'Kalau nak panas baik balik Changlun je', Che Nom buktikan tak membazir bercuti ke Swiss hujung musim luruh


  • Maya
  • Khamis, 20 Nov 2025

Che Nom beliau lebih gemar menguruskan perjalanan sendiri secara DIY berbanding menggunakan perkhidmatan ejen pelancongan. — Facebook/Che Nom

PEMPENGARUH masakan dan YouTuber terkenal, Che Nom menepis tanggapan bahawa percutian ke Switzerland pada penghujung musim luruh sebagai satu pembaziran.

Berkongsi di hantaran Facebook, pemilik nama Che Normah Bakar itu berkata, terdapat segelintir individu yang mempersoalkan keputusannya bercuti di Switzerland pada musim berkenaan.

Menurutnya, tidak kurang juga yang beranggapan cuaca dalam tempoh tersebut suram dan kurang sesuai dikunjungi berbanding musim panas.

BACA LAGI: Wanita Banting kental jelajah solo serata dunia, sukar lupakan keindahan Switzerland

BACA LAGI: [VIDEO] Percutian musim panas bertukar musibah, 3 termasuk dua pelancong maut nahas pesawat ringan terjunam di Pulau Rottnest

"Namun sebenarnya sekarang ini waktu peralihan dari musim luruh ke musim sejuk dan ia ada keindahan tersendiri.

“Waktu sekarang memang lebih tenang, orang tak ramai, hotel lebih berpatutan,” katanya pada Khamis.

Jelas Che Nom, walaupun beberapa tarikan ditutup untuk kerja penyelenggaraan, banyak kawasan pergunungan masih dibuka dan cuacanya nyaman untuk aktiviti berjalan.

Beliau turut memberitahu, gambar yang kelihatan suram sering disebabkan kamera sukar menangkap julat dinamik yang tinggi.

Malah katanya, gabungan langit cerah, gunung yang gelap dan salji nipis menyebabkan warna tidak menyerlah seperti dilihat secara nyata.

Ujar Che Nom, gambar yang kelihatan suram sering disebabkan kamera sukar menangkap julat dinamik yang tinggi. — Facebook/Che Nom

“Sebab itu gambar nampak macam suram tapi dalam dunia nyata sangat cantik.

"Cahaya lembut, warna musim luruh masih ada dan salji nipis beri suasana nyaman yang tak dapat masa musim panas,” ceritanya lagi.

Che Nom menambah, kebanyakan pihak salah faham tentang musim sejuk, sedangkan Switzerland pada Disember hingga Februari sangat meriah dengan aktiviti ski, kedatangan pelancong Eropah, pasar Krismas dan suasana perayaan.

Bahkan ujarnya, musim panas tidak semestinya lebih ideal kerana Switzerland boleh mencatat suhu lebih 30 darjah Celsius pada Julai, selain kesesakan pengangkutan awam akibat jumlah pelancong yang tinggi.

“Kalau nak panas macam itu baik saya balik Changlun (Perlis) saja,” selorohnya.

Merancang percutian sendiri lebih mendatangkan keseronokan buat Che Nom (kanan) sekeluarga.  — Facebook/Che Nom

Menurut Che Nom lagi, beliau lebih gemar menguruskan perjalanan sendiri secara Do it yourself (DIY) berbanding menggunakan perkhidmatan ejen pelancongan.

"Saya suka sangat bahagian belajar dan merancang sendiri. Walaupun susah, tapi di situlah datangnya keseronokan sebelum mula perjalanan," katanya.

Che Nom juga menjelaskan, beliau melancong bersama anak autisme, justeru tidak boleh memadatkan jadual harian sehingga mengunjungi terlalu banyak tempat dalam satu hari. 

"Kena perlahan-lahan dan tenang, ikut rentak sendiri. Bila DIY, lebih fleksibel dan tak kelam-kabut," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram