Membesar dikelilingi hutan dan ladang, Katerina Shukshina ilhamkan fesyen alam penuh magis


  • Sukses
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Walaupun tidak menganggap dirinya pakar fesyen, karya unik beliau seakan mengaburkan garis antara seni konseptual dan rekaan pakaian. — Instagram/shu_katerina

 

 

DALAM dunia fesyen yang sering dibayangi glamor dan fabrik premium, Katerina Shukshina memilih cerita yang jauh berbeza.

Artis dari Rusia itu menjadikan buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga sebagai bahan asas fesyen boleh pakai.

Nama Katerina mula mencuri perhatian selepas karya uniknya tular di Instagram, dengan menampilkan rekaan yang dihiasi daun kubis, bunga liar, alga paya, malah zucchini yang dijadikan kasut balet rata.

BACA LAGI: Idea spontan suami isteri pindah Langkawi, ubah sisi kehidupan dari kerjaya di bandar besar ke bisnes dusun tropika

BACA LAGI: Pernah dipandang rendah kerana terlalu muda, kini Najwa miliki 3 kilang OEM sendiri

 

 

Antara rekaan Katerina yang menjadi tular di media sosial. — Instagram/shu_katerina

Visual ganjil namun memukau itu menarik perhatian khalayak global, termasuk penerbitan fesyen antarabangsa.

Berakar daripada kehidupan desa yang tenang, Katerina menganggap karyanya sebagai kanvas memori, sebagai satu cara untuk merakam nostalgia zaman kanak-kanak dan hubungan intimnya dengan alam.

“Alam semula jadi sendiri merupakan 'artis' yang menakjubkan,” katanya menggambarkan bagaimana tekstur, bentuk dan warna alam menjadi sumber ilham utamanya.

Guru Sejarah

Katerina membesar dengan minat terhadap seni seperti melukis, menggubah puisi dan mencipta objek baharu, namun keterbatasan hidup di kampung kecil menghalangnya memasuki sekolah seni.

Selepas tujuh tahun bertugas sebagai guru Sejarah, beliau akhirnya meninggalkan kerjaya itu untuk memberi ruang kepada dunia kreatif yang sekian lama terpendam.

Pemergiannya dari bilik darjah menandakan permulaan perjalanan artistik yang kini mendapat perhatian global.

Karya Katerina lahir daripada pemerhatian halus terhadap alam, termasuk kenangan mencari cendawan bersama keluarga, bermain dengan buah akasia atau menikmati hasil tanaman sendiri sehingga membentuk sensitiviti kreatifnya.

Ujarnya yang gemar menggayakan pakaian cantik milik ibu sejak kecil, idea juga sering hadir dalam bentuk spontan atau tanpa dirancang.

Banyak projek disiapkan dalam satu hari termasuk menjahit jaket kubis dalam beberapa jam sebelum daun-daun itu diberi kepada ayam. — Instagram/shu_katerina

"Misalnya buluh lembut yang mengingatkan saya pada kot bulu atau daun kubis yang tiba-tiba kelihatan seperti brim topi haute couture (fesyen bermutu tinggi).

"Di rumah juga terdapat sebuah kolam kecil yang kadang-kadang diliputi alga dan teksturnya yang seakan benang bulu mencetuskan idea untuk 'mengait' fesyen menggunakan 'benang paya'," kongsinya.

Pentas fesyen

Walaupun tidak menganggap dirinya pakar fesyen, karya unik beliau seakan mengaburkan garis antara seni konseptual dan rekaan pakaian.

Paling mencuri tumpuan tentu sekali Chanel zucchini ballet flats yang menjadi fenomena di media sosial, sekali gus membawa Katerina ke pelbagai wawancara dan liputan media.

Baginya, setiap bahan semula jadi membawa cerita dan cabaran tersendiri. Namun bekerja dengan alam juga bererti beliau harus segera bertindak.

"Cuaca boleh merosakkan bahan, sayur boleh dimakan ahli keluarga dan bunga boleh layu bila-bila masa.

“Jika ada idea, buat terus. Jangan tangguh," katanya sambil mengimbau kenangan saat dirinya pernah kehilangan bahan kerana berlengah.

 

 

 

Katerina jarang melakar konsep. Sebaliknya, beliau membiarkan gerak hati memimpin.

Banyak projek disiapkan dalam satu hari termasuk menjahit jaket kubis dalam beberapa jam sebelum daun-daun itu diberi kepada ayam.

Bunga pula biasanya disimpan dalam herbarium (koleksi spesimen tumbuh-tumbuhan yang dikeringkan, disimpan dan diklasifikasikan secara sistematik), manakala sayur dimakan oleh keluarga atau haiwan peliharaan.

Ketika berkarya, muzik dan rancangan audio siar menjadi teman setia wanita itu.

Jika cuaca mengizinkan, beliau memilih untuk menghasilkan karya di luar rumah, di tengah padang hijau dan ditemani cahaya matahari serta kicauan burung.

 

Walaupun bermula sebagai hobi, Katerina kini mula melihat potensinya sebagai suatu dimensi seni baharu. — Instagram/shu_katerina

Masa depan

Walaupun bermula sebagai hobi, Katerina kini mula melihat potensinya sebagai suatu dimensi seni baharu.

"Mungkin memasang alatan di rumah, aksesori hiasan, mungkin juga kolaborasi kreatif dengan artis lain. Semuanya masih terbuka.

“Siapa tahu, mungkin saya kembali mengajar di sekolah?” ujarnya tertawa.

Yang penting pesannya, dengarlah kata hati sendiri, lakukan apa yang dicintai dan tidak takut untuk memulakan sesuatu.

"Anggap kegagalan sebagai pengalaman dan lakukan semuanya dengan kasih sayang kepada manusia dan dunia," ungkap beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram