ANAK-KANAK yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing kini boleh memohon kewarganegaraan sendiri selepas mencecah umur 21 tahun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada polisi khas yang dipersetujui pada 17 Februari lalu.
Menurutnya, polisi tersebut khusus bagi mereka yang berumur 21 tahun ke atas dan ibu mereka pernah memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) tetapi ditolak oleh kerajaan Persekutuan.
BACA LAGI: Anak wanita Malaysia lahir di luar negara kini boleh mohon kewarganegaraan

Saifuddin Nasution berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada polisi khas yang dipersetujui pada 17 Februari lalu.
“Individu berkenaan mesti mengemukakan permohonan kewarganegaraan sendiri kerana mereka sudah mencapai umur 21 tahun,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menjelaskan langkah diambil untuk memastikan mereka yang tidak layak di bawah Perkara 15(2) tetap berpeluang memohon kewarganegaraan, termasuk akses kepada borang permohonan di bawah Perkara 19.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, pemohon perlu memenuhi tiga syarat asas di bawah Perkara 19(1) Bahagian III Perlembagaan Persekutuan.
Ujarnya, syarat itu termasuk anak tersebut dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan bapa bukan warganegara, ibu pernah memohon di bawah Perkara 15(2) tetapi ditolak dan pemohon mesti berada di Malaysia ketika membuat permohonan.
“Syarat terakhir ini kerana permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 19(1) hanya boleh dikemukakan di dalam negara,” tambahnya.
Saifuddin Nasution menegaskan, syarat ketiga berkaitan dengan kediaman bagi membuktikan pemohon menetap di Malaysia dan mempunyai niat untuk tinggal secara tetap.
"Syarat ini selaras dengan keperluan asas dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.

Proses memberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik kepada anak dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan. — Gambar hiasan
Untuk rekod, sebelum ini, anak yang lahir di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia dan bapa bukan warganegara tidak layak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik dari segi undang-undang.
Mereka hanya boleh memohon kewarganegaraan melalui pendaftaran seperti termaktub dalam Perkara 15(1) atau 15A Perlembagaan.
Isu itu menimbulkan perdebatan mengenai kesaksamaan gender kerana anak yang dilahirkan oleh bapa rakyat Malaysia sudah menikmati hak tersebut.
Bagaimanapun pada 14 November lalu, Saifuddin Nasution berkata, proses untuk memberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan.
Jelas beliau, persiapan teknikal kini berada pada peringkat akhir, termasuk penyediaan borang pendaftaran baharu, kemas kini sistem serta pemakluman kepada semua kedutaan dan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara. — The Star/TEH ATHIRA YUSOF/ARFA YUNUS
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
