Speaker Johor gesa pemeriksaan mengejut di sekolah, kenal pasti tahap keselamatan sebenar pelajar


  • Bonda
  • Isnin, 17 Nov 2025

Mohd Puad berkata, pemeriksaan mengejut mampu memberi gambaran lebih tepat mengenai kelemahan keselamatan di sekolah. — Gambar hiasan

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menggesa Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri agar melaksanakan pemeriksaan mengejut secara berkala di sekolah bagi mendapatkan gambaran sebenar tahap keselamatan dan disiplin.

Menurutnya, pemeriksaan tersebut perlu dilakukan secara spontan tanpa sebarang pemakluman awal kepada Kementerian Pendidikan atau Jabatan Pendidikan Daerah bagi memastikan situasi sebenar dapat dinilai.

BACA LAGI: Buang sekolah takkan selesaikan kes buli — PIBGN

BACA LAGI: [VIDEO] Kes buli sekolah TTDI: 4 pelajar digantung, 14 lagi kena amaran — Fadhlina

“Berdasarkan pengalaman, saya pernah melawat sebuah sekolah di Kuala Lumpur dan dibenarkan masuk tanpa halangan oleh pengawal keselamatan.

“Namun, ketika melawat sebuah sekolah di pedalaman Terengganu, saya disoal oleh pengawal keselamatan dan diminta mengisi buku log sebelum dibenarkan masuk.

"Ini adalah contoh langkah yang baik dalam memastikan keselamatan sekolah,” katanya ketika persidangan DUN pada Isnin.

Mohd Puad (tengah) ketika persidangan DUN Johor.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan menyuarakan cadangan itu selepas Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin (BN-Tanjung Surat) menjawab persoalan berkaitan usaha membanteras kes buli di sekolah.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, peningkatan kejadian jenayah dan keganasan di sekolah kebelakangan ini amat membimbangkan.

Justeru ujarnya, langkah proaktif perlu diambil untuk mengelakkan insiden lebih serius seperti kes tembakan di sekolah, yang pernah berlaku di luar negara.

“Pemeriksaan mengejut mampu memberi gambaran lebih tepat kepada exco mengenai kelemahan keselamatan di sekolah dan membolehkan penambahbaikan segera dilaksanakan,” tegasnya.

Sementara itu, Aznan turut memaklumkan, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Zon Selamat Johor yang baru dibentuk kini menumpukan perhatian pada isu keselamatan pelajar seperti pembulian, vandalisme, penyalahgunaan bahan terlarang, masalah kesihatan mental dan isu sosial.

Inisiatif keselamatan tersebut turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak polis dalam usaha memperkukuh keselamatan serta kesejahteraan sekolah di seluruh Johor. — The Star/YEE XIANG YUN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram