
"ORANG ramai kata dia dah berubah, hakikatnya dia tak pernah berubah, dia memang lahir dengan gaya swagger".
Demikian kenyataan Jennana Johnson, ibu kepada jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali ekoran kecaman serta kritikan diterima anaknya usai mengalami beberapa siri kekalahan perlawanan baru-baru ini.
Jelasnya, Johan sememangnya dilahirkan untuk menjadi petarung Muay Thai dan sikapnya yang kadangkala lantang bersuara sudah lama terbentuk sejak kecil, namun cukup disenangi dalam kalangan keluarga dan kenalan rapat.
BACA LAGI: Pengorbanan ibu rahsia kejayaan, Johan Ghazali hadiahkan jam Rolex dari hasil ganjaran kemenangan
"Baru keluar dari rahim pun dia sudah pandai meminta perhatian," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook Muay Thai Malaysia pada Isnin.
Mengimbau detik kali pertama melihat Jojo di dalam bassinet sebaik dilahirkan, "Dia sempat angkat kening pada saya dan ketika itu saya terus terdetik, habislah kita kali ini," ujarnya.
Paling tidak dilupakan, situasi di mana Jojo terpalit dalam satu pergaduhan bersama seorang remaja yang lebih berusia daripadanya yang dianggap sebagai pencetus minatnya dalam dunia Muay Thai.
"Masa umur dia kira-kira 10 tahun, saya keluar pintu depan dan nampak seorang budak jiran tekan dia ke tanah dan tumbuk muka dia.
"Johan terus maki hamun walaupun tengah kena belasah, dia maki sampai budak tu penat dan berhenti, saya tak halang pun, sebab saya yakin dia pun memang layak kena, mulut dia celupar dari dulu," katanya.
Dalam pada itu, Jojo di zaman kanak-kanaknya pernah menyatakan impian untuk memiliki sebuah muzium khas yang menyimpan barangan serta koleksi peribadinya.
Malah, selepas tewas dalam pertarungannya baru-baru ini, remaja berusia 18 tahun itu sanggup membayar pelukis untuk menghasilkan mural wajahnya di gimnasium, sebagai pembakar semangat dan tatapan orang ramai.
Di sebalik sikap lantangnya, Jojo diakui seorang yang bekerja keras dan tidak pernah mengalah dalam apa jua cabaran dihadapi.
Kongsi ibunya, detik kelahiran Jojo ke dunia dipenuhi dengan pelbagai dugaan bila mana doktor pernah menasihatkan agar dia menggugurkan kandungannya kerana keadaan bayi tidak stabil.
"Syukur Alhamdulillah saya tak ikut cadangan itu, Jojo bertarung empat bulan sebelum saya sempat cuba untuk gugurkan dia," tambahnya.
"Dia keras kepala, dia bijak, dia memang menyusahkan tapi itulah dia yang sebenar.
"Orang boleh sayang dia atau benci dia tapi dia tetap diri dia walaupun jatuh berkali-kali tapi dia tetap bangun semula dan sentiasa percaya pada dirinya sendiri 100 peratus," katanya.
Kini, di usia 18 tahun Johan telah melalui lapan perlawanan ONE Championship dengan catatan 5 kemenangan (empat daripadanya melalui KO) dan tiga kekalahan termasuk dalam pertembungan epik menentang Diego Paez pada bulan lalu.
Biarpun kerap dilempar kecaman dan komen negatif susulan kekalahan demi kekalahan dialami, Johan kekal positif dan sentiasa menerima sokongan moral daripada keluarga, terutama ibunya yang terus menjadi tulang belakang, emosi dan strategi buatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram