[VIDEO] Pensyarah Malaysia kongsi budaya unik taska Korea rai 'graduasi' anak 'bebas' lampin pakai buang


  • Bonda
  • Selasa, 11 Nov 2025

Kanak-kanak itu (gambar kiri) berjalan di atas karpet merah yang dihiasi belon sambil memakai selempang khas.

SEORANG wanita yang juga pensyarah di sebuah universiti di Korea Selatan berkongsi budaya unik di taska negara itu yang meraikan kanak-kanak selepas berjaya bebas daripada memakai lampin pakai buang.

Menerusi perkongsian di TikTok milik ummuhaniabuhassan, beliau memuat naik video suasana anak perempuannya diraikan oleh guru-guru di taska sempena hari ‘graduasi’.

“Budaya unik di Korea apabila anak berumur dua hingga tiga tahun diraikan bila berjaya tak pakai diaper. Satu kejayaan yang besar,” katanya.

BACA LAGI: Ibu bapa resah kos susu formula, lampin meningkat, boleh cecah RM1,200 sebulan, 5 tip urus perbelanjaan

BACA LAGI: Tak mengaku jual lampin pakai buang cecah harga lebih RM80k

Dalam video berdurasi 21 saat itu, anak perempuannya dilihat berjalan di atas karpet merah yang dihiasi belon sambil memakai selempang khas bagi meraikan pencapaian tersebut.

Beberapa kanak-kanak lain turut diraikan dan menerima pelbagai hadiah daripada pihak taska termasuk seluar dalam baharu sebagai simbol kejayaan meninggalkan lampin pakai buang.

Wanita itu turut mencadangkan agar taska di Malaysia mencontohi pendekatan positif itu.

“Patut taska Malaysia pun tiru,” ujarnya.

Perkongsian berkenaan mendapat sambutan ramai dalam kalangan warga maya yang turut berkongsi pengalaman masing-masing melatih anak bebas lampin.

“Saya sebagai ibu, apabila anak dah bebas lampin pakai buang terasa macam kejayaan besar betul! Bangga bila berjaya potty train anak sendiri,” tulis Shikin Ramli.

“Comelnya! Taska Malaysia kena adaptasi budaya seperti ini,” ujar pengguna TikTok dengan nama akaun Iman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram