USIANYA ketika itu baru mencecah 17 tahun, namun Rami Zati Najwa Mohammad Kamarudin Hilmi sudah nekad terbang ke China untuk mencari bekalan pakaian kanak-kanak dan menjadi pemborong.
Keputusan itu ujar beliau, diwarisi daripada ibunya, seorang suri rumah yang menjual pelbagai barangan seperti tudung, selipar dan beg secara kecil-kecilan dari rumah.
Mesra disapa Najwa, wanita berasal dari Machang, Kelantan itu tidak pernah melalui fasa 'makan gaji'.
BACA LAGI: [VIDEO] Karya pernah dianggap lukisan 'conteng-conteng', Mulaika enggan peduli komen skeptikal

Beliau mengakui kerugian adalah antara guru paling besar yang pernah mendidiknya.
Sewaktu berumur 14 tahun, beliau sudah mengusahakan bisnesnya sendiri.
Daripada mengasuh anak-anak buah, menjual talian prabayar, Najwa kemudian menyewa kedai kecil untuk membuka kios pencuci mulut, semuanya dilakukan atas dorongan minat mendalam terhadap dunia perniagaan.
"Dari situ saya belajar cara melayan pelanggan, bagaimana kira modal dan nak pastikan makanan masak elok supaya pelanggan puas hati.
“Memang suka sangat berniaga dari dulu. Apabila sekolah ada hari usahawan, saya mesti masuk,” katanya kepada Majoriti.
Bercerita lanjut, Najwa memberitahu, beliau mendalami selok-belok pembuatan dan proses penghasilan produk kosmetik selepas dilantik sebagai ejen serta pembekal pakaian kanak-kanak kilang pembuatan kosmetik yang mempunyai rangkaian operasi di Malaysia, China dan Korea.
Selepas dua tahun, beliau berhasil membuka kilang kosmetik Rassalab Global Sdn Bhd yang memiliki pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP), selain turut diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Najwa berhasil membuka kilang kosmetik Rassalab Global Sdn Bhd yang memiliki pensijilan GMP.
Peta hidup
Di mata ramai, kejayaan ibu kepada tiga cahaya mata termasuk seorang anak angkat itu muncul bagai tersusun rapi.
Menceritakan bagaimana setiap fasa hidupnya dimeterai dengan matlamat jelas, Najwa berkata, beliau terlatih untuk menyusun atur sama ada bisnes mahupun kehidupan peribadi berpaksikan peta jalan atau roadmap.
Justeru tidak hairanlah, pada usia 25 tahun beliau sudah memiliki kilang OEM yang berpangkalan di Kapar, Klang, Selangor.
"Saya buat roadmap dalam hidup dan bisnes, saya tulis apa yang saya nak capai dalam tempoh setiap dua, empat atau enam tahun. Setiap sasaran saya tulis dan kejar.
"Sebab kita tahu nak dapatkan sesuatu bukan perkara mudah, jadi kena buat langkah satu persatu. Itu yang saya aplikasikan dalam hidup," tuturnya.
Najwa bukan sekadar mengharapkan nasib semata-mata. Beliau giat menimba ilmu melalui pelbagai kelas keusahawanan.
Itu katanya, dilakukan bagi merangka strategi, membina jaringan dan memperkukuh kemahiran pengurusan.
“Saya sangat rajin pergi kelas bisnes. Kita kena belajar dan tambah ilmu. Barulah dari situ, kita buat roadmap,” ujarnya menambah perniagaannya kini mula menapak ke Indonesia.

Najwa kini memilki leibih 50 kakitangan di bawah kendaliannya.
Skeptikal
Memulakan perjalanan perniagaan pada usia begitu muda bukan hal yang mudah bagi anak bongsu daripada sembilan beradik itu.
Mengakui berdepan pelbagai persepsi dan keraguan daripada pemain industri lebih senior, Najwa berkata, pengalaman tersebut mengajarnya untuk berdiri lebih kukuh dalam dunia keusahawanan.
“Memang pernah (dipandang rendah). Saya masuk dalam industri pembuatan kosmetik dengan umur yang sangat muda.
"Apabila jumpa pembekal bahan mentah atau buat perjanjian, mereka tengok kita muda dan tiada sokongan daripada mana-mana pihak, kebanyakannya akan pandang rendah.
"Ada yang berfikir macam 'betul ke budak ini, baru 25 tahun apa semua'. Namun apa yang saya buat ialah tunjuk hasil," bicaranya yang mendapat sokongan penuh suami yang juga usahawan makanan dan minuman (F&B) serta kesihatan.
Najwa berkata, industri kini semakin terbuka dan memberi peluang kepada golongan muda untuk membina nama, berbeza dengan dahulu yang lebih bergantung pada modal besar serta dominasi syarikat tertentu.

Pada usia 25 tahun, Najwa sudah memiliki kilang OEM yang berpangkalan di Kapar, Klang, Selangor.
Rugi
Beliau mengakui kerugian adalah antara guru paling besar yang pernah mendidiknya.
Kongsi usahawan itu lagi, 'zaman kegelapan' terbesar berlaku pada 2023, selepas syarikatnya merekodkan kerugian mencecah RM3.8 juta.
“Ketika itu platform-platform e-dagang mula naik. Kami ada 140 staf, komitmen bulanan tinggi tetapi selama enam bulan, jumlah pesanan tidak mencapai kapasiti.
"Klien pun tak tempah banyak sebab masing-masing tengah bertatih buat jualan runcit sendiri, tak lagi guna sistem ejen,” jelasnya.
Keadaan bertambah buruk apabila dua unit operasi syarikat tidak berjalan seperti biasa, sekali gus menjerut aliran kewangan.

Najwa giat menimba ilmu melalui pelbagai kelas keusahawanan bagi mengukuhkan peranannya dalam industri.
“Tiap bulan saya sabar, fikir bulan depan akan okey tapi apabila makin meruncing, saya terpaksa kurangkan staf,” jujurnya.
Namun daripada krisis itu, transformasi besar berlaku, Najwa mula memperkenalkan teknologi ke dalam operasinya.
“Saya mula beli mesin dan automasikan proses. Dari situ, walaupun staf tak seramai dulu, output kami makin baik.
"Kini kilang tak perlu tenaga kerja yang terlalu ramai, tapi kualiti dan kapasiti tetap terjaga,” ujarnya yang pernah membekalkan cecair pembasmi kuman ketika Covid-19. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
