IBU kepada atlet Muay Thai remaja, Mia Ghazali berkongsi perkembangan terbaharu anak perempuannya itu menjelang aksi di Pahlawan Championship.
Menurut Jennana Johnson, prestasi Mia atau nama sebenarnya Emylia Lyn menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa bulan lalu meskipun sebelum ini remaja berusia 14 tahun itu jarang turun berlawan.
“Sebelum ini Mia tidak banyak berlawan. Kemudian dia berlawan di Singapura sebagai aksi pemanas badan dan seterusnya di Isan, Thailand,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook Pahlawan Championship.
BACA LAGI: 'Dia memang lahir dengan gaya 'swagger', ibu Johan Ghazali nafi anak makin sombong lepas popular
Dalam aksi di Thailand, ujar Jennana, Mia berdepan lawan paling sukar dan walaupun tewas tipis menerusi pengiraan mata, pengalaman tersebut nyata mematangkan gayanya.
“Dia bertarung dengan baik tapi kehilangan poin. Namun saya dapat lihat Mia semakin baik. Kemahiran teknikalnya juga bertambah,” jelasnya.
Jennana yang juga Pengasas Rentap Muay Thai di Kuching, Sarawak turut menggambarkan Mia sebagai gadis yang kelihatan lembut dan manis di luar, tetapi berubah menjadi pejuang bersemangat besar sebaik sahaja melangkah ke dalam gelanggang.
“Dia mungkin nampak lembut, tapi hatinya sangat besar. Apabila masuk ring, dia akan beri segalanya,” katanya.
Beliau turut menyatakan rasa bangga melihat perkembangan pesat atlet wanita Muay Thai negara yang kian menyerlah di pentas antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, Jennana menzahirkan harapan agar Mia bersama dua lagi atlet muda, Elias dan Haikal, mampu memberikan persembahan terbaik di Pahlawan Championship kelak.
“Saya tahu mereka bertiga berlatih sangat keras. Saya yakin mereka akan membawa persembahan yang baik buat Pahlawan. Semoga berjaya,” katanya.
Untuk rekod, Mia merupakan adik kepada jaguh Muay Thai negara yang sedang meningkat naik, Jojo Ghazali, selain menjadi sebahagian daripada keluarga besar atlet seni bela diri, termasuk Muhammad Elias dan Muhammad Mikail yang aktif dalam sukan sama.
Anak bongsu daripada empat beradik itu sebelum ini mencuri perhatian selepas berjaya mempamerkan aksi kompetitif di beberapa kejohanan remaja di rantau Asia.
Keupayaannya bersaing dengan atlet lebih berpengalaman menjadikan namanya semakin disebut dalam kalangan peminat Muay Thai tempatan.
Tidak hanya itu, Mia yang kini memiliki lebih 94,000 pengikut di akaun Instagram miaa_ghazali turut melibatkan diri dalam arena gimnastik.
Selain dikenali sebagai adik perempuan kepada Jojo, susuk remaja itu sebelum ini juga tular selepas bertarung dengan pelakon, Eira Syazali sempena Rentap Fighting Championship yang berlangsung di Stadium Perpaduan Sarawak pada 18 Januari lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
