TREND kecantikan berasaskan bahan semula jadi terus menjadi tumpuan di media sosial, dan kali ini air beras kembali mencuri perhatian ramai yang mencari kaedah mudah untuk menumbuhkan rambut dengan cepat dan sihat.
Kaedah itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Wanita di Asia Tenggara menggunakan air beras sebagai rahsia kecantikan rambut selama berabad-abad.
Namun kini ia kembali popular berikutan perkongsian meluas di platform seperti TikTok dan Instagram.
Menurut pakar dermatologi di Cleveland Clinic, Dr. Alok Vij, kanji yang terkandung dalam air beras berfungsi seperti perapi semula jadi.
“Kanji ini membaluti bahagian luar folikel rambut iaitu kutikel dan membantu mencegah rambut daripada bergesel antara satu sama lain sehingga menyebabkan hujungnya bercabang atau patah,” katanya.

Penggunaan berterusan air beras dikatakan mampu menjadikan rambut lebih lembut, licin, tebal dan sihat dalam jangka masa panjang. — Agensi
Selain itu menurut laporan WebMD, beras juga kaya dengan inositol, sejenis antioksidan yang sering digelar sebagai agen pertumbuhan rambut.
Kandungan lain seperti asid amino, vitamin B, vitamin E, serat, magnesium dan zink turut membantu melindungi rambut daripada kerosakan dan tekanan persekitaran.
Dari segi penyediaan, proses membuat air beras amat mudah, hanya bilas segelas beras mentah, rendam dalam dua hingga tiga cawan air bersih selama 30 minit, kemudian tapis airnya.
Untuk hasil lebih baik, beras boleh diperam sedikit bagi meningkatkan tahap antioksidan.
Di beberapa negara seperti Thailand, wanita turut menambah bunga melur ke dalam campuran air beras kerana dipercayai membantu menyuburkan dan menguatkan rambut.
Air beras biasanya digunakan sebagai bilasan akhir selepas mencuci rambut dengan syampu dan perapi.
Ada yang memilih untuk membilas semula selepas 20 minit, manakala sebahagian lain membiarkannya kering secara semula jadi bagi penyerapan lebih baik.
Walaupun ia bukan rawatan ajaib yang memberi hasil serta-merta, penggunaan berterusan air beras dikatakan mampu menjadikan rambut lebih lembut, licin, tebal dan sihat dalam jangka masa panjang.
Trend tersebut membuktikan bahawa petua tradisional Asia masih relevan dalam dunia kecantikan moden.
Dengan hanya bahan ringkas yang boleh ditemui di dapur, wanita mulai kembali yakin mencuba rahsia lama untuk mendapatkan rambut idaman. — The Star/CATHERINE VASANTHI SEBASTIAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
