DALAM era ekonomi moden yang semakin mencabar, usahawan wanita menjadi antara tulang belakang penting dalam memacu pertumbuhan negara.
Ramai dalam kalangan mereka kini terlibat aktif dalam pelbagai sektor, daripada perniagaan kecil di rumah, perusahaan mikro hinggalah syarikat berskala sederhana.
Namun, realiti yang perlu dihadapi ialah akses kepada modal dan pembiayaan masih menjadi kekangan utama bagi memperluas operasi, menambah aset atau meningkatkan pengeluaran.
BACA LAGI: Banyak perniagaan tutup di Bangi, ada yang cadang MAIS buat wakaf tunai

Usahawan wanita menjadi antara tulang belakang penting dalam memacu pertumbuhan negara. — Gambar hiasan/Freepik
Melihat kepada keperluan itu, kerajaan dan institusi kewangan tampil menyediakan beberapa skim pembiayaan khusus bagi memastikan wanita tidak lagi ketinggalan dalam arus keusahawanan, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka sebagai penyumbang ekonomi yang signifikan.
Seiring komitmen memperkasa golongan wanita, tiga skim utama diperkenalkan bagi menawarkan modal dengan syarat mesra usahawan.
Antaranya termasuk Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), skim Madani Wanita oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) serta pembiayaan MySMELady 2.0 yang disediakan SME Bank.
Setiap skim menawarkan kelebihan tersendiri mengikut tahap keperluan perniagaan, sama ada untuk permulaan, pengembangan mahupun penstrukturan semula operasi.
Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA)

Matlamat utama skim DanaNITA ialah menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dalam bidang keusahawanan. — Gambar Hiasan/JanaanAi
Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) merupakan inisiatif pembiayaan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang direka khusus untuk membantu usahawan wanita Bumiputera mengembangkan perniagaan.
Matlamat utama skim ini ialah menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dalam bidang keusahawanan, memperkukuh perniagaan sedia ada serta meningkatkan pendapatan isi rumah.
Pemohon mestilah wanita Bumiputera berusia 18 hingga 60 tahun, mempunyai perniagaan berdaftar, premis fizikal, lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) serta beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan.
Perniagaan perlu dijalankan sepenuh masa, patuh syariah dan bebas daripada senarai hitam MARA. Akaun simpanan juga perlu aktif sekurang-kurangnya enam bulan.
Antara kelonggaran yang diberikan ialah pengecualian lesen PBT dan sebut harga bagi pembiayaan bawah RM50,000, selain tempoh tangguh bayaran hingga 12 bulan.
DanaNITA sesuai untuk wanita yang mahu memperkukuh atau mengembangkan perniagaan dengan pembiayaan kompetitif dan syarat yang mesra usahawan.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web https://myusahawan.mara.gov.my/
Skim Madani Wanita

Skim Madani Wanita membantu usahawan wanita dalam kategori perusahaan mikro dan profesional bekerja sendiri. — Gambar hiasan/Freepik
Skim Madani Wanita diumumkan melalui Belanjawan 2025 sebagai ikhtiar membantu usahawan wanita dalam kategori perusahaan mikro dan profesional bekerja sendiri.
Bukan itu shaja, program ini juga merujuk merujuk kepada beberapa inisiatif dan program khusus yang memberi penekanan kepada pemerkasaan wanita dalam konteks pembangunan masyarakat madani dan ekonomi di Malaysia.
Salah satu contoh jelas adalah 'BSN Madani Wanita-i', iaitu kemudahan pembiayaan mikro yang ditawarkan kepada usahawan wanita untuk modal kerja, pembelian aset dan pengubahsuaian perniagaan dengan tempoh pembiayaan antara satu hingga hingga tujuh tahun dan jumlah pembiayaan dari RM2,000 hingga RM100,000.
Program itu juga dikhaskan untuk usahawan wanita warganegara Malaysia yang memiliki sekurang-kurangnya 51 peratus perniagaan yang didaftarkan dan dikendalikan oleh wanita.
Bank Simpanan Nasional (BSN) menawarkan pembiayaan antara RM2,000 hingga RM100,000 dengan tempoh bayaran sehingga tujuh tahun.
Pemohon mestilah warganegara Malaysia dan perniagaan perlu dimiliki sekurang-kurangnya 51 peratus oleh wanita. Ia turut terbuka kepada doktor, peguam, akauntan dan lain-lain profesional yang bekerja sendiri.
Skim MySMELady 2.0

MySMELady 2.0 bertujuan memperkasa perniagaan wanita dengan menyediakan kemudahan pembiayaan bagi pembelian aset atau modal kerja.— Gambar/SME Bank
MySMELady 2.0 adalah sebuah skim pembiayaan khas yang diperkenalkan oleh SME Bank di bawah Belanjawan 2025, khusus untuk usahawan wanita di Malaysia.
Skim ini bertujuan memperkasa perniagaan wanita dengan menyediakan kemudahan pembiayaan bagi pembelian aset atau modal kerja.
Skim ini menyediakan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM3 juta bagi pembelian aset seperti mesin atau peralatan, selain modal kerja.
Ia ditawarkan pada kadar keuntungan tetap lima peratus setahun yang tidak dipengaruhi sebarang perubahan Kadar Pembiayaan Asas.
Melalui pelbagai kemudahan seperti pembiayaan komoditi, ijarah dan kredit pusingan, usahawan diberikan fleksibiliti mengikut keperluan operasi.
Pembiayaan aset baharu boleh mencecah sehingga 80 peratus, manakala aset terpakai sehingga 70 peratus. Tempoh bayaran balik pula sehingga lima tahun.
Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web https://mysmebank.com.my/jportal/login/
Secara keseluruhan, ketiga-tiga skim ini menjadi pemangkin penting kepada wanita yang ingin terus maju dalam dunia perniagaan.
Jika dimanfaatkan dengan bijak, inisiatif ini mampu melahirkan lebih ramai wanita berjaya dan berdaya saing dalam ekosistem keusahawanan Malaysia.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
