Langkah intervensi dirangka bantu generasi 'sandwic' lepasi fasa kesempitan hidup, bina keluarga


  • Cinta
  • Khamis, 20 Nov 2025

Kerajaan memperkukuh pelaksanaan program di bawah Pelan Kesuburan Kebangsaan bagi menyokong pasangan yang berdepan cabaran mendapatkan zuriat. — Gambar hiasan

KERAJAAN buat pertama kalinya memperkenalkan intervensi bersasar bagi membantu generasi ‘sandwic’ membuat keputusan lebih tepat berkaitan perancangan keluarga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia susulan trend golongan muda yang semakin cenderung menangguhkan atau memilih untuk tidak mempunyai anak.

Menurutnya, langkah itu penting memandangkan perubahan demografi negara semakin ketara, sekali gus mempengaruhi Kadar Kesuburan Jumlah (TFR).

BACA LAGI: [VIDEO] Pikul tanggungjawab jaga ibu bapa uzur dan anak-anak, Marlina dan suami jalani realiti hidup generasi sandwic

BACA LAGI: 'Banyak je cara menyimpan, boleh guna konsep 6-2-1-1', perunding kewangan nasihat anak muda elak berhutang semata mahu ikut trend

“Golongan muda kini mempunyai perancangan hidup tersendiri, termasuk keputusan untuk menangguh atau tidak mahu mempunyai anak. 

"Kerajaan tidak boleh memaksa, namun menjadi tanggungjawab kami untuk meningkatkan kesedaran agar mereka dapat menilai semula pilihan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2025 pada Rabu.

Nancy berkata, golongan muda kini mempunyai perancangan hidup tersendiri, termasuk keputusan untuk menangguh atau tidak mahu mempunyai anak. 

Menurut Nancy, generasi ‘sandwic’ iaitu golongan dewasa yang perlu menjaga ibu bapa warga emas sambil menyara anak-anak merupakan kelompok paling terkesan akibat tekanan ekonomi, kos sara hidup yang tinggi serta beban tanggungjawab berganda. 

Situasi itu jelasnya, turut menyumbang pada penurunan TFR negara dari tahun ke tahun.

"Bagi menangani isu tersebut, kerajaan kini memperkukuh pelaksanaan program di bawah Pelan Kesuburan Kebangsaan bagi menyokong pasangan yang berdepan cabaran mendapatkan zuriat.

"Antara usaha tersebut ialah Program Rawatan Kesuburan dan Advokasi Ketidaksuburan (BUAI), yang memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran mengenai isu kesuburan lelaki.

"Setakat ini, program tersebut telah mendaftarkan seramai 1,300 peserta dengan kadar kejayaan 12 peratus," ungkapnya.

Nancy turut menegaskan, intervensi baharu itu bukan sahaja bertujuan menyediakan maklumat yang tepat kepada golongan muda, tetapi juga memastikan negara terus mengekalkan struktur demografi yang seimbang dan mampan pada masa hadapan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram