
WALAUPUN membawa haluan masing-masing selepas bercerai, pelakon terkenal Erra Fazira dan Engku Emran berjaya membuktikan bahawa sokongan dan perhatian yang konsisten terhadap permata hati mampu mencapai kejayaan cemerlang.
Anak tunggal mereka, Engku Aleesya Engku Emran, mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 7A dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) baru-baru ini.
Engku Emran meluahkan rasa bangganya di Instagram, menyifatkan pencapaian itu sebagai salah satu hari paling bermakna dalam hidupnya.
BACA LAGI: Bukan calang-calang TPR wakili Zara Qairina, Nor Azizah juga kendali kes adik Bella, Ebit Liew
Bagi beliau, kejayaan Aleesya adalah hasil daripada pengorbanan sepanjang 11 tahun, termasuk menghadiri setiap acara sekolah, menyokong perlumbaan anaknya dan menelaah bersama pada malam hari.
“Segala usaha ini akhirnya membuahkan hasil. Hari ini, Aleesya membuktikan pengorbanan seorang ayah tidak pernah sia-sia,” kata Engku Emran.
Erra Fazira turut meluahkan kegembiraannya dalam satu video yang dimuat naik di media sosial.
“Hari ini hari yang membahagiakan. Alhamdulillah syukur. Salah satu momen paling tidak dapat dilupakan. Ibu sangat bangga dengan awak, anak!! Terima kasih kepada semua guru, keluarga, dan rakan-rakan yang mendoakan Aleesya sepanjang peperiksaan,” katanya.
Aleesya sendiri kelihatan teruja dan turut memberi penghargaan kepada guru-gurunya terutama guru Fizik, Arif yang banyak membantunya sepanjang persediaan peperiksaan.
Untuk rekod, IGCSE merupakan peperiksaan antarabangsa yang diiktiraf di seluruh dunia, setaraf Sijil Pelajaran Malaysia dan dikendalikan oleh badan utama seperti Cambridge International Examinations, Edexcel dan OxfordAQA.
Erra Fazira dan Engku Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007, namun bercerai pada Februari 2014. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram