DAHULU Saeruroh hanya seorang penjual sosej bakar di tepi jalan, kini namanya mula meniti di bibir ramai selepas berjaya menjejakkan kaki ke pentas Jakarta Fashion Week (JFW) 2026, sebaris dengan artis ternama termasuk pelakon terkenal, Dian Sastrowardoyo.
Kisah luar biasa itu dikongsikan sendiri oleh Saeruroh atau mesra disapa Sher menerusi akaun TikToknya, @sher.alili pada 2 November lalu.
“Adakah ini mimpi atau realiti? Kang Sosej berjalan di JFW bersama artis terkenal,” tulisnya.
BACA LAGI: Selepas hotel, Nurulhidayah realisasi impian 10 tahun lalu, perkenal minyak masak jenama Kak Long
Beliau turut memuat naik video dirinya dan model lain memperagakan busana merah menawan rekaan Christie Basil dan Jan Sober di atas pentas peragaan.
Memetik laporan berita antarabangsa, wanita berusia 32 tahun itu mengakui dirinya bukanlah seorang model profesional.
Peluang bersejarah itu sebaliknya datang selepas beliau menyertai satu uji bakat yang dianjurkan sebuah jenama penjagaan kulit terkenal.
“Pada mulanya, saya ternampak satu hantaran di Instagram dan TikTok. Mereka mencari 'miracle models' berusia lebih 30 tahun dan meminta peserta membuat video ‘A Day in My Life’ pada Jun 2025,” katanya pada Rabu.
Video yang dimuat naik Sher telah menarik perhatian penganjur, sekali gus melayakkan dirinya ke peringkat uji bakat seterusnya yang berlangsung di Surabaya, Indonesia.

Sher ketika memperagakan busana merah di pentas JFW 2026.
Jual cincin
Sher bagaimanapun hampir berputus asa kerana tidak mempunyai wang untuk ke lokasi uji bakat.
Namun, semangat dan tekad yang tinggi mendorongnya untuk membuat keputusan berani.
“Saya hampir menyerah kerana tidak mampu ke Surabaya. Akhirnya, saya menjual cincin saya dan anak untuk menampung kos perjalanan,” akuinya.
Nasib menyebelahi Sher apabila beberapa pengikutnya di TikTok turut tampil menghulurkan bantuan.
Mereka meminjamkan pakaian, kasut, anting-anting dan jam tangan untuk digunakan semasa sesi uji bakat.
“Syukur Alhamdulillah, dengan bantuan mereka saya berjaya mara ke peringkat akhir dan menjadi salah seorang daripada sembilan ‘miracle models’ yang dipilih untuk berjalan di pentas JFW,” tambahnya.
Ikon fesyen
Sepanjang penyertaannya di JFW 2026, Sher bukan sahaja berjalan seiring dengan Dian, malah berpeluang bertemu dan bergambar bersama nama besar industri hiburan serta fesyen seperti Patricia Gouw, Ivan Gunawan dan Agnes Jennifer.
Melalui hantaran berlainan di TikTok, Sher mengakui masih sukar mempercayai pencapaiannya itu.
“Setiap kali melihat video saya berjalan di JFW, saya masih tidak percaya. Kadang-kadang mimpi benar-benar boleh jadi kenyataan jika kita berani sedikit,” tulisnya.
Kisah Saeruroh menjadi inspirasi kepada ramai. Dari seorang penjual sosej bakar di tepi jalan, kini beliau telah menjejakkan kaki di pentas fesyen paling berprestij di Indonesia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
