SELEPAS sedekad penganjurannya, Anugerah Star Golden Hearts (SGHA) 2025 terus menjadi pentas pengiktirafan buat individu serta organisasi yang komited menjalankan kerja-kerja sosial di seluruh negara.
Tahun ini, program anjuran The Star Media Group (SMG) itu menobatkan 10 lagi penerima yang memberikan impak besar dalam bidang kemanusiaan, pemuliharaan alam sekitar, pendidikan, kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Chan Seng Fatt berkata, perjalanan lebih 10 tahun SGHA membuktikan bahawa platform tersebut kini menjadi simbol penghargaan nasional terhadap mereka membawa perubahan kepada masyarakat.
"Selama 11 tahun, anugerah ini telah berkembang menjadi platform nasional yang mengiktiraf individu dan organisasi luar biasa yang memperkukuh komuniti, melindungi golongan rentan dan menawarkan harapan pada yang memerlukan.
"Sumbangan mereka mengingatkan kita bahawa jiwa Malaysia bukan sahaja terletak pada pencapaian atau kemajuan, tetapi pada kesediaan kita untuk mengambil berat satu sama lain.
"Tema tahun ini, 'Recognising the Unsung, Inspiring the Next', mencerminkan semangat tersebut dan setiap penerima menjadi inspirasi kepada masyarakat," katanya dalam majlis penyampaian SGHA yang berlangsung di Menara Star pada Khamis.

Chan Seng Fatt (kanan) menyampaikan anugerah kepada salah satu pemenang SGHA 2025. — The Star
Senarai 10 pemenang SGHA 2025:
1. Lightup Borneo PLT
2. Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC)
3. OrphanCare Foundation
4. RESPonsible Elephant Conservation Trust (RESPECT)
5. REKAYU
6. Johnson Lam Hooi Liang
7. Capt. K. Bala
8. Mohamed Nazri Prem Nasir
9. Chew Song Kong
10. Adrine M. K. Lee
Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Juri SGHA, Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan anugerah tersebut sentiasa dekat di hatinya kerana ia menggambarkan nilai murni rakyat Malaysia yang sering menabur bakti tanpa mengharapkan balasan.
“SGHA mencerminkan kemurahan hati dan kesanggupan rakyat Malaysia membantu orang lain yang memerlukan.
"Berkhidmat sebagai Ketua Juri selama sepuluh tahun merupakan satu penghormatan dan saya telah bertemu begitu ramai individu dan organisasi yang benar-benar berdedikasi menabur kebaikan.
"Kisah mereka mengingatkan saya bahawa kekuatan sebenar negara ini terletak pada kebaikan rakyatnya dan semangat kesukarelaan yang tidak pernah padam," katanya.
Dalam perkembangan sama, Pengarah Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia, Hajjah Shamsidar Yahya turut mengumumkan pemenang McDonald’s Caring Hearts Award, iaitu REKAYU.

Shamsidar Yahya (kiri) menyampaikan anugerah pilihan McDonald’s Caring Hearts Award kepada REKAYU. — The Star
Merupakan sebuah inisiatif sosial yang mengitar semula palet kayu terbuang untuk dijadikan produk komersial, REKAYU dalam masa sama turut memberi peluang kepada golongan muda dan bekas banduan membina kemahiran dalam bidang tersebut.
"REKAYU dipilih kerana pendekatan mereka dalam membangunkan komuniti melalui penggunaan semula bahan terbuang.
"Mereka membantu anak muda dan bekas banduan mendapatkan pekerjaan serta menjana pendapatan melalui produk pertukangan tangan.
"Usaha ini selari dengan nilai teras McDonald's yang memberi impak positif kepada masyarakat," katanya.
Sejak diperkenalkan, SGHA menjadi platform tahunan The Star bagi mengangkat wira-wira tidak didendang yang berbakti secara konsisten dalam memperkasa komuniti.
Program itu turut menjadi inspirasi kepada orang ramai untuk mengambil peranan aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan maklumat lanjut mengenai SGHA boleh didapati di laman rasmi sgha.com.my. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
