibadah seterusnya.

Ibadah Saie juga berlangsung tenang walaupun ada jemaah kelihatan keletihan terutamanya mereka yang uzur tetapi bimbingan dari kedua-dua mutawif dan sokongan rakan jemaah lain, memastikan kami semua dapat menyempurnakan rukun tersebut.

Rindu mula bertaut

Umrah kami semua lengkap dilaksanakan selepas selesai bertahalul kira-kira pukul 3.30 pagi dan ramai memilih untuk menunggu sehingga solat Subuh.

Siapa sangka, Subuh pertama di Masjidilharam disambut dengan hujan yang mencurah-curah beberapa detik sebelum solat bermula.

Di sini, ada jemaah asnaf yang berkongsikan pengalaman bersolat Subuh dalam keadaan basah dan bergenang air hujan.

"Saya sujud di atas sejadah yang terapung kerana kawasan mataf dinaiki air.

Sesi tawaf rukun yang dilaksnakan dengan penuh berdisplin oleh 82 jemaah termasuk 15 asnaf di bawah tajaan IKHLAS.com. — Ustaz Jawad/IKHLAS.com

"Itu pengalaman yang selamanya tidak akan saya lupakan. Apatah lagi ketika kali pertama menghadap Kaabah," itu antara kisah yang dikongsikan ketika kami bersarapan.

Selesai umrah wajib, kami diberikan rehat pada hari berikutnya sebelum diberi peluang melaksanakan umrah kedua dan melakukan aktiviti ziarah di luar Makkah.

Pada hari terakhir, hampir semua jemaah turun ke Masjidilharam lebih awal untuk menunaikan tawaf wada sebagai tanda pertemuan singkat kami ke Tanah Suci ini akan berakhir dengan lambaian penuh kesedihan.

Kami bergerak ke Jeddah untuk menaiki penerbangan pulang ke Malaysia kira-kira 7.30 petang waktu Saudi dan tiba di tanah air pukul 11 pagi keesokannya harinya waktu tempatan.

Dan setibanya di Malaysia, kami semua berkongsi satu perasaan yang sama.

"Rindunya bersolat depan Kaabah, rindunya bersolat di Masjid Nabawi." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram