BEKAS atlet boling tanah air, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, 33, menerima penganugerahan pingat bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Paduka Seri Sultan Perak ke-69, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. yang berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Sabtu lalu.
Berita gembira itu turut dikongsikan oleh Syaidatul Afifah menerusi laman Instagram miliknya pada Isnin.
Menjadi antara 39 penerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), juara dunia di Las Vegas 2017 itu diiktiraf atas sumbangan berterusan beliau dalam sukan tenpin boling di negeri Perak.
BACA LAGI: Persis model, 5 wartawan jelita 'terjun' bidang lakonan, personaliti diminati ramai
BACA LAGI: Skuad boling remaja wanita negara cipta sejarah di Korea
"Alhamdulillah, ini satu lagi pencapaian selepas 2015. Saya tidak mengharapkan apa-apa lagi. Apa sahaja yang kita lakukan, lakukanlah dengan ikhlas dari hati.
"Terima kasih negeri Perak di atas penganugerahan pingat ini,” tulisnya.
Pada majlis penuh adat itu, Syaidatul Afifah tampil anggun mengenakan busana rekaan pereka fesyen tersohor tempatan, Fiziwoo, lengkap dengan solekan lembut oleh Dewata Azhar Yusof.
Mempamerkan gabungan elemen tradisional dan sentuhan kontemporari, fokus utama penampilannya ialah baju lengan panjang yang dihiasi corak bunga dengan latar fabrik gelap, menyerlahkan motif bunga berwarna merah jambu, merah, hijau dan kuning.
Dengan leher baju berstail tinggi ala cheongsam, Syaidatul Afifah turut menyarungkan selendang rona maroon di bahu, menambah aura sofistikasi pada keseluruhan penampilannya.
Untuk rekod, nama Syaidatul Afifah mula menjadi sebutan selepas mempamerkan aksi cemerlang di pentas antarabangsa, termasuk meraih beberapa pingat dalam kejohanan Asia dan dunia.
Wanita kelahiran Perak itu mengumumkan persaraan pada 2020 selepas 11 tahun bergelar atlet boling kebangsaan.

Syaidatul Afifah juga pernah menerima penganugerahan daripada Sultan Nazrin pada 2015. — Instagram/syaidatulafifah
Sepanjang kariernya, Syaidatul Afifah telah mewakili Malaysia dalam pelbagai kejohanan ternama, termasuk memenangi emas beregu wanita Kejohanan Asia Tenpin Bowling 2015 di Bangkok, Thailand.
Prestasi cemerlangnya diteruskan di Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas (2017), dengan meraih pingat emas dalam acara berpasukan wanita.
Beliau turut mengharumkan nama negara di Sukan Asia 2018 di Palembang, Indonesia dengan memenangi emas dalam acara trio wanita bersama rakan sepasukan serta perak dalam acara enam-sepasukan wanita.
Tidak ketinggalan, beliau juga mencatat kejayaan di peringkat Asia, termasuk pingat perak di Kejohanan Asia Tenpin Bowling 2019 di Kuwait.

Syaidatul Afifah terus menyumbang kepada dunia boling melalui aktiviti komuniti dan latihan atlet muda. — Instagram/syaidatulafifah
Tidak hanya arena sukan, jurulatih yang juga pengasas Akademi Syaidatul Afifah itu juga pernah membintangi drama Ratu Ten Pin dan Ratu Tenpin 2 arahan Sheila Rusli yang memaparkan sisi kehidupan atlet boling sekali gus memperkenalkan sukan tersebut kepada audiens lebih luas.
Kini, selepas bersara dari arena kompetitif, Syaidatul Afifah terus menyumbang kepada dunia boling melalui aktiviti komuniti dan latihan atlet muda, memastikan ilmu dan pengalaman beliau diteruskan kepada generasi baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
