HASRAT sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata sulung berakhir dengan tragedi selepas bayi yang dikandung selama sembilan bulan disahkan meninggal dunia pada 19 November lalu.
Berdasarkan perkongsian di laman Instagram pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Chai, kejadian menyayat hati itu berlaku sekitar pukul 5.40 petang selepas bayi berkenaan dilahirkan dalam keadaan songsang di bilik air kediaman mereka di Puncak Alam, Selangor.
Menurut hantaran itu, si ibu yang sedang berehat tiba-tiba mengadu sakit perut seperti tanda mahu melahirkan.
BACA LAGI: Bayi lelaki 5 bulan dilaporkan meninggal dunia bawah jagaan pengasuh di Kangkar Pulai
Menyedari keadaan itu, suaminya segera menghubungi talian kecemasan 999.
Bagaimanapun, panggilan pertama tidak dijawab, membuatkan si suami semakin panik.
"Kesakitan yang semakin memuncak menyebabkan isteri berjalan ke bilik air kerana merasakan detik kelahiran sudah tiba.
"Dalam keadaan tergesa-gesa, si suami terus mencuba menghubungi 999. Panggilannya berjaya dijawab, namun talian terputus beberapa saat kemudian," tulisnya pada Khamis.
Bimbang akan keselamatan isteri, suami menuju ke bilik air dan mendapati wanita itu sudah terbaring.
Menurut hantaran itu lagi, ketika itu, bayi tersebut keluar daripada bahagian kaki hingga paras leher dalam keadaan songsang.
"Suami memegang tubuh bayi yang masih tersangkut pada rahim, namun tidak berani menariknya walaupun didesak oleh si isteri yang berada dalam kesakitan.
"Dalam keadaan lemah dan menahan rasa sakit, si ibu tetap berusaha meneran beberapa kali sehingga kepala bayi akhirnya berjaya dilahirkan sepenuhnya.
"Tidak lama kemudian, panggilan kecemasan akhirnya berjaya disambungkan, dan operator perubatan membimbing si bapa melakukan CPR (bantuan pernafasan kecemasan)," ceritanya.
Tambahnya, bagaimanapun bayi yang berada di pangkuan ibu tersebut tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan bayi berkenaan telah meninggal dunia.
Si ibu dan bayinya kemudian dibawa ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk tindakan lanjut, termasuk proses bedah siasat.
"Jasad bayi lelaki tersebut, diberi nama Muhammad Amir Faris, dibawa ke Bilik Wakaf Jannatul Firdaus sebelum diuruskan untuk pengebumian.
"Dalam suasana penuh pilu, si bapa diberi peluang memandikan sendiri jenazah anaknya.
"Beberapa kali beliau dilihat menangis ketika menjalankan tanggungjawab terakhir itu," kongsinya.
Ujar Wan Chai, jenazah Muhammad Amir Faris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas solat Zuhur.
Menurutnya, kos liang lahad berjumlah RM250 telah ditanggung menggunakan dana Wakaf Liang Lahad.
"Selesai dikebumikan, si ibu turun dari kereta dan berdiri di sisi pusara kecil anaknya.
"Terdengar kata-kata 'maafkan mama' diungkapkan oleh si ibu, membuatkan kami yang ada di situ tidak dapat menahan sebak.
"Pemergian anak syurga ini pasti meninggalkan ruang kosong yang tidak mungkin terisi.
"Namun setiap titisan air mata ibu dan ayah adalah bukti cinta yang tidak akan pernah hilang," ungkapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
