DI sebalik kesibukan kota raya dan jutaan penduduknya, rasa kesunyian masih menjadi realiti bagi ramai wanita muda.
Kesukaran mencari ruang selamat untuk berkongsi cerita dan membina persahabatan tulen mendorong dua sahabat, Puteri Nurul Barizah Rizuan dan Alia Sofiya Muhammad Adri, masing-masing berusia 23 tahun, menubuhkan The Fig Society.
Kelab sosial itu diwujudkan bagi mengumpulkan wanita melalui penganjuran acara kreatif yang memupuk pertumbuhan diri, komuniti dan ekspresi bebas.
BACA LAGI: Syaidatul Afifah terima pingat diraja, legasi boling Malaysia diiktiraf negeri Perak
BACA LAGI: [VIDEO] Karya pernah dianggap lukisan 'conteng-conteng', Mulaika enggan peduli komen skeptikal

Alia Sofiya percaya, ruang sosial berteras wanita penting untuk mewujudkan persekitaran bagi wanita berhubung, berkongsi pengalaman dan saling menyokong. — Alia Sofiya Muhammad Adri
Menurut Puteri Nurul Barizah, idea tersebut tercetus selepas beliau berazam untuk menganjurkan perjumpaan kecil secara bulanan pada awal 2025.
“Ia bermula dengan sangat organik. Selepas berjaya mengadakan parti bertema The Princess Diaries pada Januari, menganjurkan makan malam Galentine pada bulan berikutnya, kami rasakan ia sangat sesuai,” katanya.
Beliau kemudian mengajak Alia Sofiya untuk bersama-sama menganjurkan acara tersebut memandangkan mereka berkongsi minat dalam perancangan acara dan bertemu orang baharu.
“Pada satu malam, saya tanya Alia jika mahu menganjurkan makan malam Galentine bersama saya. Beliau terus bersetuju dan dari situlah segalanya bermula,” kongsi beliau.

Hidangan makanan semasa acara kedua The Fig Society, Brunch and Belong. — Alia Sofiya Muhammad Adri
Walaupun tidak berniat menubuhkan komuniti pada peringkat awal, cadangan daripada peserta acara pertama, termasuk pembentukan kumpulan jurnal mendorong mereka mengembangkan idea itu.
“Hidup kami menjadi sibuk seketika, tetapi idea tersebut melekat dalam fikiran,” kata Puteri Nurul Barizah.
Pada Ogos, kedua-duanya menganjurkan acara kedua bertajuk Brunch and Belong, sekali gus menandakan permulaan rasmi The Fig Society.
Simbol pokok ara
The Fig Society menjadikan pokok ara sebagai identiti kerana simboliknya yang menggambarkan ketahanan, pertumbuhan dan jalan hidup yang pelbagai.
“Pilihan dan kemungkinan hidup kita diibaratkan seperti cabang-cabang pokok ara.
“Ia selari dengan tujuan komuniti ini, yang mana setiap acara adalah peluang untuk berhubung, berkembang dan meraikan diri sendiri,” ujar Alia Sofiya.
Puteri Nurul Barizah menambah, setiap acara dianggap seperti satu cabang baharu yang sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja meskipun mereka tidak dapat hadir pada acara sebelumnya.

Makan malam Galentine menyaksikan para peserta menulis surat peribadi antara satu sama lain. — Alia Sofiya Muhammad Adri
Ruang selamat
Bagi peserta seperti Nisrina Nabihah Razwan, 21, The Fig Society menawarkan pengalaman yang lebih daripada sekadar pertemuan mingguan.
“Pada mulanya saya gementar kerana tidak mengenali sesiapa, tetapi kami terus serasi.
“Saya tidak perlu mengecilkan diri atau berpura-pura kerana saya diterima seadanya.
"Ia sesuatu yang saya jarang temui dalam pertemuan sosial lain,” katanya menceritakan pengalaman menghadiri acara Brunch and Belong.
Penggunaan conversation cards yang menyaksikan para peserta menulis surat peribadi antara satu sama lain, berjaya mencetuskan perbualan mendalam, sekali gus menjadikan suasana lebih bermakna dan selesa.
Alia Sofiya memberitahu, matlamat utama mereka ialah mewujudkan ruang selamat untuk para peserta rasa dihormati, bebas menjadi diri sendiri dan mendapat sokongan tanpa penghakiman.
Sementara itu, tambah Puteri Nurul Barizah, mereka sentiasa menawarkan lokasi pertemuan yang santai, mudah diakses dan yuran minimum supaya tiada siapa tercicir.
"Kami turut menekankan perhatian terhadap perincian kecil seperti susunan tempat duduk, makanan dan jadual acara bagi memastikan keselesaan," bicaranya lagi.

The Fig Society sentiasa menawarkan lokasi pertemuan yang santai, mudah diakses dan yuran minimum. — Instagram/the.figsociety
Masa depan
Kedua-dua pengasas berkenaan optimis The Fig Society dapat berkembang, namun mahu mengekalkan suasana intim dan mesra yang menjadi identiti utama komuniti tersebut.
“Kami merancang untuk bekerjasama dengan komuniti kreatif lain serta menganjurkan bengkel dan sesi perkongsian yang bermanfaat,” kata Alia Sofiya.
Puteri Nurul Barizah pula berharap The Fig Society dapat dibawa ke bandar-bandar lain pada masa hadapan agar lebih ramai wanita dapat merasai pengalaman sama. — The Star/AISYAH JASMIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
