SEORANG wanita mendedahkan pengalaman menjadi sasaran scammer yang menggunakan nama arwah suaminya sebagai helah untuk mendapatkan sejumlah wang.
Menerusi satu hantaran di akaun Threads, wanita itu berkongsi beberapa tangkap layar perbualannya dengan individu tidak dikenali yang mendakwa sebagai rakan universiti kepada arwah suaminya.
Menurutnya, individu berkenaan mendakwa arwah suaminya mempunyai hutang tertunggak yang perlu dilangsaikan segera.
BACA LAGI: Ramai pernah kena! Ini tip penting jika jadi mangsa scammer, kecurian identiti kad kredit
BACA LAGI: Terima panggilan tapi senyap? Nombor anda mungkin sedang ‘dijejaki’ scammer
Namun, apabila wanita itu menyatakan hasrat untuk menyemak kesahihan dakwaan tersebut terlebih dahulu, tindak-tanduk individu itu mula berubah.
Dalam hantaran tersebut, wanita berkenaan turut memuat naik tangkap layar mesej ugutan dan kata-kata kesat yang dilemparkan terhadap dirinya dan arwah suami.
Wanita itu menambah, beliau mula berasa curiga selepas individu tersebut enggan menunjukkan sebarang bukti transaksi atau penyata bank yang kononnya berkaitan dengan hutang tersebut.
“Scammer alert! Kutuk aku boleh, tapi kutuk arwah suami aku, kau siap!
"Gunakan arwah sebagai modus operandi. Kata ada hutang, siap maki arwah suami. Tularkan, ini nombor yang scammer itu guna.
"Sangat mencurigakan dengan cara desakan itu. Kawan-kawan arwah pun boleh kira dengan jari. Aku kenal siapa arwah, jangan nak main gila,” tulisnya.
Difahamkan, hasil semakan melalui aplikasi dalam talian, wanita itu mendapati nombor telefon yang digunakan scammer berkenaan sememangnya telah dilaporkan oleh ramai pihak atas kes penipuan yang sama.
Ujarnya, golongan tersebut didakwa aktif menggunakan nama individu yang telah meninggal dunia sebagai modus operandi.
Beliau turut menzahirkan rasa kesal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan itu dan berharap orang ramai lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa.
“Moga ALLAH Ya Jabbar melaknat orang yang macam ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
