[VIDEO] Tidak hanya cemerlang akademik, Engku Aleesa kini penulis muda, lancar buku kanak-kanak bertemakan nilai murni Fatimah az-Zahra


  • Bonda
  • Isnin, 17 Nov 2025

Engku Aleesya berkongsi karya pertamanya menerusi video yang dimuat naik oleh Erra Fazira di Instagramnya pada Ahad. — Instagram/@errafazira

TIDAK cukup dengan keputusan cemerlang yang diraih dalam peperiksaan antarabangsa baru-baru ini, anak pelakon, Erra Fazira dan bekas suami, Engku Emran iaitu Engku Aleesya, kini menunjukkan pula bakatnya dalam bidang penulisan dengan penerbitan buku kanak-kanak pertamanya.

Buku berjudul Little Nina and the Virtues of Fatimah az-Zahra itu diperkenalkan sendiri oleh Aleesya menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh Erra di akaun Instagramnya.

Dalam video berkenaan, Aleesya yang berusia 16 tahun berkongsi bahawa buku tersebut dipenuhi ilustrasi berwarna-warni dan penuh dengan nilai murni yang sesuai untuk pembaca cilik.

BACA LAGI: Syaidatul Afifah terima pingat diraja, legasi boling Malaysia diiktiraf negeri Perak

BACA LAGI: Speaker Johor gesa pemeriksaan mengejut di sekolah, kenal pasti tahap keselamatan sebenar pelajar

"Saya baru sahaja menerbitkan sebuah buku. Ia sangat penuh dengan berwarna dan saya rasa anak-anak anda akan sangat menyukainya," katanya sambil menunjukkan helaian buku tersebut.

Erra turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anak tunggalnya itu.

"Ini baru permulaan sahaja dan ibu tahu kamu akan melakukan perkara hebat.

"Ibu sangat bangga dengan kamu, anak," tulis Erra sambil menyeru sokongan ramai.

Sementara itu, Tertib Publishing selaku penerbit menyifatkan karya itu sebagai naskhah yang penuh nilai murni, diilhamkan daripada kehidupan puteri bongsu Nabi Muhammad SAW, Fatimah az-Zahra.

Menurut hantaran mereka di Threads, kisah tersebut mengangkat keberanian, kebaikan dan iman melalui perspektif seorang kanak-kanak.

Buku tersebut menambah lagi pencapaian Aleesya yang sebelum ini memperoleh 7A dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

Untuk makluman, IGCSE merupakan peperiksaan antarabangsa yang diiktiraf di seluruh dunia, setaraf Sijil Pelajaran Malaysia dan dikendalikan oleh badan utama seperti Cambridge International Examinations, Edexcel dan OxfordAQA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram