BERSELERAK dengan cebisan fabrik, plastik kitar semula, longgokan kertas dan beg belanja lama pelbagai jenama, studio Commenhers di Ubi, Singapura mungkin kelihatan seperti gudang barang terbuang.
Namun, di sebalik kekacauan itu tersimpan satu misi besar yang digerakkan oleh anak muda bernama Nuryanee Anisah Mohamed Noor berusia 25 tahun.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Commenhers itu kelihatan tenang menguruskan ruang kecil tanpa penghawa dingin, cukup dengan dua kipas industri yang berdengung kuat.
BACA LAGI: Membesar dikelilingi hutan dan ladang, Katerina Shukshina ilhamkan fesyen alam penuh magis
Menurutnya, keadaan berselerak itu adalah 'keperluan', lebih-lebih lagi ketika pasukan kecilnya sibuk membuat persiapan beberapa bengkel upcycling bersama pelbagai syarikat.
Untuk makluman, upcycling bermaksud proses mengubah semula bahan buangan atau barangan terpakai kepada produk baharu yang mempunyai nilai dan kualiti lebih tinggi.
“Ini semua sebahagian daripada proses. Memang sakit mata memandang, tetapi ia tidak kekal lama.
"Dengan pasukan empat orang, kami perlu utamakan kerja dan kadang-kadang terpaksa terima keadaan begini,” katanya.
Nama Commenhers sendiri diambil daripada gabungan kata commoners, men dan hers, melambangkan keterangkuman serta misi sosial syarikat itu, sekali gus menjadi jambatan antara pengurangan sisa tekstil korporat dan membuka peluang pendapatan untuk wanita.
Melalui kerjasama pelbagai syarikat, Commenhers menukarkan tekstil terbuang kepada produk baharu seperti beg, aksesori dan perabot kecil.
Lebih istimewa, kerja upcycling itu dilakukan wanita daripada latar rentan, antaranya ibu tunggal, warga emas dan suri rumah berpendapatan rendah yang ingin menambah pendapatan sambil mengasah kemahiran jahitan.
“Kami bergantung pada sentuhan tangan. Kekacauan ini bukan pelik, kadang-kadang daripada sinilah idea paling kreatif lahir,” jelasnya.

Ayah (kanan) dan ibu Nuryanee mengamalkan kitar semula barangan di rumah. — Nuryanee Anisah
Datuk
Minat Nuryanee Anisah terhadap kelestarian bukan muncul tiba-tiba, sebaliknya diwarisi daripada keluarganya.
Menurutnya, amalan mengurangkan sisa bukan perkara baharu bagi masyarakat Asia.
“Saya membesar lihat ibu bapa guna semula botol, tukar baju lama jadi kain lap dan datuk saya pula seorang peniaga barang kitar semula, itulah upcycler sebenar,” katanya.
Mewarisi semangat itu, Nuryanee Anisah memulakan Commenhers sebagai projek sekolah pada 2019 ketika belajar di Singapore Polytechnic.
Projek itu pada awalnya hanyalah tugasan semester, namun bertukar menjadi usaha sebenar selepas beliau menyedari betapa besarnya potensi kitar semula dalam industri.
Kerjasama pertama mereka adalah dengan syarikat pengendali pelabuhan global, PSA Singapore untuk mendapatkan tekstil terbuang seperti uniform lama atau fabrik rosak.
Sejak itu, Commenhers berkembang pesat dan terus menarik minat syarikat-syarikat besar.
“Kitar semula mungkin perlahan, tetapi apabila nampak hasilnya dan saat kita pegang beg atau pakai baju tersebut, ia sangat berbaloi,” katanya.

Pasukan Commenhers mempelajari kemahiran asas menjahit bagi membolehkan mereka melakukan kerja kitar semula. — Commenhers
Tambah pendapatan
Minat terhadap kerja komuniti juga datang daripada didikan ibu bapanya.
Commenhers kemudian mengembangkan kerjasama dengan organisasi seperti Daughters of Tomorrow dan PPIS bagi menawarkan latihan dan peluang kerja kepada wanita.
Setakat ini, lebih 100 wanita secara aktif bekerja bersama Commenhers, menghasilkan pelbagai produk kitar semula yang dijual kepada syarikat atau orang ramai.
Beberapa ruang jahitan turut dibuka di Jurong East dan Kallang bagi memberi kemudahan kepada para pekerja untuk bekerja dekat dengan rumah mereka.
Commenhers juga menjalin kerjasama besar termasuk bersama Decathlon, menghasilkan beg duffel daripada beg kayak lama dan beg kapur daripada tilam udara rosak.
Penglibatan aktifnya dalam kelestarian membawa Nuryanee Anisah menerima pengiktirafan seperti Sustainability Leadership Youth A-List dan NEA EcoFriend Award 2024.

Nuryanee Anisah (kanan) dan Commenhers menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk Anugerah NEA EcoFriend pada 2024 atas usaha mereka. — Commenhers
Namun, di sebalik kejayaan itu, beliau mengakui beberapa tahun kebelakangan ini, dirinya agak letih dari fizikal dan mental.
“Banyak malam saya hanya tidur dua atau tiga jam. Saya selalu rasa perlu bekerja lebih keras.
"Walaupun banyak pencapaian, kadang-kadang saya tertanya-tanya sama ada saya benar-benar memberi impak,” ujarnya jujur.
Namun, beliau kembali mengingat prinsip asal yang menggerakkan dirinya, yakni memperlahankan kehidupan.
“Saya mahu hidup ikut nilai keluarga saya. Datuk hidup dengan cara perlahan tetapi bermakna. Saya ingatkan diri untuk berhenti, tarik nafas dan berehat,” bicaranya lagi.
Walaupun ramai kini hilang harapan terhadap isu kelestarian, Nuryanee Anisah percaya Commenhers membuktikan bahawa perubahan kecil tetap membawa makna.
“Tak kira sekecil mana pun impaknya, selalu ada sesuatu yang boleh kita buat,” tegasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
