
SEORANG bayi lelaki berusia lima bulan meninggal dunia selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada di bawah jagaan seorang pengasuh wanita di sebuah taska di Kangkar Pulai dekat Johor Bahru, Johor pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang berusia 31 tahun pada pukul 4.24 petang Rabu.
"Siasatan awal mendapati bayi berkenaan tidak sedarkan diri selepas dikejutkan daripada tidur oleh pengasuh, seorang wanita tempatan berumur 34 tahun.
BACA LAGI : 'Luka itu masih membekas', anak yatim masih trauma dibuli ketika sekolah rendah
BACA LAGI : Anggota polis parah tertembak diri sendiri di IPK Pulau Pinang
"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah dekat Johor Bahru, Johor namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
"Bedah siasat telah dijalankan dan hasil awal menunjukkan tiada kesan kecederaan luaran pada tubuh bayi. Bagaimanapun, punca sebenar kematian masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau lagi, setakat ini, tiada tangkapan dibuat.
"Kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) namun turut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki berlaku unsur pengabaian atau penderaan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi terhadap kanak-kanak.
"Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram