Bayi 3 bulan meninggal dunia, ibu bapa mesti sentiasa waspada kerana 96 peratus kes SIDS berlaku sewaktu tidur


  • Maya
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Public Health Malaysia menekankan bahawa kasih sayang bukan hanya dengan pelukan, tetapi juga dengan memastikan bayi mendapat tempat tidur yang selamat dan selesa.

SATU insiden menyayat hati berlaku apabila seorang bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia selepas tertindih lengan bapanya yang tiba-tiba rebah akibat serangan jantung di rumah mereka di Jalan Perigi Hang, Melaka.

Isteri mangsa yang pulang dari kerja untuk membawa bayi ke klinik kesihatan menemui suami dan anak mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil.

Bayi malang itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

BACA LAGI: Rumah subsidi saiz mini kerajaan Indonesia dikritik, didakwa tak sesuai diduduki

BACA LAGI: [VIDEO] Fenomena Jika Bukken, hartanah dijual murah, rupanya ada sejarah ngeri, tragis

Pihak bomba mengesahkan tiada unsur kebocoran gas di tempat kejadian dan kematian bapa bayi dipercayai akibat serangan jantung secara tiba-tiba.

Susulan kejadian itu, Public Health Malaysia memberi peringatan penting kepada semua ibu bapa supaya sentiasa memastikan keselamatan bayi ketika tidur.

Bayi perlu diletakkan di atas tilam rata dengan cadar yang ketat, tanpa bantal atau mainan seperti anak patung yang boleh menghalang pernafasan mereka.

Bayi juga disarankan tidur dalam posisi terlentang dan memakai pakaian yang nipis serta ringan supaya tidak terlalu panas.

Public Health Malaysia juga menasihatkan agar ibu bapa tidak tidur bersama bayi di atas katil, sofa atau tilam yang sama kerana ini meningkatkan risiko kejadian tidak diingini.

Penutup kepala atau topi juga tidak digalakkan ketika bayi tidur kerana boleh mengganggu pernafasan.

Penggunaan buaian ketika tidur juga sebaiknya dielakkan.

Statistik menunjukkan bahawa 96 peratus kes Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS) berlaku semasa bayi sedang tidur dan lebih separuh daripada kes itu melibatkan bayi yang tidur bersama orang dewasa di atas katil atau sofa.

Public Health Malaysia menekankan bahawa kasih sayang bukan hanya dengan pelukan, tetapi juga dengan memastikan bayi mendapat tempat tidur yang selamat dan selesa.

Mereka juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan yang amat memilukan itu dan berharap kejadian tersebut menjadi peringatan kepada semua ibu bapa agar lebih berhati-hati menjaga keselamatan bayi ketika tidur.

Keselamatan bayi ketika tidur bukan perkara kecil, ia adalah tanggungjawab besar yang harus diutamakan demi melindungi nyawa si kecil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram