DALAM suasana kerja yang semakin sibuk dan padat, kewujudan surau di tempat kerja menjadi satu keperluan penting bagi memastikan pekerja dapat menunaikan ibadah solat dengan selesa dan teratur.
Menerusi hantaran di akaun Threads milik Rusydi Sayuti Rosli, beliau mengajak warga maya berkongsi foto surau di tempat kerja masing-masing di ruangan komen.
Perkongsian beberapa gambar ruang solat di lokasi berbeza mencuri perhatian dengan menampilkan dekorasi surau yang cukup selesa, moden dan menenangkan untuk digunakan oleh pekerja.
BACA LAGI: Keindahan seni bina Islam, 5 masjid ikonik jadi tarikan lensa kamera
Berikut antara lima surau dan masjid di pejabat yang menyediakan ruang ibadah cantik, selesa dan menenangkan, seperti yang dikongsikan warga maya:

Ruang solat juga dilengkapi karpet bermotif tradisional.
Surau pertama memperlihatkan ruang yang luas dengan pencahayaan diod pemancar cahaya (LED) tersusun rapi pada siling, mewujudkan suasana lembut dan mendamaikan.
Dindingnya dihiasi panel kaligrafi besar berwarna cerah, sekali gus memberikan identiti Islamik yang elegan.
Ruang solat juga dilengkapi karpet bermotif tradisional dan skrin televisyen turut dipasang di dinding bertujuan menyediakan maklumat tertentu kepada jemaah.

Panorama pencakar langit menjadikan ruang solat tersebut antara yang tercantik dari segi pemandangan.
Surau kedua pula tampil dengan elemen moden yang lebih minimalis.
Mihrabnya berasaskan kemasan marmar cerah lengkap ukiran kaligrafi, sementara pencahayaan cahaya hangat (warm light) di belakang panel menambah sentuhan eksklusif.
Cahaya hangat menghasilkan warna kekuningan yang kelihatan semula jadi.
Bahagian paling menjadi tumpuan sudah tentu dinding kaca yang menghadap panorama pencakar langit termasuk Menara Berkembar KLCC, menjadikan ruang solat tersebut antara yang tercantik dari segi pemandangan.

Mihrab surau juga berlatarbelakangkan rona biru yang menenangkan.
Surau ketiga mempamerkan suasana dengan rekaan sederhana tetapi tetap selesa.
Pencahayaan lembut, karpet bercorak lembut dan susun atur ruang yang kemas memberikan suasana tenang untuk jemaah berehat seketika daripada kesibukan kerja.
Mihrab surau berkenaan juga berlatarbelakangkan rona biru yang menenangkan, memberikan suasana segar dan berbeza.

Pencahayaan lembut daripada lampu sorot dan LED pada siling menambah ketenangan.
Rekaan surau yang moden, kemas dan menenangkan, selari dengan keperluan ruang ibadah selesa di bangunan bandar.
Berkarpet biru dengan jalur kuning emas di laluan saf, ditambah dinding dengan kaligrafi 'ALLAH' di bahagian hadapan menjadikan ruang itu tampil eksklusif dan harmonis.
Pencahayaan lembut daripada lampu sorot (spotlight) dan LED pada siling pula menambah ketenangan, disertakan sistem penghawa dingin untuk keselesaan jemaah.

Kubah dalaman dengan ukiran kaligrafi dan siling tiga dimensi menjadi tarikan utama.
Surau tersebut menampilkan gabungan elemen tradisi Islamik dan moden, menjadikannya ruang ibadah yang tenang dan eksklusif.
Kubah dalaman dengan ukiran kaligrafi dan siling tiga dimensi menjadi tarikan utama.
Lampu candelier besar yang tergantung di bawah kubah memberikan pencahayaan lembut.
Lantainya pula dihiasi karpet dengan motif bunga yang dibentuk menggunakan garisan bersudut, diserikan warna tanah yang menenangkan.
Dinding surau dilengkapi panel geometri moden dan ukiran ayat suci al-Quran, manakala mihrab direka secara minimalis.
Tingkap kaca besar bercorak mashrabiya kontemporari turut membenarkan cahaya masuk sambil memastikan privasi jemaah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
