Bapa sentiasa di sisi, sanggup teman Nigel Sparks ke luar negara untuk bentang idea bisnes


  • Cinta
  • Selasa, 18 Nov 2025

Sokongan berterusan daripada Richard (kiri) menjadi faktor kejayaan bisnes Nigel.

KEJAYAAN pengasas jenama streetwear tempatan The Cap City, Nigel Sparks bukan sekadar hasil keberanian dan kerja kerasnya sebagai anak muda, tetapi juga sokongan luar biasa daripada bapanya, Richard yang menjadi tulang belakang di setiap langkahnya.

Berkongsi pandangan mengenai situasi itu, pengguna Threads dengan nama akaun umartaib berkata, Richard tidak seperti sesetengah ibu bapa yang lebih selesa memilih jalan selamat untuk anak mereka.

"Uncle Richard bukan jenis ayah yang cakap, 'ambil kerja stabil lah, gaji tetap. Jangan susah-susah buat bisnes.

"Nigel cakap nak buat streetwear, nak jual topi. Ayah dia cakap 'kalau itu impian kau, aku sokong, tapi kena buat sehabis baik,” katanya menceritakan semula temu bual melibatkan Nigel dan bapanya.

BACA LAGI: Perkasakan perniagaan wanita, 3 skim pembiayaan sedia membantu usahawan

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Seindah doa yang terukir di langit’, Masjid Imanul Fa'izin antara yang tercantik di Kelantan

Sokongan itu bukan sekadar kata-kata. Beliau turut menemani Nigel ke Hong Kong, bantu membentangkan idea dan meyakinkan pihak berkaitan untuk mendapatkan hak pengedaran.

"Itu bukan tahap ayah sporting, ia tahap turun padang.

"Dari dulu sampai sekarang, ayah dan anak ini pegang satu prinsip, 'quality is long remembered when price is forgotten'.

"Maknanya apa? Jangan potong kualiti semata-mata nak lebih untung. Jangan bunuh jenama sendiri sebab gatal nak buat jualan setiap minggu," ungkapnya.

Lebih menarik katanya, ketika Nigel menjelaskan mereka tidak mahu membuat jualan murah yang 'membunuh' jenama, bapanya hanya mengangguk setuju.

Bagi Richard, lebih penting menjaga nilai anaknya daripada sekadar memastikan stok bergerak laju.

Umartaib berpendapat, jika diteliti, The Cap City bukan sekadar cerita tentang bisnes topi.

Sebaliknya kongsi beliau, ia adalah kisah tentang seorang bapa yang cukup berani memberi ruang untuk anaknya 'berlari', namun tidak pernah melepaskan pandangan daripada kejauhan.

Nigel mula meminati budaya hip hop dan topi sejak umur 14 tahun.

Perbincangan mengenai hubungan mereka turut membuka perspektif mengenai hal yang boleh dipelajari oleh ibu bapa masa kini.

Jelas umartaib, antaranya, tidak semua anak sesuai dengan jalan kerjaya yang dianggap paling selamat seperti pekerjaan tetap atau laluan profesional tradisional.

Sesetengah daripada mereka memerlukan ruang untuk bereksperimen, menemui minat sebenar dan bangkit daripada kegagalan.

"Tak semua anak sesuai ikut jalan kerja kerajaan, ada pencen dan yang sewaktu dengannya.

"Kadang-kadang amanah kita sebagai ibu bapa ialah bukan bagi laluan paling selamat, tapi bagi keberanian untuk cuba," ujarnya.

Selain itu, sokongan berterusan daripada ibu bapa mampu menjadi faktor penentu pada masa depan seorang anak.

"Kalau masih ada mak ayah yang percaya dekat kita walaupun kita belum jadi apa-apa, itu bukan biasa-biasa. Peluk mereka dan cakap terima kasih," katanya lagi.

Dalam konteks lebih luas, kejayaan yang dilihat pada sesebuah jenama atau tokoh usahawan sering kali tidak datang secara bersendirian.

Katanya, di sebalik pencapaian Nigel misalnya, tersimpan peranan seorang bapa yang bukan sahaja memberi nasihat, tetapi turut mengiringi ke mana saja, mengingatkan tentang kualiti kerja serta mendoakan setiap langkah perjalanan anaknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram